Sila Klik Nuffnang

Saturday, 21 July 2012

Jadual Kuliah Subuh Ramadhan 1433H

Sepanjang Ramadhan 1433H ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan program kuliah subuh pada setiap hari sabtu dan ahad bermula 1 Ramadhan. Program kuliah subuh ini jarang-jarang diadakan pada bulan selain daripada Ramadhan kerana mengambil kira jumlah kehadiran jemaah. Disebabkan juga sepanjang Ramadhan ini kuliah Maghrib ditangguhkan, pihak Surau telah menggantikan pengisian majlis ilmu ketika waktu Subuh.

Pihak Surau telah pun menyusun jadual penuh untuk pengisian kuliah Subuh ini. Ianya dilihat mampu menjadi platform kepada para penduduk untuk menambahkan ilmu sama ada berkenaan dengan kelebihan Ramadhan atau perkara-perkara fardhu ain yang lain. Pengisian kuliah Subuh ini juga dapat mengelakkan para penghuni daripada lena tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat di hujung minggu. Memandangkan berpuasa, pelbagai aktiviti luar tidak dapat dijalankan, oleh itu lebih baik jika ianya diisi dengan penghayatan ilmu-ilmu Allah yang luas.

Berikut adalah Jadual Kuliah Subuh Ramadhan 1433H yang telah disusun oleh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily.



Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk sebuah pengisian pagi yang cukup sihat untuk minda, hati dan roh Islam. Alangkah bertuahnya jika setiap rahmat yang Allah turunkan kepada mereka yang hadir di dalam majlis dapat kita perolehi seterusnya menjamin diri menjadi seorang yang kekal bertaqwa kepada Allah SWT.

Salam Ramadhan..


Assalamualaikum wbt

Sempena kedatangan bulan yang mulia ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily tidak ketinggalan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa dan Salam Ramadhan kepada seluruh anak qariah serta penduduk di sekitar Presint 18 khasnya di Fasa R12.

Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini dengan penuh rasa syukur kerana Allah SWT masih lagi memberi kita peluang untuk mengecapi kemanisan dan nikmat yang terkandung di dalam bulan ini. Rebutlah peluang sebagai seorang Muslim di dalam bulan Ramadhan ini dengan mengerjakan amal ibadah supaya kita layak bergelar orang-orang yang bertaqwa. Menjadi orang yang bertaqwa inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT melalui Firman-Nya di dalam Al-Quran:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah : 183)

Taqwa merupakan tingkatan yang lebih baik bagi orang-orang Islam yang telah beriman dan beramal soleh. Tahap taqwa ini memerlukan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan makna lain tiada lagi ketakutan terhadap sesuatu kuasa melainkan Allah. Maka, dengan kesempatan Ramadhan ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan diri agar sampai ke tahap taqwa kepada Allah SWT. Masuklah ke dalam madsarah Ramadhan ini untuk keluar sebagai graduan pemegang ijazah pertama di dalam Islam.

Sekali lagi, seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily menyeru untuk kita merebut peluang berada di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dengan melakukan amal soleh serta bersama dalam program-program yang memberi manfaat. Semoga kita akan dipilih menjadi orang bertaqwa dan terus istiqomah dalam melaksanakan amal ibadat kepada Allah SWT. InsyaAllah..

Thursday, 19 July 2012

MAKLUMAN: Solat Tarawikh Ramadhan 1433H

Kepada: Semua Ahli Qariah dan Penduduk Presint 18 Fasa R12


Tuan/Puan,

SOLAT TARAWIKH DAN PROGRAM RAMADHAN 1433H SURAU WAHBAH AL-ZUHAILY

Adalah dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2.         Adalah dimaklumkan bahawa, Surau Wahbah Al-Zuhaily, Fasa 18R12, Presint 18 akan mula melaksanakan Solat Sunat Tarawikh berjemaah pada 1 Ramadhan 1433H seperti mana yang dilakukan di seluruh Negara.

3.         Untuk makluman tuan/puan, ahli jawatankuasa Surau telah pun bersetuju untuk melaksanakan solat sunat tarawikh ini sebanyak 8 rakaat dan 3 rakaat solat sunat witir. Ini adalah memandangkan penglibatan sebahagian besar penduduk di Presint 18 Fasa R12 ini yang lebih konsisten berbanding jumlah 20 rakaat.

4.         Disamping itu juga, pihak surau akan mengadakan sedikit sesi tazkirah ketika solat tarawikh berhenti rehat yang mana ianya akan disampai oleh imam/penceramah jemputan dengan kadar kekerapan 3 atau 4 kali seminggu. Tujuan program tazkirah ini adalah untuk memberi kesegaran minda dan berkongsi kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalam bulan ibadah ini.

