Alhamdulillah...Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberi perlindungan kepada sekalian penduduk Presint 18 khususnya di Fasa 18 R12 yang telah selamat kembali setelah kira-kira seminggu bercuti sempena Aidilfitri 1433H.
Penulis difahamkan sehingga semalam, tiada kesesakan melampau menghala ke Putrajaya dan Lembah Kelang. Dikhabarkan juga masih tiada kedengaran kes-kes kemalangan yang menimpa penduduk Presint 18 khususnya anak qariah Surau Wahbah Al-Zuhaily. (Jika ada mohon dapat dimaklumkan kepada AJK Surau dan kami akan ziarah). Berita ini amatlah membuatkan kami seluruh jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily berasa syukur di atas keselamatan kurniaan Allah ini.
Semua dijemput ke Surau Wahbah Al-Zuhaily
Justeru, sebagai hamba Allah yang beriman kepada-Nya, kita seharusnya mengembalikan hak Allah sebagai Pencipta jalan keselamatan dan kenikmatan. Caranya amat mudah. Hadirilah jemputan ke rumah terbuka setiap hari walau dimana anda berada. Benar..di mana sahaja. Setiap kali anda dengar jemputan ke rumah itu.
Rumah yang dimaksudkan ialah Rumah Allah yang sentiasa terbuka dan dijemput setiap 5 waktu solat yang dilaungkan oelh mu'azzin. Keterbukaan Rumah Allah ini uniknya tidak hanya di bulan-bulan tertentu, malah sepanjang waktu, zaman dan selama-lamanya. Jika Ramadhan yang lalu kita tegar untuk bersama jemaah mendirikan solat di surau dan masjid, apa salahnya kita terus istiqomah sebaik sahaja menjelang Syawal sehinggalah Ramadhan dapat ditemui lagi.
Surau Wahbah Al-Zuhaily juga mengalu-alukan semua ahli jemaah, anak qariah dan seluruh penduduk di Presint 18 khasnya Fasa R12 untuk hadir ke rumah Allah ini. Penuhilah jemputan rumah terbuka di mana sahaja, tetapi ingatlah bahawa pintu di Rumah-rumah Allah juga sentiasa terbuka menunggu pengunjung di kalangan Muslim. Lebih indah jika dipenuhi di saat kita meraikan kemenangan di bulan Syawal ini.
Bulatkan tekad agar Syawal ini tidak semata-mata hilang dengan kegembiraan yang entah ke mana. Tetapi perhiasilah ianya dengan penuh rasa syukur dengan sujud secara berjemaah menyembah Tuhan Yang Maha Esa iaini Allah SWT. Selamat kembali kepada semua penduduk dan jemputlah ke rumah Allah di Surau Wahbah Al-Zuhaily.
P/S : InsyaAllah pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily sedang dalam perancangan untuk mengadakan majlis Hari Raya Aidilfitri seperti mana tahun-tahun yang lalu. Cuma konsep, tarikh dan pengisian akan dibincang secara terperinci di kalangan AJK. Penaja juga sedang dicari bagi menampung kos pelaksanaan majlis tersebut. Doakan ianya berjaya. Nantikan infomasi terkini daripada Surau Wahbah Al-Zuhaily.
Hulurkan sumbangan anda ke akaun di atas.
No comments:
Post a Comment