Pada entry sebelum ini, penulis telah pun merakamkan sedikit ucapan terima kasih di atas kejayaan penganjuran program ibadah qurban di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Namun di atas beberapa sebab, entry kali ini khas mencoretkan ucapan-ucapan terima kasih yang diterima daripada dan kepada pelbagai pihak.
Terima Kasih
Kenapa ada entry khas? Pasti ada sebabnya.. Penulis sebenarnya benar-benar rasa teruja dengan apa yang telah berlaku pada 28 Oktober yang lalu. Apa tidaknya, daripada anggaran 30 orang sahaja yang hadir (berdasarkan survey), kepada ratusan petugas + hadirin, sudah tentu ini adalah antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan.
Hendak dijadikan cerita pula, kami di kalangan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily tidak putus-putus menerima ucapan tahniah dan penghargaan daripada penduduk, petugas dan orang ramai yang hadir. Oleh sebab itulah penulis merasakan bahawa perlunya penulis memanjangkan dan mengembalikan penghargaan itu kepada semua yang terlibat secara khusus. Masakan tidak, tanpa gembeling tenaga semua belum tentu program ini mencapai kejayaan seindah ini.
Baiklah..biar penulis mulakan satu persatu. Disebabkan paling hampir dengan penulis, sudah tentunya penghargaan tidak ternilai adalah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily yang tidak henti-henti berusaha menjayakan program ini. Tidak ada sedikit pun 'caj tersembunyi' yang perlu di bayar kepada mereka untuk semua perkara yang dilakukan. Paling hebat penulis rasakan ialah kesanggupan bekerja sehingga lewat malam serta di dalam hujan sehari sebelum program. Jazakumullah..
Keduanya penulis juga wajib memberi penghargaan penuh hormat kepada Pengerusi dan seluruh jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bersama dari awal pelaksanaan program ini. Paling penulis tabik, pastinya tuan setiausaha KRT sebagai juga ketua chef yang telah menyediakan hidangan enak lantas dihujani dengan pujian daripada juri-juri awam yang hadir. Penceramah jemputan (Ustaz Nazir) mengadap sup tulang dan perut cicah air asam dengan penuh seleranya. Congratulation..(wah..speaking pulak).
Seterusnya, penghargaan tidak terhingga kepada Yang DiPertua dan seluruh jawatankuasa Pas Kawasan Putrajaya yang sudi memilih Surau Wahbah Al-Zuhaily sebagai destinasi melaksanakan program ibadah qurban pada tahun ini. Untuk makluman, Pas Putrajaya adalah organisasi yang menawarkan 2 ekor lembu tersebut di mana 14 individu telah pun menyertai bahagian qurban tersebut. Syukran jazilan..
Tidak lupa juga kepada pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Putrajaya yang memberikan kerjasama yang baik kepada kami disamping menyerahkan buku panduan pelaksanaan penyembelihan untuk ibadah qurban sebagai rujukan kami. Walaupun ada sekeping "surat cinta bewarna merah" yang diserahkan kepada Pengerusi Surau, secara keseluruhannya pihak JPV memaklumkan tiada masalah besar berkenaan penyembelihan tersebut. Alhamdulillah..
Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi penerangan kepada Pengerusi Surau dan para petugas qurban
Penghargaan yang paling bernilai tidak lain tidak bukan ialah buat seluruh penduduk di Presint 18 khususnya Fasa R12 yang sudi bersama kami sejak dari awal pagi sehingga lewat malam. Sedar tidak sedar, penulis sendiri merasakan terharu di atas segala komitmen anda membantu melancarkan program ini. Selain itu, sikap keterbukaan penduduk dengan membuang sifat asobiyyah dan latar belakang politik juga amat disanjung. Penulis yakin di sinilah bermulanya satu era baru sebuah 'masyarakat bandar' yang sangat dihormati jika kita mampu menolak ke tepi sifat-sifat persengketaan demi sebuah kehidupan yang harmoni. Mumtaz...Great...Cemerlang...!!!
Sebahagian petugas qurban bergambar kenangan. Tahniah..
Namun barang diingat..!! Pujian ini bukan sebagai platform untuk berbangga sepanjang masa, tetapi jadikan ianya sebagai motivasi untuk memacu sebuah masyarakat yang positif. Jangan terhenti di sini. Jauh lagi perjalanan harus ditempuhi. Pendakian ini tidak akan semudah ABC, kerana rahmat dan redha Allah meliputi seluas-luas alam.
Tahniah sekali lagi buat semua di atas keterbukaan, kesudian dan keprihatinan anda bagi menjayakan program qurban ini. Ibadah qurban adalah untuk Allah. Moga-moga Allah juga akan kurniakan limpah rahmat-Nya yang berterusan. Terima kasih daun keladi, di lain masa kita bersama lagi. Allahu Akbar..!!!
No comments:
Post a Comment