Sila Klik Nuffnang

Thursday 30 August 2012

Merdekakah Kita Wahai Rakyat Malaysia

Tanggal 31 Ogos pastinya merupakan tarikh yang dianggap keramat bagi Negara kita. Tarikh ini pastinya akan dikenang sebagai sebuah sejarah yang tidak akan padam di dalam perjalanan sebuah Negara merdeka iaitu Malaysia.

Malaysia Tanah Airku

Bermula kira-kira hampir sebulan yang lalu, kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 telah mula dirasai di sana-sini. Kibaran 'jalur gemilang' melambangkan Negara ini tidak lagi dijajah oleh pihak luar. Penjajahan ini pastinya akan menyebabkan hilangnya identiti rakyat Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat. Pasti kemerdekaan amat bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia.

Di Presint 18 khususnya di Fasa R12 juga didapati suasana merdeka ini juga amat jelas terpancar. Bendera Malaysia dengan gah berkibaran dengan pelbagai corak susunan dan kreativiti. Penulis amat teruja dengan suasana sambutan tahun ini. Ditambah pula ianya berkongsi sama dengan suasana Ramadhan dan Aidilfitri, maka berganda-ganda kemeriahannya.

Jalan masuk di Presint 18 Fasa R12 meriah dengan kibaran Jalur Gemilang

Kredit yang tinggi penulis berikan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bersengkang mata siang dan malam menghiasi sekitar apartment Presint 18 Fasa R12. Lebih indah pastinya jika malam itu dikurniakan Allah sebagai Lailatulqadar. Rahmat Allah juga akan memayungi semangat kental mereka. InsyaAllah...

Petugas KRT bekeja sehingga lewat malam menyemarakkan kemerdekaan. tahniah


Maka dengan itu adalah benar... 55 tahun Negara telah merdeka tanpa dijajah. Secara jasad dan kependudukannya kita kekal tidak dijajah selepas tahun keramat 1957. Namun, bagaimana pula roh kita? Pastinya persoalan ini khas dituju kepada kita rakyat Malaysia yang menyatakan tauhid kepada Allah Taala. Merdekakah jiwa kita sebagai Muslim?

Kemerdekaan Dari Perspektif Islam

Apa sebenarnya erti kemerdekaan yang kita cari bagi memperkemaskan diri seorang Muslim di dalam sebuah Negara yang telah merdeka..? Cukupkah sahaja dengan mengibarkan bendera? Ya..bendera adalah lambang, namun roh dan jiwa adalah paparan terbaik bagi sesebuah kemerdekaan.

Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum yang berbunyi "Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan roh bangsa itu sendiri.
 
Sedarkah kita bahawa walaupun Negara tidak dijajah secara mutlak, namun pemikiran dan jiwa bangsa semakin hari semakin terjajah dengan sifat, sikap dan ideologi yang ditinggalkan penjajah. Kadang kala penjajahan itu berlaku tanpa perlu menghantar bala tentera, tetapi dihantar melalui propaganda yang pastinya meruntuhkan akhlak umat Islam.
 
Islam Itu Memerdekakan Roh dan Jasad
 
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh. 

Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin  yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.
 
Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri  daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.

Ambillah iktibar daripada apa yang Islam bawa untuk sebuah erti sebenar kemerdekaan. Pupuklah akhlak dan nilai murni Islam di dalam setiap jiwa rakyat Malaysia agar kemerdekaan ini tidak sekadar terlepas dari jajahan negara, tetapi merdeka daripada kemungkaran kepada Allah SWT. Waallahu'alam.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55. Merdeka...merdeka...merdeka...!!!




No comments:

Post a Comment