Setelah sebulan berjaya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang Ramadhan, kini tiba giliran untuk berpuasa sunat di bulan Syawal. Jika di bulan Ramadhan segalanya dihadapi dengan tenang, untuk berpuasa di bulan Syawal bukan mudah bagi sesetengah Muslim.
Berhadapan dengan cabaran seperti jemputan rumah terbuka, kawan-kawan yang tidak melaksanakan puasa sunat, kedai-kedai yang menjual pelbagai juadah enak dan sebagainya, menjadikan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ini terlalu indah untuk dihayati. Dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
Maksudnya:“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan
kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia
telah berpuasa selama setahun”. (Riwayat Muslim)
Mari kita lihat beberapa perkara yang sering menjadi persoalan untuk dibincangkan berkenaan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ini.
Cara Melakukan Puasa Syawal
Imam Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan: “Para ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa paling afdal melakukan puasa Syawal secara berturut-turut (sehari) selepas solat Aidilfitri. Namun jika tidak berurutan atau diakhiri hingga akhir Syawal maka seseorang tetap mendapatkan keutamaan puasa Syawal setelah sebelumnya melakukan puasa Ramadan.”
Sebab itu boleh berpuasa Syawal tiga hari selepas Aidilfitri misalnya, baik secara berturut-turut ataupun tidak, kerana dalam hal ini ada kelonggaran. Bagaimanapun, jika seseorang berpuasa Syawal hingga keluar waktu (bulan Syawal) kerana bermalas-malasan, ia tidak akan mendapatkan ganjaran puasa Syawal.
Jika seseorang itu ada keuzuran (halangan) seperti sakit, dalam keadaan nifas, sebagai musafir, sehingga tidak berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka boleh mengqada (mengganti) puasa Syawal di bulan Zulkaedah (rujuk Syarh Riyadhul Salihin).
Tunaikan Qada Terlebih Dahulu
Lebih baik bagi seseorang yang masih memiliki qada puasa Ramadan untuk menunaikannya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa Syawal. Ini kerana tentu sahaja perkara wajib haruslah lebih dahulu diutamakan daripada perkara sunat.
Alasan lainnya kerana dalam hadis di atas Nabi SAW mengatakan bermaksud: “Barang siapa berpuasa Ramadan.”
Jadi apabila puasa Ramadan belum sempurna kerana masih ada tanggungan puasa, maka tanggungan tersebut harus ditunaikan terlebih dahulu agar mendapatkan pahala seperti setahun penuh.
Apabila seseorang menunaikan puasa Syawal terlebih dahulu dan masih memiliki tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya dianggap puasa sunat mutlaq (puasa sunat biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa Syawal kerana kembali kepada perkataan Nabi SAW tadi: “Barang siapa berpuasa Ramadan (rujuk Syarhul Mumthi’).”
Untuk berpuasa sunat selain puasa Syawal, maka boleh mendahulukannya sebelum mengqada puasa yang wajib selama masih ada waktu lapang untuk menunaikan puasa sunat tersebut. Puasa sunatnya tetap sah dan tidak berdosa.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap
akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat
menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang
yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala
Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah
Asy-Syamilah]
Perlu diingat, menunaikan qada puasa wajib tetap lebih utama daripada melakukan puasa sunat. Ini yang ditekankan oleh Sheikh Muhammad bin Salih al-Usaimin dalam kitab Syarhul Mumthi’ kerana ada kekeliruan dalam permasalahan ini.
Hikmah Puasa 6 Hari Di Bulan Syawal
Antara hikmah berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini adalah bagi mendidik kesabaran seseorang Muslim terhadap cabaran ketika mana bulan ini dibenarkan makan dan minum setelah sebulan melalui kewajipan Ramadhan.
Di dalam sudut yang lain, ianya menunjukkan bahawa bulan Syawal ini bukanlah bulan untuk membalas dendam setelah perintah berkurung nafsu yang ditetapkan oleh Allah pada bulan Ramadhan. Bulan Syawal boleh dijadikan bulan untuk terus melatih diri suoaya taat kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah.
Terdapat juga hikmah yang tertentu dari
sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan
Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika
di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan
seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai
makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam
ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan
bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Rumusan
Banyak lagi hikmah dan kelebihan bagi mereka yang melaksanakan puasa 6 hari di bulan Syawal ini. Oleh yang demikian, rebutlah peluang yang terhidang ini untuk memanjangkan tempoh latihan untuk mencari redha Allah SWT.
Namun, bagi yang telah melaksanakan amalan puasa sunat ini, harus diingat bahawa, jika terdapat undangan yang daripada jiran tetangga dan sahabat handai, tunaikanlah juga tuntutan tersebut. Jangan pula dijadikan alasan puasa sunat untuk menolak jemputan tersebut. Berbukalah bagi menjaga hati tuan rumah.
Semoga perkongsian ini mendapat manfaat bersama di ketika Syawal di sambut dengan penuh kesyukuran ini.
No comments:
Post a Comment