Sila Klik Nuffnang

Monday, 6 August 2012

Hiasilah Hidup Dengan Al-Quran

Tanggal 17 Ramadhan di setiap tahun menjadi satu tarikh yang amat istimewa bagi seluruh umat Islam di dunia ini. Keistimewaan yang sebelum ini mungkin tidak tergambar oleh manusia sebelum Nabi Muhammad SAW membawa syiar Islam ke bumi indah ciptaan Allah.


Tidak lain tarikh tersebut tentunya mengingati peristiwa turunnya Al-Quran kepada umat manusia atau lebih dikenali dengan nama "Nuzul Al-Quran". Peristiwa Nuzul Al-Quran ini amat besar maknanya kepada umat manusia kerana tarikh 17 Ramadhan itu diberitakan merupakan tarikh turunnya ayat pertama dari Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW untuk memulakan dakwahnya kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Itu adalah sejarah yang semua manusia sama ada umat Islam atau bukan, tahu dan yakin bahawa Al-Quran adalah mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW.

Walaupun terdapat beberapa khilaf dan pendapat yang berbeza tentang tarikh serta perihal Nuzul Al-Quran, namun sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah, itu bukanlah satu perdebatan yang perlu diperbesarkan, lebih-lebih lagi mereka yang bukan ahli atau alim tentangnya. Perdebatan dan isu yang paling penting bagi majoriti umat Islam adalah bagaimana Al-Quran itu menghiasi kehidupan seharian kita. Adakah Al-Quran benar-benar disebut sebagai perhiasan seperti mana dekorasi di dalam sesebuah rumah..? Atau ianya sebagai pelindung kepada gangguan Iblis dan Syaitan..? Mungkin juga sekadar salah satu daripada hadiah hantaran semasa perkahwinan..?

Sahabatku: Al-Quran Bukan Sekadar Hantaran

Inilah persoalan pokok yang perlu dikaji semula oleh seluruh umat Islam bagi memastikan Al-Quran ini dijadikan sebagai panduan hidup sama ada untuk menuju janji Akhirat atau juga mentadbir pengurusan hidup harian di atas muka bumi ini.

30 juzuk Al-Quran yang telah disusun indah itu telah pun melakarkan pelbagai panduan untuk umat manusia. Di dalamnya diberitakan kisah umat terdahulu dan akan datang, di dalamnya juga dihiasi kisah-kisah perbandingan antara manusia dan ciptaan Allah yang lain. Hukum hakam setiap perbuatan manusia juga termaktub di dalamnya, balasan syurga dan neraka disingkap sebagai panduan manusia memilih dosa atau pahala. Kaedah sains, geologi, astronomi, muamalat, kekeluargaan hatta kepada sukan dan hiburan juga diperincikan kepada kita agar ianya diangkat sebagai sebuah kitab yang paling agung untuk panduan hidup orang beriman.

Maka ambillah kesempatan ketika peristiwa Nuzul Al-Quran ini disambut di seluruh dunia, untuk sama-sama kita menjadikan Al-Quran sebagai guideline dalam setiap sudut aktiviti harian kita. Tidak salah jika meletakkan potongan ayat-ayat Al-Quran sebagai hiasan rumah, namun lebih penting dari itu ialah menghiasi minda, jiwa dan hati dengan keseluruhan kandungan Al-Quran. Tiada juga ia dosa bagi hantaran perkahwinan senaskhah Al-Quran, tetapi lebih penting perkahwinan itu sendiri berasaskan nilai-nilai Al-Quran seterusnya kekal dalam kehidupan mengikut panduan Al-Quran.

Al-Quran Adalah Pelembagaan Hidup

Kepada semua sahabat dan para pembaca, marilah sama-sama kita meneruskan kehidupan ini dengan panduan Al-Quran. Hiasilah setiap ruang hidup dengan manfaat dari Al-Quran. Di bulan Ramadhan ini juga marilah kita penuhi ruang waktu dengan mendekatkan diri dengan Al-Quran. Sertailah program-program Tadarrus Al-Quran dimana sahaja anda berada. Masuklah kamu ke dalam majlis-majlis yang membesarkan Allah, Rasul-Nya serta Al-Quran. Hiburkanlah hatimu yang sunyi itu dengan alunan merdu ayat-ayat Al-Quran. Semoga Al-Quran yang dijanjikan pemeliharaannya itu akan sama-sama terpelihara di dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. InsyaAllah...

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita merenung sepotong hadith sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Al-Quran, mahupun dari nabi atau malaikat."

No comments:

Post a Comment