Menggemparkan apabila seorang pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan mengenai isu misteri jemaah-jemaah ghaib di dalam satu post melalui laman facebook miliknya. Post berkenaan disiarkan secara umum kira-kira hampir sebulan yang lalu dan pelbagai pihak memberikan komen serta pandangan peribadi masing-masing. Lebih mengejutkan lagi, entry tersebut dengan jelas menyebut dimana lokasi kejadian tersebut berlaku. Ianya menyebabkan para jemaah yang sama-sama bersolat di masjid/surau berkenaan tertanya-tanya dan secara tidak langsung pihak berwajib mula membuat siasatan akan kebenaran dakwaan pegawai JAKIM tersebut.
Ini adalah sedikit cetakan skrin (print screen) yang diambil daripada wall laman facebook milik Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM tersebut.
(Fb milik Ustaz Aizam bin Mas'ud)
Benar..masjid/surau yang dimaksudkan ialah Surau Wahbah Al-Zuhaily, Presint 18 Fasa R12, Putrajaya. Sebagai ahli jawatankuasa surau, kami sedikit pun tidak pernah terkilan dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Aizam bin Mas'ud kerana beliau adalah salah seorang tenaga pengajar tetap di surau ini. Beliau tidak pernah berkira tentang ilmu dan masanya untuk dikongsi bersama seluruh penduduk yang bergelar ahli qariah Surau Wahbah Al-Zuhaily ini. Namun, sebagai insan yang mempunyai naluri kebanyakan, tercalit juga secebis kedukaan. Ke mana ghaibnya jemaah-jemaah ini..? Lihat sahaja komen paling atas. Adakah surau ini hanya untuk golongan jin sahaja..? Ke mana perginya semua manusia..??
Kami sebagai Ahli Jawatankuasa surau serta merta menilai kelemahan-kelemahan yang berlaku di dalam pentadbiran surau sehingga mana berlakunya misteri jemaah ghaib ini. Tidak dinafikan bahawa golongan jin juga antara pendengar setia di dalam sesuatu majlis ilmu. Cuma jumlah kehadiran golongan itu bukanlah menjadi tanggungjawab kami untuk diaudit. Kehadiran manusia yang mengaku dirinya seorang muslim itu yang amat diharapkan. Kita tidak boleh merasakan bahawa kita telah cukup dengan ilmu Allah untuk dibawa semasa penghitungan-Nya. Sedangkan perbandingan ilmu Allah yang kita miliki ialah seumpama mencelup satu jari di dalam laut. Setitik air di jari itulah ilmu yang kita ada berbanding luasnya laut sebagai kalam Allah yang tidak terkira nilainya.
Hebatnya Majlis Ilmu
Rentetan daripada post di atas, Al-Fadhil Ustaz Aizam dalam satu kuliahnya baru-baru ini ada menyentuh berkenaan tingginya nilai sesuatu majlis ilmu yang kita hadiri. Antara isi kandungan yang disentuh ialah:
i. Betapa ruginya sebahagian besar umat Islam yang hadir bersolat jemaah di waktu maghrib, pulang meninggalkan begitu sahaja majlis ilmu yang diadakan di surau/masjid. Inilah antara makna jemaah ghaib yang dimaksudkan. Mereka sekadar mendirikan solat berjemaah tetapi ghaib sesudah itu daripada bersama di dalam majlis ilmu.
ii. Alangkah ruginya tidak bersama majlis ilmu kerana malaikat rahmat sentiasa menghamparkan payung-payung rahmatnya kepada setiap jiwa yang hadir di dalam majlis tersebut. Nilai limpahan rahmat ini tidak sesekali boleh dibandingkan dengan nilai program ziarah, apatah lagi hendak dibandingkan dengan maklumat daripada Buletin Utama yang ditonton pada waktu yang sama.
iii. Mempercayai bahawa malaikat bersama orang-orang yang tetap di dalam majlis ilmu ialah termasuk di dalam bab rukun iman yang kedua iaitu Beriman Kepada Para Malaikat. Janganlah sesekali kita memperlekehkan tentang kebenaran wujudnya para malaikat ini. Begitulah juga perihalnya jika memperlekehkan kehadirannya di dalam sesuatu majlis ilmu.