5.         Tuan/Puan juga dijemput untuk sama-sama dalam sebarang program yang dilaksanakan oleh pihak surau seperti Taddarus Al-Quran (setiap malam selepas tarawikh), Kuliah Subuh (setiap sabtu dan ahad), Kuliah Muslimat (setiap hari ahad), Majlis Khatam dan berbagai lagi program yang akan diaturkan untuk manfaat seluruh penduduk.

5.         Sehubungan dengan itu, diharap pihak semua penduduk dapat mengambil peluang untuk sama-sama mengerjakan ibadah dengan sempurna. Semoga Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik dalam hidup kita.


Selamat Berpuasa & Selamat Menjalani Ibadah


                          t.t
(ABDUL AZIM BIN ABU ZIDEN)
Pengerusi
Surau Wahbah Al-Zuhaily
Presint 18, Fasa 18R12, Putrajaya

Wednesday, 18 July 2012

Ceramah Ustaz Azhar Idrus Menjadi Kenyataan

Semalam penulis menjadi sangat teruja kerana satu impian yang telah lama dipasang hampir sahaja menjadi kenyataan. Sejak dari saat itu, penulis antara individu yang paling sibuk dengan perancangan secara ad-hoc. Apa yang dimaksudkan ini ialah, melihat penceramah tersohor Malaysia berceramah di tempat penulis. Tapi... ianya bukan di Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) atau pun di Putrajaya. Tempatnya ialah seperti mana dinyatakan pada poster di bawah:


Tuesday, 17 July 2012

Laporan Ceramah Diambang Ramadhan

Alhamdulillah..Minggu lepas Ceramah Diambang Ramadhan telah pun diadakan dengan jayanya. Para petugas dan AJK telah memberi komitmen yang sangat baik untuk menjadikan program ceramah tersebut dapat berjalan lancar. Penceramah jemputan Ustaz Mohd Sukki Othman juga berjaya menarik minat para hadirin untuk sama-sama berinteraksi secara 'maya' pada ceramah tersebut.



Pada malam tersebut, Ustaz Shauqi (nama pena) membuka ruang untuk para hadirin bertanyakan soalan secara sms. Ini mengundang banyak soalan yang tidak putus-putus daripada semua yang hadir. Kebanyakan soalan berkenaan Ramadhan dapat dijawab dengan baik oleh Ustaz Shauqi bagi menjelaskan sebarang kemusykilan yang timbul.

Di kemuncak program, para hadirin telah dijamu dengan buah durian sebagai pencuci mulut. Ternyata apa yang dihasratkan menjadi kenyataan. Para hadirin begitu ceria, teruja dan ikatan mahabbah jelas dapat dijalinkan melalui kenduri durian ini.

Monday, 16 July 2012

Lawak Bukan Sekadar Lawak

Zaman sekarang ni ramai orang akan tertarik dengan unsur-unsur 'humor' atau lebih mudah kita sebut "lawak". Sebab tu kita boleh tengok Astro tak henti-henti dengan program lawaknya. Dari Raja Lawak ke Maharaja Lawak. Kemudian keluar pulak Maharaja Lawak Mega. Nak jadi grand lagi dipentaskan pulak geng-geng Raja Lawak dalam program Lawak ke Der..?

Wednesday, 11 July 2012

Buat Apa Dengan 12k..?

Rasanya semua dah tau apa yang dimaksudkan 12k tu. Pasti juga macam-macam pendapat yang keluar daripada penghuni yang menyumbang mahu pun yang tidak menyumbang. Ada yang kata jumlah kutipan tu banyak.. ada yang kata sedikit.. yang bersyukur pun tidak kurang ramainya.. tak lupa juga mungkin ada di antara kita sedang fikir, apa yang surau nak buat dengan RM 12,028.00 tu..?

Yang ni lebih 12k..

Mula-mula penulis nak sampaikan rasa syukur daripada seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily di atas sumbangan di luar jangkaan yang diterima. Jadi, bila kata luar jangkaan, memang banyak la berbanding jumlah sasaran awal. Kalau kira jumlah tu ada dalam akaun bank penulis yang hidup seperti orang kebanyakan ni, memang "wow..!!" la penulis jerit. Boleh tampung 'belanja mewah' selama 3-4 bulan tu..

Jom Makan Durian di SWAZ

Makan durian..?? Bile..?? Kat mane..?? Kena bayar ke..?? Oppsss..jangan tanya lagi. Ini jawapannya. Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk menikmati durian di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Syaratnya juga cukup mudah. Semua layak untuk menyertainya. Teruskan membaca jika anda seorang penggemar durian dan berani menyahut cabaran hebat ini...

Sedia untuk dikerjakan..!!!

