Sila Klik Nuffnang

Thursday, 2 August 2012

Hakisan Umat Islam Sedang Berlaku

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Salam Ramadhan kepada seluruh pembaca yang masih setia bersama nukilan blog Surau Wahbah Al-Zuhaily ini.

Rasanya terlalu lama blog ini tidak di 'update' dengan perkembangan Surau Wahbah Al-Zuhaily, tazkirah mahu pun berita-berita semasa. Kali terakhir penulis mencoretkan sesuatu ialah pada 1 Ramadhan yang lalu. Itu pun sekadar memaklumkan jadual kuliah subuh sepanjang Ramadhan. Rasanya tidaklah terlalu sibuk, namun di bulan Ramadhan yang dijanjikan di awalnya Rahmat, dipertengahan Keampunan dan diakhirnya pula Pelepasan Daripada Api Nereka ini, bagaikan tiada kudrat untuk menyelinap ruang 'cloud' yang penuh pancarona ini.

Cuma bila terbayangkan betapa ruang 'cloud' ini juga merupakan satu platform yang baik untuk sesuatu infomasi disebarkan, maka penulis gagahkan juga diri untuk mencoret sesuatu. Sedikit perkongsian pada post hari ini adalah berkenaan dengan peristiwa "hakisan umat Islam" daripada masjid-masjid, surau dan rumah-rumah Allah. Perkara ini sedang berlaku ketika mana Ramadhan sedang menuju ke pertengahannya. Kisah ini tidak sama dengan apa yang berlaku terhadap Muslim Rohingya, tetapi di khuatiri ianya akan jadi lebih parah daripada isu di Barat Myanmar itu.

Kisah etnik Rohingya yang menjadi isu Muslim sejagat ketika ini.

Gambar di atas adalah kisah yang berlaku terhadap Muslim Rohingya. Namun kisah betapa Muslim seluruh dunia sedang terhakis dari sujud di rumah-rumah Allah lagi menggusarkan. Ramadhan baru sahaja ingin memasuki separuh jalan. Namun kadar kehadiran ke surau dan masjid di seluruh negara (kecuali Masjid India) berbanding 7 hari pertama menurun secara drastik. Bila dikaji, perbagai alasan dilemparkan. Tidak kurang juga yang mengatakan solat tarawih hanyalah satu ibadah sunat. Jawapan yang boleh diterima bagi seseorang yang memang telah bergelar a'bid. Tetapi, bagi Muslim "amatur" yang ada di kebanyakan kawasan, solat sunat inilah menjadi pusat tarbiyah untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang beriman.

Inilah keadaannya di Surau dan Masjid ketika awal Ramadhan

Situasi yang menyedihkan apabila tiba dipertengahan. Risau jika bilangan seperti ini sahaja yang tinggal di akhir Ramadhan nanti. Maka akan rugilah umat Islam.

Bulan Ramadhan ini sepatutnya dijadikan medan pertempuran melawan kehendak nafsu yang diracuni bisikan syaitan. Bulan yang Allah ciptakan bukan semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, malah ianya dijadikan bulan untuk setiap Muslim membentuk jiwa supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar Takwa. Jadi, medan ini dibuka sehingga ke akhirnya dan bukan khas untuk minggu pertama sahaja. Semangat di minggu pertama itu seharusnya dilipat gandakan lagi sehingga menjelang 10 malam terakhir. Semangat ini adalah semangat sebenar yang perlu dijaga agar tidak hilang dimamah waktu.

Ambillah kisah daripada Surah Al-Baqarah ayat 239 yang menceritakan bagaimana lunturnya semangat melawan tentera Talut menetang musuhnya iaitu tentera Jalut hanya disebabkan ujian Allah daripada sebatang sungai. Kisah yang terjadi ketika zaman Nabi Daud A.S ini adalah sebagai perbandingan terhadap dunia masa kini yang lemah disebabkan berpunca daripada ujian Allah yang berupa nikmat makan dan minum. Tiadanya kawalan akan mengakibatkan lunturnya semangat untuk kekal beribadah di bulan Ramadhan ini.

Bukalah tafsir-tafsir Al-Quran berkenaan ayat tersebut dan fahamilah isi kandungannya agar kita tidak tergolong di dalam golongan yang kurangnya tahap keimanan kepada Allah. Berdoalah memohon kepada Allah agar diperteguhkan iman supaya cekal meneruskan ibadah kepada-Nya hingga diakhir nanti dapat diimplimentasikan di bulan-bulan sesudah Ramadhan. Janji Allah adalah pasti dan tiada yang lebih indah melainkan rahmat dan syafaat-Nya.

No comments:

Post a Comment