Sejarah tercipta akhirnya di bumi Putrajaya. Setelah sekian lama tanah ini diterokai untuk dijadikan sebuah pusat pentadbiran kerajaan, namun banyak perkara yang masih gagal terlaksana di wilayah ini.
Tanggal 7 Februari 2013, bumi Putrajaya digegarkan dengan aura yang belum hilang dari seorang pendakwah veteran tanah air iaitu Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus. Siapa tidak mengenali nama ini..? Butir-butir mutiara yang terbit dari bibit kata-katanya mampu memegunkan hadirin yang kekal menadah ilmu darinya.
Dato' Ustaz Ismail Kamus di Surau Wahbah Al-Zuhaily
Di sini, di Surau Wahbah Al-Zuhaily, Dato' Ismail Kamus buat julung-julung kalinya tampil memberi kuliah di bumi Putrajaya. Setelah berbelas tahun penghuninya dahagakan penampilan beliau, maka kami realisasikan impian tersebut. Alhamdulillah... Dengan kesejahteraan yang diberikan pada hari tersebut, insan istimewa tersebut gagah menyebarkan ilmu untuk penduduk di Putrajaya.
Kira-kira sejam yang diluangkan oleh Dato' Ismail Kamus jelas memperlihatkan betapa rindunya kami penduduk di Putrajaya pada majlis ilmu sebegini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa kami tidak puas untuk menyuburkan bumi ini dengan butiran ilmu yang turun dari taman-taman syurga-Mu Ya Allah. Sedikit pun tiada berganjak sekalian yang hadir untuk menghayati setiap tutur katanya sebagai bekalan diri yang masih kekurangan ini. Kehadiran ulama' ini pasti menggamit suasana baru di bumi indah ini.
Beginilah suasana yang dialami di Surau Wahbah Al-Zuhaily
Begitulah antara gambaran yang penulis ingin coretkan tentang apa yang telah berlaku di Surau Wahbah Al-Zuhaily ketika kehadiran Y. Bhg. Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus sempena Program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H baru-baru ini. Segenap pelusuk surau dipenuhi orang ramai dari serata Putrajaya. Secara tidak langsung menjadikan inilah bilangan paling ramai hadirin ke majlis ilmu di Surau ini.
Penulis menganggap ini adalah permulaan bagi sebuah perjalanan yang masih panjang di bumi Putrajaya ini. Masyarakatnya jelas mencintai majlis ilmu. Kini terpulanglah pada pentadbirnya untuk terus menyebarkan ilmu yang baik kepada mereka. Aura Dato' Ismail Kamus pastinya tidka akan luput dek apa-apa kekangan di sekitarnya.
Aura Ustaz Ismail Kamus yang memukau para penduduk Putrajaya
Ingin di sini penulis mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan kepada semua yang menjayakan program ceramah perdana ini. Pertamanya ialah kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memberi kebenaran bertulis kepada kami untuk menjemput Dato' Ismail Kamus. Kedua, terima kasih tidak terhingga kepada pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut sama membantu dan mempromosi program ini. Ketiga, tidak lupa kepada ayahanda Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Seterusnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberi sumbangan majalah-majalah ilmiah kepada hadirin. Penaja makanan yang tidak putus-putus memberi khidmat kepada kami iaitu Restoran Ali Maju.
Tidak lengkap rasanya jika tidak mengucapkan perhargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa kerja Surau Wahbah Al-Zuhaily yang berusaha keras merealisasikan impian membawa penceramah tersohor tanahair ini ke bumi Putrajaya. Semangat dan kesungguhan mereka hanya Allah yang mengetahui dan moga-moga di balas dengan nikmat yang berkekalan.
Bergambar bersama sebahagian AJK dan hadirin.
Paling penting, ucapan tahniah dan terima kasih pastinya ditujukan kepada seluruh muslimin dan muslimat yang hadir pada program ceramah perdana Maulidur Rasul 1434H ini. Semoga kita akan dipertemukan lagi dalam setiap program ilmiah dan kekal bersama di dalam taman-taman syurga. InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment