Sila Klik Nuffnang

Wednesday, 10 October 2012

Syariat Pelaksanaan Ibadah Korban

Setiap tahun apabila Syawal berlalu, umat Islam di seluruh Negara akan berkira-kira untuk melaksanakan ibadah korban seperti mana yang disyariatkan oleh Islam. Bagi sesiapa yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, di sini saya kongsikan sedikit ilmu berkenaan ibadah korban tersebut. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. InsyaAllah.

Definisi ibadah korban:


Menyembelih binatang ternakan (al-an’am) pada Hari Raya Korban (10 zulhijjah) atau pada hari-hari Tasyrik (11-13 zulhijjah) dengan tujuan beribadah kepada Allah swt. Binatang ternakan (al-an’am) bermaksud binatang yang halal dimakan, berkaki empat yang biasanya dipelihara oleh manusia sama ada; secara ladang untuk tujuan komersial ataupun secara kecil-kecilan seperti memelihara sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang.

Binatang al-an’am adalah seperti kambing, biri-biri, kibash, lembu, kerbau atau unta. Binatang peliharaan lain seperti ayam atau itik adalah tidak memenuhi syarat berkaki empat, manakala kuda pula walaupun ia halal dimakan, tetapi ia bukan terdiri (pada kebiasaan) daripada jenis binatang peliharaan untuk tujuan penyembelihan (untuk dimakan) tetapi untuk tujuan lain seperti kenderaan atau perhiasan.

Dalil pensyariatan korban:


Firman Allah (surah al-Kauthar:2) bermaksud “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah (korban)”

Hukum melakukan korban:
Hukum korban terbahagi kepada tiga; melihat kepada situasi orang yang akan melakukan ibadah korban berkenaan;
  1. Sunat muakkad (yang digalakkan)
    Iaitu bagi orang yang berkemampuan; iaitu apabila seseorang memiliki harta yang melebihi perbelanjaan diri dan tanggungannya pada hari raya korban.
  2. Wajib – Iaitu bagi mereka yang bernazar (berazam dengan niat).
Syarat sah melakukan korban:
  1. Orang Islam
  2. Baligh, tidak sah bagi kanak-kanak
  3. Bermukim, tidak sah bagi orang dalam musafir
  4. Berakal, tidak sah bagi orang gila
  5. Merdeka, tidak sah bagi hamba
  6. Berkemampuan, tidak sah bagi orang miskin yang memerlukan
Syarat sah binatang korban:
  1. Mengorbankan binatang ternakan (al-an’am) seperti kambing, biri-biri, kibash, lembu atau unta
  2. Tidak terdapat sebarang kecacatan zahir
  3. Binatang cukup umur
  4. Niat sembelih korban kerana Allah
  5. Melakukan sembelihan pada waktunya (hari raya atau hari-hari tasyrik); masuk waktunya selepas solat sunat hariraya dan berakhir sebelum terbenam matahari 13 zulhijjah.
  6. Disembelih oleh orang Islam atau ahli kitab
  7. Memenuhi syarat sah sembelihan yang lain
Had cukup umur binatang korban
  1. Biri-biri/kibash – Satu tahun lebih
  2. Kambing – Dua tahun atau lebih
  3. Lembu/kerbau – Dua tahun atau lebih
  4. Unta – Lima tahun atau lebih
Jenis dan bahagian binatang korban
  • Kambing, biri-biri dan kibash – 1 bahagian sahaja
  • Lembu, kerbau dan unta – boleh dibahagi kepada 7 bahagian (maksudnya 7 orang boleh berkongsi untuk korban seekor lembu)
Sunat ketika sembelihan korban
  1. Melaungkan takbir
  2. Menyembelih sendiri bagi lelaki
  3. Memilih binatang yang gemuk
  4. Melihat sembelihan dilakukan
  5. Sama seperti sunat sembelihan yang lain iaitu menggunakan alat sembelihan yang tajam dan menyembelih dalam keadaan mengadap kiblat
Cara pengurusan hasil korban
(Iaitu cara membahagikan daging, tulang dan apa-apa yang halal dimakan dari sembelihan korban)
  • 1/3 daging disedekahkan oleh orang berkorban kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah
  • 1/3 daging dimasak oleh orang berkorban untuk jamuan
  • 1/3 daging dihadiakan oleh orang berkorban kepada sanak saudara, rakan-rakan, jiran dan sahabat handai mereka.
    Walaubagaimanapn, orang yang berkorban nazar tidak boleh (haram) mengambil atau memakan daging korbannya. Begitu juga daging korban yang mentah tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam.
Hikmah korban
  1. Memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang taat melaksanakan perintah Allah supaya menyembelihkan anaknya, Nabi Ismail a.s, yang kemdiannya ditukar oleh Allah dengan seekor binatang sembelihan iaitu kibash
  2. Membantu orang fakir atau miskin menikmati daging korban pada hari kebesaran dalam Islam.
  3. Mendidik jiwa supaya suka berkorban untuk kepentingan agama. (fisabilillah)
  4. Memberi keinsafan dan menambahkan ketakwaan kepada Allah swt
  5. Menjalin dan merapatkan lagi tali silaturrahim sesama Islam
  6. Menunjukkan kesyukuran ke atas segala nikmat pemberian Allah swt
  7. Memupuk sifat ikhlas beribadat semata-mata kepada Allah swt
  8. Mendedahkan diri, keluarga dengan amalan-amalan anjuran Islam
Diharap agar artikel ini dapat menjadi bekalan ilmu untuk kita semua dalam sebarang pelaksanaan ibadah korban. Ilmu Allah itu amat luas. Kembaralah mencarinya agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang melaksanakan ibadah di dalam kejahilan.

No comments:

Post a Comment