Sila Klik Nuffnang

Thursday, 11 October 2012

Ayah..Tak Baik Cakap "Aku"

Selesai solat Isyak berjemaah malam semalam, kebiasaannya kami beberapa orang jemaah yang 'regular' tidak terus pulang ke rumah tanpa sekelumit perbualan. Tidak kisah ianya menjurus kepada topik mudah, sederhana, high level atau sekadar senda gurau. Dari satu sudut yang positif, sikap sebegini adalah nilai murni yang baik untuk perpaduan sesebuah masyarakat Islam.

Perbualan malam tadi bersama bendahari surau amat ringkas. Hanya berceritakan perihal kewangan surau dan sedikit perbelanjaan untuk kegunaan program korban nanti. Penulis seperti biasa akan ditemani oleh teman istimewa iaitu anak sulung yang hanya akan berusia 4 tahun bulan November nanti. Abang (panggilan kepada anak penulis) malam tadi ada bersama ketika perbualan berlangsung. Mendengar perbualan 'orang tua' sambil mungkin belajar sesuatu. Inilah keistimewaan seorang kanak-kanak. Mereka mudah belajar daripada perbuatan ibu bapa atau orang dewasa disekitarnya.


Tanpa sedar, rupa-rupanya malam tadi penulis telah pun mengajar satu perbualan yang sering penulis larang daripada dilakukan oleh abang. Apabila penulis ingin memulakan perjalanan pulang ke rumah, segera abang menegur,

"Ayah..tak baik la cakap aku", penulis terdiam dan terkedu sebentar.

"Eh..ye ke..ayah terlupa la tadi", itu sahaja ayat yang termampu penulis lontarkan tanda bersalah.

"Esok jangan cakap aku lagi tau", abang menambah memberi peringatan berguna kepada si ayah.

"Habis..ayah nak cakap macam mana?", sengaja penulis panjangkan perbualan di atas motosikal bersama abang.

"Cakap 'saya' jer..tak baik cakap aku", abang meneruskan didikan terhadap ayah yang terkhilaf.

"Ok..esok ayah x cakap dah", jawapan yang amat berhati-hati bimbang dimarahi oleh abang lagi.

Pengajaran yang berguna

Peristiwa malam itu sangat terkesan di hati penulis. Apa tidaknya, sepanjang mendidik abang, penulis paling tidak suka bila abang menggunakan perkataan 'aku' dan 'kau' di dalam percakapannya seharian walaupun bersama rakan sebayanya. Kedua-dua perkataan ini banyak diperolehi daripada luar rumah sama ada di rumah pengasuh, rumah sepupunya, di kampung dan mungkin juga di surau yang penuh dengan bual bicara orang dewasa.

Bagi penulis yang berasal daripada sebuah daerah di negeri Pahang, penggunaan kata ganti nama 'aku' dan 'kau' adalah disifatkan sebagai kurang mesra. Mungkin ada diantara anda pernah mendengar loghat 'koi' dan 'awok' yang sering digunakan oleh majoriti orang Pahang. Kata ganti nama itu lebih sesuai bagi kami. Cuma permasalahannya ialah Pahang adalah sebuah negeri antara paling banyak mempunyai tanah rancangan. Penghakisan bahasa tempatan semakin lama semakin ketara dengan kehadiran 'orang luar' yang menjadi peneroka di negeri Pahang. Maka revolusi penggunaan kata ganti nama 'aku' dan 'kau' kini juga berleluasa di Pahang. Sayang seribu kali sayang..

Kembali kepada kisah abang yang selalu penulis ingatkan agar tidak mengikut orang lain menggunakan kata ganti nama 'aku' dan 'kau'. Di dalam keluarga penulis, sejak penulis kecil, tiada seorang pun dibenarkan sewenang-wenangnya berkata 'aku' dan 'kau' di dalam rumah. Terasa kasar bunyinya. Sebab itu juga penulis terlalu mengawal tingkah percakapan abang. Minda kecil itu perlu dipandu dengan panduan yang betul bagi pembentukan moral yang baik.

Rupa-rupanya, kawalan sahaja nyata tidak mencukupi. Penulis terlupa bahawa tingkah perbuatan seharian kita juga amat penting dalam pembentukan moral tersebut. Ianya berbeza dengan keimanan. Pembentukan aqidah lebih berat di dalam bentuk lafzi, sedangkan akhlak dan moral lebih terkesan dibentuk dengan fi'li. Penulis sebagai ayah sepatutnya tidak wajar menggunakan kata ganti nama 'aku' di depan abang. Fi'il madhi (past tense) itu mungkin boleh menjadi pembelajaran tidak sempurna buat seorang anak kecil seusia abang.

