Sila Klik Nuffnang

Thursday, 16 August 2012

Ramadhan ini menggamit ingatan buat ayahku..

Sebelum aku terus memainkan jari jemari untuk menyusuri sebuah kisah Ramadhan yang bakal pergi beberapa ketika lagi, ingin aku pohon semua pembaca agar didahului dengan bacaan umul kitab buat ayahanda tercinta yang lebih dulu mengadap Penciptanya. Al-Fatihah.

Ramadhan 1433H adalah tahun ke sepuluh aku menyusuri bulan ibadah ini tanpa kasihnya seorang Ayah. Jauh jarak waktu di belakang yang kutinggalkan bersama kenangan Ramadhan yang pasti tidak akan padam. Ramadhan ini hampir berakhir dengan seribu satu memori sedang menggamit ingatanku sebagai seorang anak yang dhaif. Terkenang juga di saat aku melayari 'waktu gelapku'. Waktu dimana aku alpa sedangkan aku telah dididik dengan penuh hikmah untuk mengenal Allah Yang Maha Esa.

Hari ini aku merintih mengenang setiap saat Ramadhan itu. Deretan kisah sejak dari usia kanak-kanak terus berlegar diminda merindui agar ia datang lagi. Seakan mustahil jika itu adalah waktu usiaku 9 tahun. 20 tahun telah berlalu dengan pantas.

Masih tergambar jelas kasih seorang ayah kepada aku. Aku adalah teman paling setia arwah ayah di masjid setiap kali Ramadhan menjelma. 20 rakaat beserta 3 witir aku cekal berdiri di belakang para jemaah yang jauh lebih dewasa.

Arwah ayah tidak pernah memaksa aku mengikutinya tanpa henti. Kadang kala ayah akan menjeling ke belakang memerhatikan anaknya ini jikalau penat atau mengantuk. Aku hanya memandang kembali tanda kudratku masih kekal bersama. Itulah hikmah seorang ayah yang menunjukkan contoh kepada si anak. Arwah ayah terus tersenyum tanda sokongan.

Setiap pujian daripada ahli jemaah lain menjadikan aku sentiasa bersemangat meneruskan perjuangan terawih sehingga penghabisan Ramadhan. Anak kecil sememangnya perlukan penghormatan di setiap perbuatan baik yang dilakukannya. Itulah motivasi terbaik bagi kanak-kanak sepertiku di masa itu. Arwah ayah tidak pernah menjanjikan hadiah menarik untuk aku jika berjaya menghabiskan terawih. Cuma aku tahu, semangat ayah tetap mengalir dalam tubuh kecilku.


Beberapa tahun berikutnya, selepas aku telah mula konsisten mengikuti ibadah-ibadah sunat di bulan Ramadhan, ayah mengorakkan langkahku setapak ke hadapan. Bayangkan dalam usia di bawah 12 tahun, aku telah mula berjinak-jinak sebagai seorang bilal terawih di Masjid Kg. Bukit Keledang. Tidak lain, ayah adalah orang paling penting membentuk tingkah laku seorang anak kecil sepertiku. Aku gagahkan ia di dalam kegusaran demi kesungguhan seorang ayah.

Selawat Nabi ketika selang antara 2 rakaat terawih aku alunkan dengan suara halus seorang kanak-kanak. Berkat usaha arwah emak yang mengajar aku Al-Quran dan pembacaan tulisan Arab juga banyak memainkan peranan penting. Di sini aku dapat rasakan bahawa ayahku tidak lain adalah semata-mata ingin melihat aku ada keyakinan diri. Keyakinan yang aku bawa bersama sehingga hari ini walau tidak pernah sempat ditonton oleh arwah ayah.

Terkadang aku juga memendam perasaan. Melihat telatah kanak-kanak lain bermain bunga api dan mercun, aku jadi teruja. Arwah ayah bukan rigid orangnya. Disamping aku diasuh agar menjadi orang berguna, alam kanak-kanak sedikit pun tidak pernah dilupa. Bunga api dibelikan supaya aku juga merasai keseronokan itu. Mungkin juga hadiah kepadaku yang terus berbakti kepada masjid sebagai bilal muda.

Setiap kali pulang selepas terawih, tergambar wajah arwah emak yang setia menunggu kepulangan kami dengan juadah moreh. Di masjid kadang-kadang ada, kadang tiada. Itu juga saat yang kerap bermain dibenakku. Mak pasti akan simpan kuih muih untuk dijamu selepas pulang terawih. Ketika itu mak akan bertanya mengenai terawih dan tugasku sebagai bilal di masjid. Aku bercerita. Ayah tersenyum. Mak juga gembira. Seakan akulah anak kebanggaan mereka walau sering dirotan kerana degil dalam urusan lain.

