Sila Klik Nuffnang

Thursday, 9 August 2012

Misteri Apa Yang Tersembunyi Itu...?

Cerita misteri ini telah lama diperkatakan orang. Pelbagai andaian wujud dengan bermacam-macam pendapat dan spekulasi kedengaran bagi merungkai sebuah misteri yang tiada kesudahan itu. Ada yang cuba mencari jalan mudah dengan menjenguk-jenguk di jendela rumah. Tidak kurang pula membuat rumusan seolah-olah ianya sebuah penyelesaian matematik. Mungkin juga paling ramai yang biasa kita dengar ialah perasaan serun di hati hingga berdiri bulu roma di lengan.

Gambar sekadar untuk suspen


Bermula sahaja malam ke-21 setiap kali kedatangan bulan Ramadhan, ramailah manusia cuba merungkai misteri yang diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran itu. Misteri yang membuatkan setiap jiwa umat Islam tidak tenang memikirkan adakah mereka mampu memperolehi sebuah keistimewaan jika misteri itu mampu dirungkai. Timbullah pelbagai teknik seperti merasa suhu air di sungai, melihat tumbuh-tumbuhan rukuk, sujud dan sebagainya yang mana tidak lain untuk menguatkan andaian berlakunya Lailatul Qadar.

Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Surah Al-Qadr 1-5).
 
Seumpama Beribadah 83 Tahun

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang Allah janjikan akan berlaku setiap tahun khas untuk umatnya beribadat mengabdikan diri kepada Pencipta Yang Hak. Allah SWT juga membandingkan nilai malam itu adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Maka, bayangkanlah jika ibadah di malam Lailatul Qadar itu dapat kita lakukan dengan penuh penyerahan kepada-Nya, pasti itulah malam paling indah dalam hidup kita.

Mencari Lailatul Qadar banyak pendapat mengatakan bahawa ianya berada pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Maka bermulalah juga jadual tahajjud bagi Muslim kebanyakan untuk tidak melepaskan peluang merebut janji Ilahi itu. Iktiqaf dan qiamulail menjadi aktiviti wajib yang mendorong kebanyakan orang untuk menjadi masjid dan surau tempat terbaik meraih penghormatan terbesar daripada Allah SWT.

Beruntunglah bagi mereka yang terdetik untuk cekal beribadah di malam hari walaupun ianya datang di sepuluh malam terakhir Ramadhan itu sahaja. Mungkin jika dikurniakan malam lailatulqadar itu, ianya menjadi pemangkin untuk hari-hari mendatang. Lebih beruntung pula, jika ada di kalangan kita yang tidak jemu-jemu solat di malam hari tidak kira di sepuluh terakhir Ramadhan atau tidak. Maka, nescaya lailatulqadar akan menemuinya.

Golongan yang tidak beruntung adalah golongan yang tidak terdetik di dalam hati untuk mempercayai ayat-ayat Allah tentang kelebihan lailatulqadar itu. Pelbagai keistimewaan yang ditawarkan itu adalah datang daripada Allah SWT, namun golongan yang tidak mengambil peluang mempertingkatkan amal ibadah benar-benar akan merasai goyangnya taqwa di dalam jiwa mereka. Mudah-mudahan kita dijauhkan oleh Allah daripada tergolong dalam golongan ini.

Bangunlah...Sujudlah Membesarkan Tuhanmu

Sempena Ramadhan yang mulia ini, ditambah kehadiran sepuluh malam akhir, Surau Wahbah Al-Zuhaily mengajak semua umat Islam  untuk sama-sama bangun di malam hari dan bersujud kepada Tuhan Yang Maha Agung. Dirikanlah solat malam dengan sunat tahajjud, taubat, tasbih dan hajat disamping zikir-zikir munajat membesarkan Allah untuk meraih ganjaran Lailatul Qadar yang tiada bandingannya.

Khas untuk penduduk di sekitar Presint 18 dan Putrajaya pula, Surau Wahbah Al-Zuhaily telah menyediakan program Qiamulail pada 11 dan 12 Ogos ini untuk sama-sama berjemaah memohon keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Mungkin sukar untuk dibuat secara bersendirian. Jadi kesempatan ini amat baik untuk semua lebih-lebih ianya dibuat pada cuti sabtu dan ahad. Semoga program qiamulail ini akan memberi titik permulaan yang terbaik dalam hidup kita untuk meraih Lailatul Qadar. InsyaAllah...

 

No comments:

Post a Comment