Sila Klik Nuffnang

Thursday 18 October 2012

Penduduk Mahu Surau

Pagi ni terbaca satu berita di dalam Edisi Sentral, Berita Harian yang menarik minat penulis untuk membaca dan menghayati permasalahan yang berlaku tidak jauh dari Putrajaya. Sebagai seorang yang bertanggungjawab di dalam pengurusan Surau, tajuk berita tersebut pastinya menimbulkan banyak persoalan di minda penulis.

Petikan akhbar Berita Harian 18 Oktober 2012

Rasanya permasalahan ini pasti wujud di banyak tempat khususnya kawasan taman perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pemaju berjaya dan mengaut keuntungan hasil daripada pembinaan kawasan perumahan tersebut. Namun sayangnya, membina sebuah Surau bagi kegunaan kira-kira 4,000 orang penduduk Islam di situ tidak juga terhasil.

Ini berlaku di Lestari Perdana, Seksyen 7,  Bandar Putra Permai, Selangor seperti mana yang dilaporkan akhbar tersebut. Penduduk terpaksa mengumpul dana sendiri di samping memohon kebenaran tapak untuk menyediakan sebuah Surau. Tapak diluluskan sejak 2008 itu masih lagi sepi disebabkan kurangnya dana yang mana dinyatakan mencecah RM 450,000. Sedihnya, sepanjang tempoh 4 tahun tersebut, pihak jawatankuasa pembinaan Surau yang dinamakan Al-Maudoodi itu hanya berjaya mengumpul sekitar RM 18,000.

Disebabkan laporan inilah minda penulis ligat berputar memikirkan 2 situasi berbeza. Mari sama-sama kita lihat isi disebalik putaran minda penulis di bawah. Logik atau tidak, anda sebagai pembaca boleh menilainya sendiri.


1) Surau Al-Maudoodi, Lestari Perdana (Kos RM450,000)

Pembinaan sebuah Surau di Lestari Perdana saya anggarkan bersamaan dengan harga bagi 2 buah rumah di kawasan tersebut. Namun ianya tidak ditanggung oleh pemaju walaupun ada di kawasan berhampiran yang mana suraunya dibina oleh pemaju dengan kosnya mungkin ditanggung bersama. 
Pelan Pembinaan Surau Al-Maudoodi

Jumlah 4,000 orang penduduk Islam sangat mengujakan bagi penulis. Cuba bayangkan jika setiap orang menghulurkan sejumlah RM10 (sama harga sekotak rokok) atas tujuan pembinaan Surau tersebut. Jumlahnya pasti menjadi RM40,000. Jauh dari jumlah terkumpul yang dilaporkan. Jika ianya ditetapkan dengan sumbangan setiap bulan selama setahun pula, dengan mudah pasti akan berjaya mengumpul RM480,000. Ini masih lagi belum direalitikan oleh penduduk Islam tersebut. Hingga timbul persoalan, 'adakah benar mereka mahukan surau tersebut..?'.

Maaf, ia bukannya mempertikaikan, tetapi semangat 'kemahuan' itu perlu diterjemahkan dengan sedikit pengorbanan berharga RM120 setahun. InsyaAllah..urusan yang lain pasti dibantu oleh Allah Tuhan Sekalian Alam.

Klik untuk sumbangan anda di sini.

2. Surau Wahbah Al-Zuhaily, Presint 18 Putrajaya (Unknown Cost)

Cukup sekadar itu komen berkenaan pembinaan Surau Al-Maudoodi. Cuma kita renungkan pula perihalnya sebuah surau di Presint 18 Fasa R12, Putrajaya yang diberi nama Surau Wahbah Al-Zuhaily. Nama yang diberikan oleh jawatankuasa penaja surau sempena penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1430H kepada Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili. Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah ini bukan..?

Prof. Dr. Syeikh Wahbah Al-Zuhaili

Surau ini dibina seiring pembinaan apartment kuarter penjawat awam Fasa 18 R12 yang mula dihuni oleh kakitangan awam pada penghujung tahun 2008. Ianya sudah pasti ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Tiada caj atau sewa tambahan dikenakan kepada kira-kira hampir 2,000 penduduk Islam di sini untuk menggunakan premis tersebut sebagai tempat ibadah dan tarbiyah mereka.

Benar... Setiap tahun ahli jawatankuasa Surau ada membuat kutipan rumah ke rumah sempena pengimarahan Ramadhan. Namun, kos itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan pada bulan tersebut sahaja. Kos-kos lain untuk tujuan program dan penyelenggaraan sampingan Surau ini diusahakan sepenuhnya oleh AJK tanpa 'memaksa' mana-mana penghuni untuk 'membuka dompet'. Setiap program juga disusun dari semasa ke semasa untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh penghuni.

Disebalik itu, penulis terpaksa juga melontarkan soalan yang sama. Adakah 'penduduk mahukan surau' ini? Jika ditanya secara survey, pastikan jawapan majoriti akan menjawab "YA". Sayangnya..dari sudut realiti, belum ada tanda-tanda bahawa surau ini diperlukan selain daripada bulan Ramadhan. Solat jemaah sekadar saf hadapan yang tidak dipenuhkan, kuliah maghrib lebih banyak lampu dari orang, kelas pengajian hampir sahaja akan dikuburkan. Itukah jawapan kepada soalan di atas..? Allahu Akbar. Jauhkanlah kami dari azab-Mu Ya Allah.

Mencari Realiti Sebuah Persoalan

Realiti hari ini, banyak lagi perkara yang tidak dapat diadaptasikan dalam diri seseorang Muslim. Penulis berani katakan, ini khusus kepada penduduk Putrajaya. Bab penglibatan di dalam Surau masih lagi kita tidak mampu menyaingi penduduk di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam. Jiran terdekat di Bangi juga kita gagal. Kehidupan di sana lebih memeritkan. Kesesakan jalan raya, kepadatan jadual harian, kehidupan penuh pancaroba, bilangan masyarakat majmuk yang tinggi, tetapi rumah-rumah Allah masih lagi tersergam indah bersama pengimarahan.

Surau Wahbah Al-Zuhaily

Apa pula kesesakan yang ada di Putrajaya? Terlalu sibukkah jadual harian kita? Atau apakah bekalan akhirat kita sudah lebih daripada mencukupi? Terkadang air mata penulis menitis sendiri mengenang situasi ini. Penulis cintakan Putrajaya yang jauh dari hiruk pikuk kotaraya seperti mana tempat penulis bekerja. Tetapi mengapa perlu kesepian itu juga dihiasi di dalam rumah Allah. Bukankah semua kita diciptakan sebagai Khalifah?

Ya Allah..berilah kami kekuatan dalam sebuah masyarakat Islam yang majoriti ini. Kurniakan kami rahmat-Mu agar kami tahu apa tanggungjawab kami disebalik jawapan 'kami mahukan surau' ini. Waallahu'alam. 

1 comment: