Sila Klik Nuffnang

Tuesday, 30 October 2012

Program Ibadah Qurban Berjaya

Alhamdulillah..segala puji dan syukur hanya layak dikembalikan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta segala hidupan, yang mana dengannya ibadah qurban dapat dilaksanakan. Surau Wahbah Al-Zuhaily juga telah berjaya menganjurkan program ibadah qurban seperti mana yang disyariatkan itu pada tanggal 28 Oktober 2012 bersamaan hari kedua tashri' iaitu 12 Zulhijjah 1433H.


Sesuatu yang sungguh tidak diduga telah berlaku pada program qurban tersebut di mana ianya juga adalah julung-julung kali diadakan sepenuhnya di kawasan Presint 18 Fasa R12. Walaupun bahagian qurban tersebut tidaklah diuruskan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily, namun bermula daripada pagi sehingga lewat malam, premis surau merupakan tempat paling meriah dikunjungi oleh penduduk dan orang ramai.

Sejak dari jam 7.00 pagi lagi orang ramai dilihat telah mula berada di perkarangan Surau menanti ketibaan 2 ekor lembu dan seekor kambing untuk dilaksanakan ibadah qurban. Selesai sarapan pagi, para hadirin mula bergerak ke kawasan penyembelihan yang terletak di blok A. Tiga orang penyembelih telah ditugaskan untuk menyempurnakan ibadah tersebut dengan hampir kesemua penama qurban hadir menyaksikannya bagi meraih pahala sunat.


Kerja-kerja melapah seterusnya diteruskan dengan para petugas dibahagikan kepada 2 kumpulan utama manakala kambing yang siap dilapah segera dihantar untuk diperap khas untuk jamuan kenduri di sebelah malam. Dianggarkan jumlah kehadiran petugas, penduduk dan orang awam disebelah pagi hingga tengahari ialah hampir 100 orang. Ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna kerana ianya adalah jauh lebih ramai daripada jangkaan pihak penganjur.


Tidak ketinggalan juga kehadiran yang membanggakan daripada muslimat dan kaum wanita yang turut sama bergotong-royong menyediakan keperluan untuk jamuan kenduri di sebelah malam. Kerja-kerja menyediakan jamuan kenduri berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil daripada kerjasama daripada semua yang hadir pada program tersebut.


Kemuncak program di sebelah siang ialah pengagihan daging qurban kepada petugas dan hadirin yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Nazir bin Zakaria (YDP Pas Putrajaya) selaku penganjur bersama program qurban ini. Walaupun jumlah agihan tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya kegembiraan jelas terpancar di raut wajah petugas. Mudah-mudahan sedikit daging yang diterima itu menghasilkan barakah yang besar di sisi Allah SWT.


Program di sebelah malam pula diserikan pula dengan forum khas AidilAdha yang disampaikan secara santai oleh Ustaz Nazir bersama Ustaz Saharudin bin Zaini selaku moderator. Kehadiran pada sesi forum juga amat menggalakkan. Ini menunjukkan betapa sebenarnya penduduk di Presint 18 dan umumnya di Putrajaya ini dahagakan pengisian majlis ilmu di dalam diari kehidupan harian mereka.

Selepas solat isyak juga, Ustaz Nazir selaku imam memimpin laungan takbir Hari Raya AidilAdha. Malam itu juga adalah malam terakhir tashri' bagi umat Islam melaungkan takbir tanda kegembiraan menyambut AidilAdha.

Kemuncak segala program sudah tentunya jamuan kenduri AidilAdha yang menyajikan seekor kambing golek, daging qurban masak kicap, sup tulang dan juadah-juadah sampingan. Kenduri ini juga sekadar sederhana sahaja, namun ianya cukup untuk menampung hadirin yang juga diluar jangkaan penganjur. Baki daging qurban juga sempurna diagihkan pada malam tersebut oleh Ustaz Nazir.


Akhir kata, penulis merakam ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam program qurban ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih yang tidak terhingga pastinya ditujukan kepada seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pas Kawasan Putrajaya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penduduk Presint 18 Fasa R12. Semoga program ini tidak berakhir di sini. Pastikan ianya berterusan pada masa-masa akan datang. Sehingga dipertemukan lagi oleh Allah SWT di dalam setiap kesempatan dan program yang mengajak kepada takwa kepada-Nya. InsyaAllah.


P/S: Lagi gambar suasana sekitar program akan dimuat naik di dalam post akan datang. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment