Alhamdulillah.. Segala kerja yang baik pastinya Allah SWT akan permudahkannya. Semalam AJK tertinggi Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun menuju ke Dengkil untuk mendapatkan lembu dan kambing bagi program korban pada AidilAdha nanti. Cerita asal yang mengundang kesukaran akhirnya dibantu oleh Allah Yang Maha Berkuasa di atas alam ciptaannya.
Inilah dia seekor kambing yang akan dikorbankan nanti.
Beberapa minggu sebelum program korban sebenarnya pihak surau sedikit runsing kerana masih belum ada tanda-tanda lembu boleh didapati dengan harga yang dikehendaki oleh penyumbang. Harga pasaran dikhabarkan mencecah RM3,000 seekor. Itu pun destinasi lembu adalah disebelah Negeri Sembilan atau penghujung negeri Selangor. Jika begitulah harga pasaran, pihak surau pasti akan menanggung defisit yang tinggi.
Hendak dijadikan cerita, perkabaran bahawa terdapat penternak lembu di Taman Gemilang, Dengkil menyebabkan Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha dan Bendaahari surau menerjah kawasan tersebut untuk mencari individu bernama Wak Salleh. Dijadikan lagi cerita, Wak Salleh tidak dijumpai, tetapi berjumpa dengan seseorang yang juga menawarkan lembu untuk korban dan akikah. Beliau terus membawa rombongan surau ke kandang lembu milik adiknya di Jenderam Hilir.
Timb. Pengerusi bersama lembu yang telah dipilihnya untuk korban nanti.
Inilah kuasa Allah yang kita tidak mampu jangkakan. Kami rupa-rupanya bertemu dengan seorang pengusaha ternakan lembu yang sangat mudah berurusan. Beliau telah menawarkan harga yang sangat baik kepada kami beserta penghantaran percuma ke Surau Wahbah Al-Zuhaily pada hari program korban tersebut. Semua yang berada di kandang lembu tersebut tersenyum penuh kesyukuran kerana cabaran ini dibalas baik oleh Allah Taala.
Kawasan ternakan lembu terletak di Jenderam Hilir, Selangor.
Pulang dari kandang lembu, kami singgah pula di Kampung Semarang berhampiran Jenderam Hilir untuk mendapatkan kambing. Kambing ini adalah hajat seorang ahli qariah untuk dikorbankan semasa program korban itu nanti. Kami mengikut panduan jalan yang dimaklumkan kepada abang penternak lembu tadi dan menemui signboard pengusaha ternakan kambing. Jelas ini adalah satu lagi kemudahan yang Allah berikan dengan kami.
Sdr. Firdaus sedang memilih kambing yang sesuai untuk dikorbankan.
Kami bukan sahaja berjaya mendapatkan kambing dengan harga yang baik, malah kami juga mendapat perkhidmatan kambing golek untuk jamuan makan di surau pada malam program korban itu nanti. Sesiapa yang mahu menjamu kambing golek, jangan lupa hadir ke surau nanti yer..
Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk Janggut Ternak Farm.
Kini segala urusan mendapatkan lembu dan kambing telah pun selesai. Seperti mana tajuk entry ini, Lembu Dah Dapat..Kambing Pun Dah Dapat. Tinggal lagi, pihak surau nak dapatkan pula tenaga kerja sukarelawan untuk program korban itu nanti. Sesiapa yang berkelapangan pada 28 Oktober nanti, sudi-sudikanlah menghubungi AJK Surau dan KRT untuk turut sama melapah lembu dan kambing nanti. InsyaAllah pihak surau akan usahakan sedikit cenderahati kepada para petugas.
Semoga segala usaha dan amalan baik kita ini dipermudahkan lagi oleh Allah sehingga ke akhirnya. Jadikan program korban ini juga sebahagian daripada pengorbanan kita terhadap jalan Allah dan mudah-mudahan dirahmati oleh-Nya.
No comments:
Post a Comment