Sila Klik Nuffnang

Monday, 6 August 2012

Pengajaran: Kekalahan Lee Chong Wei vs Kemenangan Perang Badar

Di saat Ramadhan menuju malam ke-17 (yang dicatatkan sebagai tarikh peristiwa Nuzul Al-Quran dan Badar Al-Qubra), mata rakyat Malaysia tentunya terarah kepada skrin televisyen demi menanti sebutir pingat emas pertama Olimpik yang belum kunjung tiba. Sebuah pertembungan epik di antara pemenang pingat emas Olimpik Beijing 2008 Lin Dan bertemu jaguh Malaysia, Datuk Lee Chong Wei di dalam aksi final Badminton Olimpik 2012.


Sukar untuk dicerita bagaimana perasaan Chong Wei yang sepanjang perlawanan memikul beban 28 juta harapan untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang di pentas Olimpik. Tidak seperti Lin Dan yang pernah bergelar juara, juga negaranya China yang telah mengumpul ratusan pingat emas Olimpik, Chong Wei terpaksa bermain menentang skil, kepantasan, emosi, tanggungjawab dan harapan. Dalam perlawanan ini, Chong Wei seolah-olah akan menentang empat orang lawan.
Kekecewaan yang tidak dapat ditutup oleh Lee Chong Wei

Umum telah mengetahui keputusannya. Datuk Lee Chong Wei sekali lagi terpaksa menelan hakikat bahawa tiada kilauan emas pertama Olimpik dari acara badminton. Allah sahaja yang mengetahui adakah 4 tahun lagi dia akan mampu bertarung di Brazil. Lin Dan telah memenangi emas setelah menumpaskan Chong Wei 15-21, 21-10 dan 21-19. Walaupun kalah, Chong Wei tidak perlu rasa bersalah. Dia tetap istimewa berbanding atlit dari negara lain seperti Lin Dan.

Lee Chong Wei hanya lahir di kalangan pemain badminton negara yang lain ditahap mengecewakan. Tanpa rakan sepelatih yang berkualiti, dia mampu survive untuk menjadi satu-satunya pemain yang mempunyai tahap sama seperti Lin Dan. Kebetulan pula dia lahir di kalangan begitu ramai pemain berkualiti dilahirkan oleh China seperti Chen Long, Chen Jin dan Boa Chunlai. Lihat bagaimana peritnya liku yang perlu dilalui untuk bersaing di peringkat yang tidak layak pun pemain lain di Malaysia kecapinya.

Apa Pengajarannya dan Kaitan Perang Badar?


Peristiwa perang Badar yang dikisahkan pada zaman Nabi Muhammad SAW berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Tanggal 17 Ramadhan 1433H adalah tarikh pertembungan akhir badminton Olimpik 2012.

Perang Badar yang berlaku antara kaum Ansar Madinah dan Kafir Quraisy menceritakan betapa ketika itu tentera Islam di dalam kuantiti yang jauh lebih lemah berbanding tentera Quraisy. Di saat itu, hanya lahir beberapa orang pahlawan Islam yang benar-benar hebat berbanding pihak lawan. Salah seorangnya ialah Saidina Ali bin Abi Talib iaitu sepupu Nabi Muhammad SAW. Walaupun tidak berkemampuan dari segi kekuatan tentera, namun Perang Badar mencatatkan kemenangan kepada Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)." [Surah Al-Imran, 3:123]

Pasca Perang Badar, tentera-tentera Islam beserta tawanannya pulang ke Madinah dalam keadaan yang cukup sederhana. Tiada pujian menggunung serta cercaan kepada tawanan, menunjukkan itulah semangat tentera yang terbaik hasil didikan Islam. Hal itu akhirnya menawan beberapa orang tawanan untuk mengenal keindahan Islam lalu menganutinya.

Belajar Dari Perang Badar

Selepas kekalahan Datuk Lee Chong Wei, penulis banyak terfikir beberapa kisah pasca Perang Badar. Bukan terarah kepada Chong Wei, tetapi seluruh Malaysia yang menawarkan pelbagai ganjaran kepadanya. Jongkong emas, , pencen, simpanan tetap hatta kepada aiskrim percuma. Apakah ini strategi menghadapi kemenangan yang diajar oleh Islam..? Pengajaran dari Perang Badar langsung tidak didalami oleh orang-orang atasan baik di peringkat agensi sukan atau seluruh pentadbiran negara. Ganjaran sebenarnya bukan sebuah pendorong motivasi terbaik dalam sebuah pertempuran. Maka di situlah Allah tunjuk bagaimana kekalahan ini juga adalah asbab mengapa kita tidak belajar strategi menghadapi kemenangan seperti mana Peristiwa Badar Al-Qubra.


Buku di atas amat sesuai dibaca di kala kita sedang mengingati peristiwa yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu. Ia juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada para pejuang lebih-lebih umat Islam untuk menghadapi kemenangan seperti mana yang diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Melihat daripada apa yang berlaku kepada kekalahan Chong Wei juga, adalah daripada lemahnya majoriti umat Islam menghayati saat-saat kemenangan Badar Al-Qubra.

Belajar dari Perang Uhud

Satu lagi kisah yang perlu direnung oleh umat Islam dan juga para atlet seperti Datuk Lee Chong Wei ialah bagaimana strategi untuk menghadapi kekalahan seperti mana yang berlaku ketika perang Uhud. Jangan sedikit pun terkesan dari segi emosi dan mental dengan kekalahan ini, kerana pasti usaha dan penyerahan kepada Allah yang berkekalan akan di balas jua dengan kemenangan diakhirnya.

Kepada Datuk Lee Chong Wei, janganlah sesekali berasa putus harapan dengan apa yang telah berlaku. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik daripada kemenangan di Olimpik 2012 menanti anda. Anda tetap wira bagi seluruh rakyat Malaysia.

Khas kepada seluruh pemimpin, agensi, badan-badan sukan dan sesiapa sahaja yang mempunyai harta, ingatlah akan peristiwa Perang Badar. Janganlah terlalu asyik dibuai mimpi indah sedang bahu yang memikul tidak sedikit pun kita rasa bebannya. Ambillah iktibar di bulan Ramadhan yang mulia ini agar suatu hari nanti, pingat emas pertama Olimpik akan terhasil juga.

Tahniah untuk Datuk Lee Chong Wei..


No comments:

Post a Comment