Sila Klik Nuffnang

Monday, 9 July 2012

TAHNIAH..!!! Saham Ini Pasti Ada Untung..

Terlebih dahulu penulis memohon maaf kerana lambat untuk memaklumkan dari semasa ke semasa jumlah kutipan blok-blok semasa kutipan Ramadhan yang berakhir hari Khamis yang lalu. Jangan salah faham. Bukan blok-blok yang lain tidak hebat seperti mana post khas yang dibuat untuk blok G & H. Tetapi kelapangan jadual penulis yang menghalang hasrat tersebut. Maka, di saat itu memang ramai yang mula bertanya berapa jumlah kutipan yang telah diterima.

Jawapan mudah tidak lain ialah anda boleh lihat di papan kenyataan di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Bendahari sentiasa update kutipan setiap hari walaupun ada penambahan-penambahan secara ad-hoc. Namun begitu, rasanya ruangan maya ini tetap menjadi medium terbaik untuk penyampaian maklumat kepada seluruh warga Presint 18 Fasa R12. Di sini penulis akan perincikan kutipan setiap blok dan jumlah keseluruhan yang diterima sehingga jam 10.00 malam 08 Julai 2012.
Blok A   :  RM  955.00
Blok B   :  RM  708.00
Blok C   :  RM 1,415.00
Blok D   :  RM 1,400.00
Blok E   :  RM 1,500.00
Blok F   :  RM 1,955.00
Blok G  :  RM 2,205.00
Blok H  :  RM 1,890.00
Total   :  RM 12,028.00

Melihat kepada jumlah keseluruhan ini, tidak ada kata lain yang boleh diucapkan selain daripada setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang membuka jalan mudah untuk Surau Wahbah Al-Zuhaily mendapatkan dana pengimarahan Ramadhan tahun ini. Alhamdulillah.. Sujud syukur di atas rezeki yang baik ini. Mudah-mudahan ianya berterusan dan membantu setiap perancangan aktiviti surau seterusnya memartabatkan syiar Allah di bumi Putrajaya.

Untuk pengetahuan semua penghuni Presint 18 Fasa R12, jumlah kutipan ini adalah tertinggi pernah dicatatkan sepanjang tempoh 3 tahun. Lebih menarik ianya adalah jauh mengatasi kutipan-kutipan lepas dan sasaran RM 10 setiap rumah yang ditetapkan oleh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily. Ini bermakna, penghuni semakin sedar akan nilai saham akhirat melalui infaq kepada rumah-rumah Allah. Saham ini walaupun tidak akan terpapar di papan-papan bursa Malaysia, ianya pasti akan tertulis di bursa saham yang Allah sendiri menjadi pembayar keuntungannya. Lebih besar nilai amaun dan ikhlasnya, maka dijanjikan juga keuntungan yang tidak akan pernah mampu dibayar oleh dunia fana ini.

Percayalah akan janji Allah kepada manusia yang redha dalam sedekahnya. Yakinlah pada balasan baik daripada Allah untuk seluruh umat manusia yang mengembalikan rezeki kurniaan-Nya kepada jalan-jalan Allah. Bertawakkallah kepada Allah, nescaya rezeki-Nya tidak akan putus kepada hamba-hamba yang berbuat amal kebajikan.

Kecerian di wajah para petugas

Bendahari sentiasa dengan kira-kiranya

Borang tahlil blok H yang lambat diedarkan. Terpaksalah overtime.

Pengerusi juga turut serta

Akhir sekali, seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua penduduk yang sudi menyumbang. Inilah saham anda yang paling bernilai di dunia dan di akhirat. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat sebagai petugas kutipan Ramadhan yang terdiri daripada AJK dan ahli jemaah Surau Wahbah Al-Zuhaily. Pengorbanan masa yang anda berikan juga adalah saham kebajikan yang tiada nilainya. Tidak lupa juga kepada jawatankuasa KRT yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada surau. Terima kasih, alhamdulillah dan jumpa lagi di program-program Ramadhan nanti. Allahu Akbar..!!!

No comments:

Post a Comment