Monday, 9 July 2012

Ceramah Khas: Diambang Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu program ceramah khas diambang Ramadhan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:

Ceramah yang bertajuk "Sudikah Ramadhan Menemui Kita" ini, akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Sukki bin Othman iaitu seorang pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga merupakan antara penceramah yang sering dilihat di kaca televisyen bagi program-program dakwah seperti program Tanyalah Ustaz dan Halaqah (TV9), Al-Kuliyyah (TV3), Anda Musykil (TV1) serta beberapa lagi program di TV Al-Hijrah, Astro dan Bernama selain kerap tampil di slot-slot radio IKIM.fm.
Bagi yang telah mengenali beliau, pasti anda akan menunggu kehadirannya di Surau Wahbah Al-Zuhaily nanti. Teknik penyampaian yang mudah diikuti dan 'sempoi' sudah tentu akan menarik minat pendengar terutamanya golongan muda. Selingan lawak jenakanya juga tidak kurang hebat hingga mampu memberi kesegaran kepada para hadirin.

Sekiranya anda belum pernah mengikutinya, jangan lepaskan peluang untuk bersama dalam program itu nanti. Selain kita menimba ilmu di dalam majlis penuh keberkatan ini, kita juga berkesempatan untuk charge diri sebelum ketibaan Ramadhan. Selain itu, pasti sesi bersama masyarakat dan bergaul di kalangan penduduk amat dinanti-nantikan. Bersamalah kita mengimarahkan majlis ilmu ini.

Terima kasih kerana prihatin

Minggu lepas merupakan tempoh yang cukup padat dalam jadual penulis. Disebabkan itu, penulis tidak berkesempatan untuk update info berkenaan program surau yang dilaksanakan sepanjang minggu. Bermula daripada program team building yang disertai sejurus selepas kutipan di blok F hinggalah kepada jadual kerja 12 jam sehari yang dilalui pada minggu pertama Julai 2012. Namun Alhamdulillah penulis masih berkesempatan bersama AJK lain dalam kutipan ramadhan selepas waktu isyak.
Setelah tempoh padat itu berlalu seketika, penulis sempat menjenguk FB KRT P18 R12 dan tertarik dengan komen seorang pengikut FB tersebut. Rupa-rupanya, blog picisan Surau Wahbah Al-Zuhaily yang tidak seberapa ini mempunyai pengikut setia yang sudi membacanya. Lebih mengujakan, beliau tertunggu-tunggu post baru di dalam blog ini. Beliau yang dimaksudkan ialah pemilik akaun seperti di bawah:
Komen di wall FB KRT oleh Kamaruls Cities

Penulis menjadi teruja dengan post yang simple tapi bermakna ini. Di dalam post Encik Kamarul itu, ada menyatakan tentang minat beliau membaca blog Surau Wahbah Al-Zuhaily. Penulis bukanlah seorang yang pandai berkarya pun. Lebih-lebih lagi, inilah sahajalah ruang penulisan yang penulis ceburi. Semata-mata untuk infomasi surau tercinta. Membuatkan ianya lebih terharu, kesudian untuk mempromosi kepada pengikut FB yang lain membuatkan En Kamarul memang seorang yang cukup saya hormati.

Ikhlas penulis katakan, penulis mungkin tidak mengenali En. Kamarul. Beliau juga pastinya bukan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily. Sedang hanya segelintir sahaja AJK yang sudi promosi blog ini, Allah rupa-rupanya tampil menghantar hamba-Nya yang ikhlas untuk sama-sama berkongsi. Pasti penulis ingin mengenali beliau. Mungkin Ramadhan ini menjadi pemecah tembok demi suatu ukhuwah kerana Allah Taala.

Justeru, penulis ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas keprihatinan En. Kamarul dan mungkin sesiapa sahaja di luar sana yang sudi menjadi pembaca setia blog ini. Semoga anda memperoleh manfaat dari penulisan kecil ini dan Allah pasti akan merahmati kalian. Syukran...

TAHNIAH..!!! Saham Ini Pasti Ada Untung..

Terlebih dahulu penulis memohon maaf kerana lambat untuk memaklumkan dari semasa ke semasa jumlah kutipan blok-blok semasa kutipan Ramadhan yang berakhir hari Khamis yang lalu. Jangan salah faham. Bukan blok-blok yang lain tidak hebat seperti mana post khas yang dibuat untuk blok G & H. Tetapi kelapangan jadual penulis yang menghalang hasrat tersebut. Maka, di saat itu memang ramai yang mula bertanya berapa jumlah kutipan yang telah diterima.

Jawapan mudah tidak lain ialah anda boleh lihat di papan kenyataan di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Bendahari sentiasa update kutipan setiap hari walaupun ada penambahan-penambahan secara ad-hoc. Namun begitu, rasanya ruangan maya ini tetap menjadi medium terbaik untuk penyampaian maklumat kepada seluruh warga Presint 18 Fasa R12. Di sini penulis akan perincikan kutipan setiap blok dan jumlah keseluruhan yang diterima sehingga jam 10.00 malam 08 Julai 2012.
Blok A   :  RM  955.00
Blok B   :  RM  708.00
Blok C   :  RM 1,415.00
Blok D   :  RM 1,400.00
Blok E   :  RM 1,500.00
Blok F   :  RM 1,955.00
Blok G  :  RM 2,205.00
Blok H  :  RM 1,890.00
Total   :  RM 12,028.00

Melihat kepada jumlah keseluruhan ini, tidak ada kata lain yang boleh diucapkan selain daripada setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang membuka jalan mudah untuk Surau Wahbah Al-Zuhaily mendapatkan dana pengimarahan Ramadhan tahun ini. Alhamdulillah.. Sujud syukur di atas rezeki yang baik ini. Mudah-mudahan ianya berterusan dan membantu setiap perancangan aktiviti surau seterusnya memartabatkan syiar Allah di bumi Putrajaya.

Untuk pengetahuan semua penghuni Presint 18 Fasa R12, jumlah kutipan ini adalah tertinggi pernah dicatatkan sepanjang tempoh 3 tahun. Lebih menarik ianya adalah jauh mengatasi kutipan-kutipan lepas dan sasaran RM 10 setiap rumah yang ditetapkan oleh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily. Ini bermakna, penghuni semakin sedar akan nilai saham akhirat melalui infaq kepada rumah-rumah Allah. Saham ini walaupun tidak akan terpapar di papan-papan bursa Malaysia, ianya pasti akan tertulis di bursa saham yang Allah sendiri menjadi pembayar keuntungannya. Lebih besar nilai amaun dan ikhlasnya, maka dijanjikan juga keuntungan yang tidak akan pernah mampu dibayar oleh dunia fana ini.

Percayalah akan janji Allah kepada manusia yang redha dalam sedekahnya. Yakinlah pada balasan baik daripada Allah untuk seluruh umat manusia yang mengembalikan rezeki kurniaan-Nya kepada jalan-jalan Allah. Bertawakkallah kepada Allah, nescaya rezeki-Nya tidak akan putus kepada hamba-hamba yang berbuat amal kebajikan.

Kecerian di wajah para petugas

Bendahari sentiasa dengan kira-kiranya

Borang tahlil blok H yang lambat diedarkan. Terpaksalah overtime.

Pengerusi juga turut serta

Akhir sekali, seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua penduduk yang sudi menyumbang. Inilah saham anda yang paling bernilai di dunia dan di akhirat. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat sebagai petugas kutipan Ramadhan yang terdiri daripada AJK dan ahli jemaah Surau Wahbah Al-Zuhaily. Pengorbanan masa yang anda berikan juga adalah saham kebajikan yang tiada nilainya. Tidak lupa juga kepada jawatankuasa KRT yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada surau. Terima kasih, alhamdulillah dan jumpa lagi di program-program Ramadhan nanti. Allahu Akbar..!!!

Monday, 2 July 2012

Alhamdulillah..Semuanya Rezeki Dari Allah

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah di atas kekuasaannya di atas limpahan rezeki kepada Surau Wahbah Al-Zuhaily bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sepanjang seminggu pusingan pertama kutipan dana Ramadhan dijalankan, Allah SWT telah membuka pintu rezeki yang baik kepada surau. Rahmat Allah yang tidak terhingga ini dicurahkan kepada penghuni blok E, F, G & H yang sudi menghulurkan dana yang besar bagi program pengimarahan Ramadhan nanti.

Berikut adalah statistik kutipan dana yang diterima minggu lalu:

Blok E : RM 1,480.00
Blok F : RM 1,895.00
Blok G : RM 2,175.00
Blok H : RM 1,880.00
Jumlah : RM 6,980.00

Diharap pusingan kedua kutipan yang akan dimulakan hari ini membabitkan 4 lagi blok turut akan mendapat sumbangan yang baik daripada para penduduk. Hari ini kutipan akan bermula di blok D, diikuti blok C pada keesokkan harinya sehinggalah kepada blok A pada hari terakhir iaitu hari Khamis. Semoga segala usaha murni ini akan sentiasa dibantu oleh Allah demi tujuan pengimarahan rumah-Nya.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang sudi menghulur sumbangan. Mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan rezeki kita semua dari suatu tahap ke tahap yang lebih baik. Amin ya Rabb A'lamin.