Sebenarnya, bagi penulis sendiri penggunaan kata ganti nama 'aku' ini memang tidak sesuai dilafazkan bersama sahabat dan kenalan. Cuma terkadang, risau dilevelkan sebagai 'skema' pula bila membahasakan diri sebagai 'saya'. Itu mungkin cara mengelakkan daripada orang kebanyakan merasakan bergaul dengan 'orang surau' ni kena cakap ikut 'skema' buku sekolah. Jadi, mahu atau tidak, konsep memasukkan diri di dalam situasi orang lain sangat perlu di dalam kerja-kerja dakwah.

Yang tidak cantiknya ialah pengaruh kepada anak-anak. Belum masanya untuk mereka menggunakan bahasa 'aku-engkau' di dalam kehidupan yang berusia 4 atau 5 tahun. Biarlah suatu hari nanti mereka fahami sendiri bila perkataan 'aku' sesuai digunakan. Mudah-mudahan bahasa itu hanya digunakan ketika mereka mengadap penciptanya beserta doa untuk diri dan kedua ibu bapanya.

Didiklah Anak Dengan Perkataan Yang Baik

"Abang, dekat sekolah ada kawan-kawan yang cakap 'aku' ke?" antara persoalan yang penulis ajukan kepada abang.

"Eh...mane boleh cakap 'aku' kat sekolah" jawab abang seakan tidak setuju dengan soalan penulis.

"Cikgu marah ke?" tambah penulis.

"Ha'ah...cakap 'saya' jer.." abang memperkukuhkan pendiriannya.

Alhamdulillah.. penulis amat berpuas hati dengan jawapan sebegitu. Sekurang-kurangnya penulis mampu lepaskan abang ke sekolah dengan dikawal tutur katanya oleh guru yang bertanggungjawab. Sebagai guru itulah etika yang baik kepada kanak-kanak seusia abang. Larang mereka berkata tidak sopan serta bantu dengan memperbetulkan mereka menggunakan bahasa yang lebih baik.

Tidak lupa juga kepada para ibu bapa. Cubalah berkomunikasi sesama keluarga dengan berhemah dan baik. Bukan sekadar interaksi dengan anak-anak, bahkan meliputi semua ahli seperti adik, abang, kakak, ibu saudara dan sebagainya. Jangan biasakan diri dengan kata ganti diri 'aku-engkau' yang pasti mudah diikuti oleh kanak-kanak. Berhati-hatilah dalam tutur katamu sebagai ibu dan ayah.

Di dalam surah Al-Isra' ada mengatakan keperluan anak untuk berkata dengan tutur yang baik kepada ibu bapanya. Jadi dari sinilah pembentukannya. Tutur kata ibu bapa di hadapan anak-anak juga perlu dengan hemah. InsyaAllah kesannya pasti akan membawa kepada terbentuknya peribadi anak yang bertutur dengan "qaulan karima".

Tingkah Laku Ibu Bapa Didikan Terbaik

Tidak terhenti dengan sekadar pertuturan, pembentukan akhlak dan sahsiah diri seorang anak juga akan mudah diikuti dengan setiap perbuatan ibu bapa. Jika mahu anak mendirikan solat, pastikan ibu bapa terlebih dahulu menyempurnakan solatnya. Jika mahu anaknya pandai membaca Al-Quran, pastikan ibu bapa istiqamah bertilawah Al-Quran. Jika inginkan anak menutup aurat dengan sempurna, maka lengkapkan dahulu pakaian ibu bapa mengikut syariat Allah.

Inilah bentuk pendidikan melalui pengamatan kanak-kanak kepada pengaruh sekitar. Berusahalah dengan mengubah setiap perbuatan kita ke arah pembentukan akhlak anak-anak yang baik. Peristiwa malam itu bagi penulis amat berguna sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati. Penulis akan cuba sedaya upaya agar abang tidak lagi menegur penulis dengan ayat:

"Ayah..Tak Baik Cakap 'Aku'..".
 
Semoga abang akan membesar menjadi seorang anak yang soleh dan tinggi akhlaknya. Terima kasih kerana di usia kecilmu juga mampu memberi panduan kepada seorang ayah. Suatu hari nanti mudah-mudahan abang juga kekal di dalam wadah Islamiyah serta memperjuangkan kebenaran agama Allah. InsyaAllah..

2 comments:

  1. Salam, saudara, sikit kemuskilan,kalau anak tanya kita bila berdoa kita ber aku engkau dengan Allah bagaimana? kan biasanya dalam terjemahan kita dapati demikian...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kembali..
      Rasanya tak timbul isu ini bg anak2 yg masih tak mengenali dimana gunanya perkataan aku/engkau. Maksudnya pendidikan awal anak2 tidak perlu diterapkan doa2 seperti mana saudara/i maksudkan. Cukup sekadar doa2 asas yg boleh ditukar kepada kata ganti nama yg sesuai. Kita juga boleh elakkan berdoa di dlm bahasa melayu (secara terang) bg mengelak kekeliruan anak2 yg masih kecil. Sekadar pendapat..Jazakallah.

      Delete