Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Ramadhan kian menghampiri penghujungnya. Fasa terakhir akan bermula sebaik sahaja kiraan Ramadhan menjejak angka 21. Seharusnya, saat ini penghitungan amalan diri telah mula dikira-kira. Matlamat utama untuk menjadi orang yang bertaqwa adakah berjaya digapai atau masih di dalam awangan sahaja.
Adakah kita akan terfikir bahawa Ramadhan akan muncul lagi pada tahun hadapan? Apakah layak untuk Allah beri kesempatan untuk terus menemui Ramadhan seterusnya? Bilakah pula pengakhiran Ramadhan dalam kalender diri kita? Hidup ini pasti bukan untuk selamanya. Maka akan ada di dalam hidup kita Ramadhan yang terakhir untuk beribadah kepada Allah. Persoalkan ini di dalam diri kita: Andai Ini Ramadhan Terakhirku...
Sempena Majlis Berbuka Puasa yang akan diadakan pada 12 Ogos 2012 (Ahad) ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu slot ceramah khas Ramadhan yang bertajuk "Andai Ini Ramadhan Terakhirku". Slot ceramah ini akan mengupas persoalan yang dinyatakan di atas dengan menjemput Ustaz Mohd Aizam bin Mas'ud sebagai penceramahnya.
Marilah sama-sama kita mengimarahkan slot ceramah ini untuk menghayati sejauh mana Ramadhan ini telah diisi dengan sebaik-baik pengisian. Renungkanlah betapa indahnya Ramadhan ini jika dipenuhi dengan majlis-majlis ilmu yang dijanjikan lembayung rahmat daripada Allah SWT.
Semoga kita mendapat manfaat daripada ceramah ini. Kerana tiada jaminan kita akan terus berada pada Ramadhan yang akan datang. Andai ini... Ramadhan terakhirku....
No comments:
Post a Comment