Selain kerja-kerja masjid dan kefahaman agama yang mudah melekat di dalam diri, aku juga seorang anak yang sering dimarahi. Minat menggila dengan sukan tidak digemari arwah ayah. Tidak menjadi pelajar cemerlang akademik juga menjadi kerisauan emak. Bola..bola...bola... Itu sahaja yang ada. Mujur keputusan arwah mak dan ayah menghantar aku ke sekolah menengah agama dilihat tepat untuk membentuk jati diri mukmin dalam diri ini. Aku rasa ini antara sumbangan terbesar mereka berdua.

Menjelang usia awal remaja, arwah ayah semakin bersungguh dalam membentuk aku untuk menjadi seorang di kalangan para asatizah. Arwah ayah bukan ustaz. Tidak sempat pun mendapat title 'haji' di usianya. Tetapi berbekalkan jawatan pengerusi masjid ketika itu, ayah memberi peluang anak muda sepertiku untuk tampil memberanikan diri. Jadual tazkirah Ramadhan disusun dengan baik. Nama aku disertakan agar aku mampu berkata-kata seperti seorang ustaz suatu hari nanti.

Bermula dengan hanya membaca potongan hadith Nabi, aku beralih kepada petikan ayat Al-Quran. Semuanya tersedia dan aku hanya perlu membaca walau menggigil seluruh tubuh kesejukan. Arwah ayah tetap percaya kepadaku. Kepercayaan itu menggamit usaha yang lebih jitu di dalam diriku. Dibuka segala jenis kitab untuk aku berani menyusun kata-kata yang lebih teratur.

Satu malam, aku masih ingat kegembiraan wajah ayah yang tidak mampu aku lihat lagi ketika ini. Pulang dari terawih, ayah terus bercerita dengan mak tentang perihal tazkirahku sebentar tadi. Dihulurkan wang kertas RM10 tanda itu sahaja hadiah yang termampu diberikan kepadaku. Gembira sungguh ketika itu. Aku juga tidak menyangkakan aku mampu jadi seperti malam itu.

Malam itu, ketika selang solat terawih, seperti biasa diadakan tazkirah. Malam itu jadual untuk aku berdiri di hadapan. Aku menghafal matan hadith, diterjemah dan dihuraikan dengan sepontan ala-ala seorang ustaz. Perkara yang belum pernah dilakukan oleh petugas tazkirah lain yang lebih berusia daripadaku hatta seorang yang bergelar guru. Arwah ayah jelas terpaku dengan kemampuanku itu. Mungkin itu antara saat yang pernah membuatkan ayah bangga memiliki seorang anak lelaki sepertiku.

Ketika aku berusia 13 tahun, di tahun pertama di Sek. Men. (A) Al-Khairiah, aku pernah sekali membanggakan ayah apabila menerima sijil hafazan Al-Quran yang disampaikan sendiri oleh ayah sebagai wakil PIBG sekolah. Pulang hujung minggu ke rumah, ayah memberiku hadiah sehelai baju melayu dan kain pelikat jenama Atlas. Aku masih ingat semua tu. Ayah nyata tidak sangka salah seorang penerima sijil adalah anaknya sendiri. Jika aku ditempat ayah juga pasti akan bangga dan mengalirkan air mata.

Kini setelah lebih 10 tahun berlalu, tiada lagi sosok tubuh ayah untuk diperlihatkan kegembiraan terhadap anaknya. Kesal kerana aku tidak berterusan membanggakan di ketika hayatnya. Impian ayah untuk aku menjadi ustaz tidak kesampaian kerana aku memilih keluar dari bidang agama selepas tamat persekolahan. Ayah yang uzur ketika itu tidak mampu menghalang. Itu kekesalannya dan kekesalanku. Maafkan aku ayah.

1423H dan seterusnya, aku lalui tanpa pimpinan tangan dingin ayah. Aku menyusuri kegelapan dengan hanya berbekalkan semangat ayah yang tetap dibawa. Setidak-tidaknya Ramadhan yang aku lalui masih lagi digagahi dengan solat terawih dan bacaan Al-Quran. Itu sahaja yang termampu untuk dijadikan jariah kepada ayah. Tahap anak soleh terlalu jauh lagi hendak dicapai.

1433H menggamit ingatan yang amat kuat. Masakan tidak. Sebelum ini semangat ayah sahaja aku bawa, kini aku rasakan seolah rohnya bersatu dengan jasadku. Saban malam aku termimpikan raut wajahnya. Saban hari aku terbayangkan saat-saat Ramadhan bersamanya. Saban waktu jugalah aku rasakan apa yang aku lakukan tidak lain adalah apa yang dilakukan juga oleh ayah.