Banyak lagi sebenarnya cerita tentang hikmah dan kelebihan berada di dalam majlis ilmu ini. Lebih tinggi nilainya jika kita menjadi salah seorang yang setia menuntut ilmu tanpa pernah merasa jemu atau mentafsirkan bahawa ilmu yang tersemat di dada belum cukup untuk menghadapi penilaian Allah di akhirat kelak. Inilah akhlak yang terpuji sebagai hamba yang merendah diri. Jauhilah diri kita daripada sifat bongkak untuk mengakui bahawa nilai ilmu yang ada di dalam diri kita sudah cukup tinggi untuk menidakkan daripada hadir ke majlis-majlis ilmu.
Ghaib Bukan Ertinya Berilmu
Mungkin ada sesetengah orang taksub bila mendengar seseorang boleh ghaib dari sesuatu tempat. "Tinggi ilmunya", kata orang-orang kebanyakan bila mendapat tahu ada antara manusia yang boleh ghaib secara tiba-tiba. Hal ini tidaklah sama seperti mana yang ingin dimaksudkan. Jemaah-jemaah yang ghaib ini kemungkinan bukan di kalangan mereka yang bergelar ilmuwan, jauh sekali ulama'. Mereka juga jemaah biasa seperti kebanyakan yang lain. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada memang benar mereka memiliki ilmu ghaib yang dituntut daripada jin-jin yang menimba ilmu di surau atau masjid.
Oleh yang demikian, sekali lagi ingin ditekankan agar kita sentiasa mempertingkatkan tahap ilmu kita serta tidak jemu menimbanya dengan setiap kesempatan yang ada. Tidak perlu lagi menjadi insan-insan yang ghaib kerana setidak-tidaknya berilah penghormatan kepada para ustaz, ilmuwan Islam dan dai'e yang tegar mencurahkan ilmu kepada umat manusia. Diakhirnya, renungilah satu pesanan Rasulullah SAW terhadap Saidina Ali bin Abi Talib pada penghujung hayat Baginda berkenaan majlis ilmu.
"Rasulullah SAW mewasiatkan kepada Saidina Ali bin Abi Talib pada penghujung hayatnya: Wahai Ali!, jika berlaku di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk di dalam majlis ilmu (fardhu ain), maka orang itu akan menghadapi dua (2) akibat buruk. Pertama: hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk Allah dan segala kebaikan). Kedua: Berani melakukan dosa-dosa besar."
Sebagai peringatan bersama. Wallahu'alam.
Mana2 tempat pun sama sahaja. Kena buat kerja macam jemaah tabligh. Ketuk pintu ke pintu.
ReplyDeleteTakkan kita perlu tungu jemaah tabligh baru kita boleh bergerak? harapnya kita sama2lah berusaha ke arah itu. Kalau tak tahu boleh belajar bagaimana untuk bermula. Pergi sahaja ke Masjid Seri Petaling untuk mendapatakan input. Ramai yang perlu disedarkan di Putrajaya ini.
Terima kasih kerana memberi pandangan. Cuma, mungkin tuan banyak tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sini. Berat rasanya untuk disampaikan, tetapi perlu supaya ada kesedaran semua. Kami mempunyai ramai jemaah ketika solat, tetapi 'ghaib' selepasnya. Maksudnya mereka lari meninggalkan majlis ilmu selepas solat. Antaranya ialah jemaah tabligh yang sering ditegur penceramah. Bukan alasan untuk buat program ketuk pintu rumah dengan meninggalkan majlis ilmu. Kita perlu tahu kedudukan menghormati asatizah lebih tinggi dan berada di majlis ilmu juga penting kerana tanpa ilmu bagaimana kita mampu mengajak umat lain ke rumah Allah. Wallahu'alam.
DeleteMembaca tulisan tuan sebenarnya meningkat semangat saya terus berbakti serta mencari keredhaan menjalankan kerja di Surau.
ReplyDeletePerjuangan memerlukan pengorbanan...
ReplyDelete