* Sebelum dibaca selanjutnya, penulis ingin memaklumkan bahawa rukun tetangga bukanlah jenis-jenis rukun yang terdapat di dalam mana-mana perlembagaan persekutuan atau pun termaktub di dalam Al-Quran. Maknanya ia tidak sesekali boleh dibandingkan dengan Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara. Rukun Nikah pun tiada kena mengena dalam hal ini. (Sekadar berseloroh sahaja) Ianya adalah sebuah badan yang bertindak untuk memastikan tetangga (kawasan kejiranan) menjadi rukun dan damai.
Sudah lama sebenarnya para penduduk di Presint 18 Fasa R12 menanti-nanti kehadiran Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk membuat suatu event yang melibatkan para penduduk di Fasa 18 R12. Alhamdulillah bermula pada 16 April yang lalu pihak KRT telah pun bergerak dari blok ke blok secara berperingkat untuk beramah mesra bersama penduduk dan mendapatkan apa-apa maklum balas daripada penduduk. Selain itu, pihak KRT juga mengambil peluang ini untuk melantik ketua-ketua blok yang disokong oleh para penduduk yang hadir secara sistem demokrasi.
Penulis sempat meluangkan masa selepas solat isyak berjemaah di surau pada malam rabu yang lepas dan menyertai perjumpaan mahabbah yang dianjurkan oleh KRT ini. Nampaknya feed back yang diberikan oleh penduduk jauh lebih baik berbanding program yang dianjurkan surau. Tahniah kepada KRT di atas usaha murni mereka ini. Maklumlah, suasana hidup di Putrajaya ini memang memerlukan daya kerja yang lebih untuk menarik penduduk dalam sesuatu komuniti. Lebih-lebih lagi bagi kawasan yang masih muda sekitar usia 3-4 tahun seperti Fasa 18 R12 ini. Kalau terlalu mengharapkan orang datang ke lokasi KRT sebelum ini memang sedikit sukar memandangkan kesibukan hal-hal lain di dalam diari harian penduduk. Ini juga yang dialami oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily walaupun mengimarahkan rumah Allah itu adalah lebih dituntut dan fardhu kifayah bagi lelaki Muslim.
Pengerusi KRT sedang memberi taklimat
Antara penduduk di blok C yang hadir
Sepanjang perjumpaan tersebut, beberapa perkara yang telah disampaikan ialah taklimat berkenaan fungsi KRT dan Skim Rondaan Sukalera (SRS). Pihak KRT juga menyeru supaya para penduduk melibatkan diri dengan program yang diadakan serta menyertai sukarelawan SRS demi keselamatan kawasan penduduk Fasa 18 R12. Disamping itu, KRT juga melantik ketua-ketua blok melalui sesi road show ini. Ketua blok berperanan sebagai ajen khas KRT di dalam sebarang permasalahan yang berlaku di kalangan penduduk.
Skim Rondaan Sukarela (SRS)
En. Amrul (2 dari kanan) dilantik sebagai ketua blok C
Pihak AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily sekali lagi merakamkan ucapan tahniah di atas kesungguhan pihak KRT untuk melaksanakan program mahabbah ini sepanjang 8 hari. Kehadiran penduduk yang puratanya mencecah 30-40 orang di setiap blok amatlah menunjukkan pencapaian yang baik. Bayangkanlah jika setiap hari jumlah ini dapat dihimpunkan di dalam solat-solat berjemaah dan kuliah agama. Pastinya lebih berkat kawasan penduduk kita serta boleh dikira berjaya dunia dan di akhirat.
Akhirnya, besarlah harapan kami sekiranya kejayaan program ini dapat diperluaskan lagi dengan memantapkan institusi keagamaan dan kerohanian seperti penganjuran bersama program-program ilmiah selain dapat memupuk minat dalam pengimarahan rumah Allah. Ketua-ketua blok yang dilantik juga diharap dapat sama-sama hadir ke surau bagi lebih mendekatkan diri dengan penduduk sekitar. Kejayaan di dunia pastinya lebih meriah jika dibajai oleh kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya serta mengembalikan hak keistimewaan yang diperolehi kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.
terima kasih kepada penulis kerana sudi mempromosikan KRT 18R12.Kerjasama erat sangat diperlukan demi kebaikan kita bersama.
ReplyDeleteTerima kasih kembali. Ahli jawatankuasa SWAZ juga adalah ahli KRT secara automatik. Oleh itu tidaklah menjadi keberatan untuk kami memaparkan apa-apa program KRT selagi mana maklumat diterima. Harap dapat bekerjasama dalam apa-apa sahaja program yang memberi manfat kepada penduduk.
Deleteassalamualaikum. saya nik wartawan daripada portal myputrajaya news. untuk pengetahuan pihak tuan portal kami baru beroperasi di putrajaya kira2 dua bulan based on community di sekitar putrajaya saja. jika ada aktiviti di kawasan termasuk gotong royong, majlis sumbangan atau hari keluarga sudi kiranya memaklumkan kepada saya. untuk lebih jelas boleh emailkan nama dan no hp kepada sy ke alamat email niknurzakia@yahoo.com. sekian terima kasih
ReplyDelete