Hari ini aku bergelar pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily. Jawatan terakhir ayah juga sebagai pengerusi. Level masjid dan surau sahaja tidak sama. Peranan ayah juga sedang aku harungi. Adik bongsu yang tidak sempat digarap oleh arwah ayah kini menjadi tanggungjawabku. Hujung minggu aku menjemputnya berbuka puasa di rumah. Ada perkara yang belum selesai.

Mengenangkan adik bongsuku itu, samalah aku melihat zaman gelapku tanpa bimbingan seseorang. Walau aku hanya seorang abang, aku yakin dia mampu menuruti juga langkahku suatu hari nanti. Setiap kali selesai terawih, aku akan pastikan adikku turut serta dalam program taddarus. Alhamdulillah...dia masih seorang yang lekat ayat-ayat Al-Quran dibibir walau ada kesilapan yang perlu diperbaiki.

Ketika bertahajjud, aku mengajaknya turut serta. Aku tahu adikku perlukan guide agar tidak lari jauh dari landasan yang pernah dicipta oleh mak dan ayah. Mujur segala panduan itu sempat diturunkan kepadaku. Ahad lalu, dia juga menyertai majlis khatam Al-Quran dengan segak berbaju melayu sepasang. Aku turut bangga seperti mana bangganya arwah ayah dulu jika anak ini cenderung di dalam program agama. Arwah ayah pasti juga pasti bangga dengan anak bongsunya itu jika dia masih bersama kami.


Keesokkan hari selepas majlis khatam, adikku terus bertanyakan tentang gambar majlis. Pasti dia sendiri teruja dengan majlis itu. Aku usahakan demi sebuah kegembiraan diri sama juga seperti apa yang arwah ayah lakukan. Tuhan sahaja yang tahu perasaanku ketika itu. Walau susah aku usahakan juga agar dapat menghantar sekeping dua gambar kepadanya sebagai kenangan dalam usaha menapak kembali menuju fitrah. InsyaAllah..

Ayah.. aku masih ada tugas yang belum selesai. Tugas untuk memastikan zuriatmu menjadi zuriat yang soleh dan solehah. Mungkin bukan di kalangan anakmu, namun aku akan usahakan agar cucu cicit keturunanmu muncul juga seorang ilmuan Islam hebat lagi soleh yang mampu mendoakanmu, aku serta seluruh keluarga ini. Tugas ini walau tidak berwasiat, aku tetap yakin ianya adalah impian dirimu wahai ayah.

Doakan aku wahai ayah jika engkau sedang bahagia di sana. Doakan agar anakmu ini menjadi seperti mana yang kau impikan. Doakan juga aku agar mampu memimpin adik-adikku agar terus beriman kepada Allah yang satu. Bantulah aku dengan kecekalan semangat jihadmu untuk mendidik isteri dan anak-anakku agar bertakwa kepada Ar-Rahman. Serapkanlah rohmu yang sentiasa bermujahadah ke dalam diriku agar aku mampu membina keluarga yang kekal di jalan Ar-Rahim.

Wahai ayah.. Ramadhan ini amat berat bagiku untuk melepaskannya. Kerana Ramadhan ini engkau seakan hidup disisiku. Kaulah semangatku. Engkau juga pendorong agar aku tabah dalam setiap tingkahku. Di sebabkan itu, pasti akan aku martabatkan Islam di dalam keluarga ini. Pasti jua akan berkibar bendera Islam di setiap sisi perjalanan hidupku.

Ya Allah..Jangan kau jadikan Ramadhan ini yang terakhir bagi diriku. Aku akan merindui Ramadhan ini kerana aku juga amat merindui ayahku. Berikanlah aku kesempatan untuk berada di dalam Ramadhan mendatang demi sebuah pertemuan bersama ayahku walau cuma di dalam kenangan. Ya Allah..Kau bahagiakanlah ayah dan ibuku di sana. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku di waktu kecilku. Tempatkanlah mereka di kalangan hamba-hambamu yang soleh. Ya Allah...perkenankanlah doa hambamu ini.

Lagu Buat Ayah:

Doa Untuk Ayah-Hamdan Senario

Sehening suria pagi yang bersinar
semerdu kicau burung yang sedang berlegar
yang pasti menjanjikan damai
harmoninya alam semesta

Tidak seperti aku yang sedang melara
di hatiku terasa pilu dan hiba
aku yang telah kehilangan
aku yang sedang kesunyian
di saat bahagia di hari mulia

kau pergi meninggalkan kami dengan sekelip mata
di saat kami memerlukan kasih sayangmu ayah...
Ya Tuhan sampaikan doaku
Ya Tuhan sejahterakan dia
di pagi hari mulia ini
moga rohnya tenang bersemadi

No comments:

Post a Comment