Sila Klik Nuffnang

Monday, 27 August 2012

Meriahnya Rumah Terbuka

Bulan Syawal pastinya akan disambut selama 30 hari oleh masyarakat kita di Malaysia. Perkara ini seolah-olah membalas semula peristiwa sebulan berpuasa. Lebih meriah sebenarnya ialah di kota-kota dan bandar-bandar utama. Kemeriahan yang kadang kala mengatasi indahnya Aidilfitri pada 1 Syawal di kampung halaman.
 
Apa tidaknya, penduduk kota berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka Aidilfitri sehingga ke penghujung bulan Syawal. Perkara ini tidaklah salah di sisi agama mahu pun undang-undang Negara. Cuma ianya perlulah dituruti dengan beberapa adab supaya rumah terbuka ini dianjurkan dengan lebih sempurna tanpa mengetepikan tuntutan agama.

 
Hari ini penulis ingin berkongsi tips-tips yang perlu dipatuhi ketika mana suatu penganjuran rumah terbuka dilaksanakan. Perkongsian ini juga mungkin bukan sekadar untuk rumah terbuka, tetapi panduan untuk setiap aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjung sepanjang Aidilfitri ini.
 
Panduan ini penulis ambil daripada petikan khutbah jumaat yang didengar di Masjid Negara Kuala Lumpur semalam. Khutbah tersebut bertajuk 'Tuntutan Ibadah Di Bulan Syawal'. Khutbah yang disediakan oleh JAKIM ini amat baik untuk kita hayati. Antara lain ianya berkisarkan ibadah puasa 6 hari di bulan Syawal dan selebihnya syariat ziarah, kunjung mengunjung dan rumah terbuka. Untuk post ini cukup sekadar kita kongsi berkenaan pengajuran rumah terbuka.
 

 
Ziarah Sesama Saudara Islam
 
Firman Allah SWT:
 
Maksudnya: Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.(Al-Hujurat: 10)
 
Amalan kunjung-mengunjung dan ziarah sesama Islam ini adalah sebahagian daripada apa yang dituntut oleh Allah SWT. Ini kerana setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka, kaedah sama ada dilakukan secara tidak langsung seperti berziarah atau secara langsung iaitu memenuhi undangan rumah terbuka adalah amat sesuai dilaksanakan oleh setiap Muslim.
 
Panduan Melaksanakan Rumah Terbuka
 
Walaupun pelaksanaan rumah terbuka atau undangan ini digalakkan, namun ada beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh tuan rumah. Penulis mengolah sedikit kandungan khutbah tersebut untuk dijadikan point-point penting yang perlu diamalkan bersama.
 
1. Setiap jemputan tidaklah membeza-bezakan hadirin antara yang miskin dan kaya. Jadikanlah semua jemputan adalah sama sebagai saudara Muslim.
 
2. Contohilah sifat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa memuliakan tetamunya.
 
3. Disarankan agar menghidangkan kepada tetamu yang terbaik dengan mengikut kemampuan tuan rumah.
 
4. Jangan ada sifat membangga diri di atas jemputan rumah terbuka seperti menunjuk-nunjuk perhiasan rumah, perabot dan sebagainya. Elakkan juga menghidangkan juadaha yang terlalu mewah sehingga membawa fitnah daripada tetamu yang hadir.
 
5. Niatlah agar setiap apa yang dilaksanakan tidak lain selain daripada untuk mendapat keredhaan Allah SWT serta menggembirakan sahabat dan saudara-mara.
 
 
Panduan Menjadi Tetamu
 
Sebagai tetamu pula, terdapat beberapa perkara yang perlu digariskan agar ianya tidak lari daripada adab seorang Muslim di dalam aktiviti ziarah dan kunjung mengujung ini.
 
1. Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya.
 
2. Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang membuat undangan.
 
3. Hendaklah menolak undangan di mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka membesar diri. Hadith Rasulullah SAW:
 

Maksudnya: Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
 
4. Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.
 
5. Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.
 
6. Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum   berpisah. Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam.
 
7. Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.
 
8. Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan mengambil masa yang lama ketika berziaarah.
 
Tiada Halangan Rumah Terbuka
 
Fahamilah bahawa, Islam tidak menghalang sebarang pelaksanaan program rumah terbuka selagi mana ianya dilaksanakan mengikut garis panduan syarak. Maka, kita semua berhak melakukannya. Namun, perlu diingat. Batasilah setiap pergaulan agar hikmah rumah terbuka ini benar-benar menuju redha Allah.
 
Carilah rahmat dan keberkatan Allah sepanjang Syawal ini. Hindarilah perkara-perkara mungkar yang boleh merosakkan harmoninya sesuatu penganjuran rumah terbuka ini. Bukan kekenyangan dan kemegahan yang didambakan melainkan lindungan dan syafaat Allah yang berkekalan.
 
 





 
 

No comments:

Post a Comment