Sila Klik Nuffnang

Monday 8 October 2012

Cadangan Program Qurban AidilAdha 1433H

Bulan Zulkaedah sudah menghampiri ke penghujungnya. Di mana-mana masjid dan surau pastinya waktu ini perbincangan yang paling hangat ialah perancangan pelaksanaan program bagi menyambut kehadiran Hari Raya AidilAdha yang disyariatkan dua ibadah utama. Pertamanya ialah menunaikan fardhu Haji di Baitullah dan kedua ialah ibadah qurban.

Gambar hiasan

Surau Wahbah Al-Zuhaily sebagai sebuah organisasi yang berdaftar juga telah membincangkan satu program yang berkaitan dengan ibadah qurban. Perbincangan yang telah diadakan pada 4 Oktober yang lalu mencapai persetujuan untuk diadakan program qurban di Presint 18 Fasa R12. Pihak jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga telah menghantar wakil pada perbincangan tersebut selain ahli jemaah dan penduduk setempat.

Hasilnya, satu program akan dilaksanakan pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh : 28 Oktober 2012 (Ahad)
Bersamaan 12 Zulhijjah 1433H
Masa : 8.00 pagi - 11.00 malam
Tempat : Perkarangan Surau Wahbah Al-Zuhaily

Sebagai makluman kepada semua, pihak surau dan penganjur tidak berkesempatan untuk membuka penyertaan bahagian bagi sesiapa yang berminat. Ini kerana pihak surau telah pun menerima 2 ekor lembu dan seekor kambing untuk dikorbankan pada hari tersebut. Dikhuatiri jika dibuka penyertaan, pihak surau dan penganjur tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk melapah dan membahagikan daging yang berkuantiti besar. Pihak surau hanya akan membuka kepada sumbangan tidak melebihi 3 ekor lembu sahaja untuk tahun ini.

Berkenaan dengan program pada tarikh tersebut, pihak surau dan penganjur memerlukan sumbangan dari segi tenaga kerja daripada seluruh penduduk di sekitar Presint 18 khususnya Fasa R12. Penduduk dari fasa berhampiran seperti R13, R8, R4 dan teres juga adalah dialu-alukan. InsyaAllah pihak surau akan menyediakan sedikit cenderahati kepada semua petugas.
Tentatif dan aturcara serta pengisian lengkap sepanajng program akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat lanjutan program. Sumbangan para penduduk juga dialu-alukan dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan, peralatan, bahan mentah atau apa sahaja yang boleh membantu sepanjang program tersebut. Mudah-mudahan sumbangan tersebut juga akan dikira sebagai suatu ibadah disisi Allah swt.

Harapan pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily serta pihak KRT dan seluruh jawatankuasa penganjur adalah semoga program ini dapat diadakan dengan lancar dan jayanya. Sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk bekerja di dalam sebuah masyarakat yang harmoni seterusnya meningkatkan suasana mahabbah di kalangan penduduk. InsyaAllah...


No comments:

Post a Comment