Sila Klik Nuffnang

Thursday, 25 October 2012

Salam AidilAdha


10 Zulhijjah 1433H bakal menjelma beberapa jam dari sekarang. Waktu ini para jemaah haji juga sedang bergerak dan berkumpul di Arafah bagi menyempurnakan salah satu rukun haji seperti mana yang telah disyariatkan.

Bagi sekalian umat Islam yang lain, waktu ini adalah menghampiri kemuncak bulan Zulhijjah. Hari Raya AidilAdha pastinya dinanti-nantikan bagi mendapat keberkatan melaksanakan ibadah pada bulan haram ini. Paling bermakna sudah tentunya bagi sekalian umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadah korban. Tidak kurang juga kemeriahan ini dirasai oleh seluruh masyarakat Muslim yang turut serta menjadikan ibadah korban sebagai platform terbaik meningkatkan tahap ketaqwaan kepada Allah.

Dikesempatan ini, saya mewakili seluruh jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin mengucapkan Salam Idul Adha kepada seluruh penduduk Presint 18 dan umat Islam amnya. Dengan penuh rendah diri juga kami memohon kemaafan di atas segala kekhilafan selama ini sama ada yang disedari atau tidak. Kami juga menadah tangan mengharap agar segala apa yang dilaksanakan pada AidilAdha ini akan dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Bagi sekalian ahli jemaah, anak qariah dan penghuni di Fasa 18 R12 yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Idul Adha ini, diharapkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Semoga perjalanan pergi dan balik anda akan dilindungi oleh limpah rahmat Allah.

Selain itu juga, tuan-tuan dan puan-puan sekalian dijemput ke program korban yang akan diadakan pada 28 Oktober 2012 (Ahad) yang mana penyembelihan dan gotong royong akan bermula pada jam 8.00 pagi. Pada sebelah malamnya pula sedikit kenduri akan diadakan khas buat semua penduduk disamping sedikit santapan jiwa berbentuk forum agama. Bersamalah kita mengimarahkannya.


Sekali lagi diucapkan Salam Idul Adha dan mudah-mudahan kita berjumpa di setiap program yang dianjurkan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Selamat Hari Raya AidilAdha.
Maaf Zahir dan Batin.

1 comment: