Sila Klik Nuffnang

Friday 18 May 2012

Wajah Terindah

Tatkala anda bersendirian di waktu yang tenang dan nyaman, apakah wajah-wajah yang terbayang di sudut minda anda..? Pastinya pelbagai wajah dan episod-episod indah menjengah ruang fikiran yang sedang kosong menantikan suatu pengisian abadi. Di waktu itu, setiap yang singgah sudah tentu akan ditapis bagi memilih satu-satunya wajah terindah untuk membuai perasaan seorang yang bernama insan. Nah..anda tentukan wajah terindah itu. 
(Adakah ini wajah-wajah terindah yang anda fikirkan...??)


Wajah-wajah hiasan di atas (yang dikutip daripada lambakan wajah di internet) bukanlah wajah terindah yang ingin dikupas dalam post ini. Ianya tidak perlu pun wujud dalam minda ketika mana hari ini (18 Mei 2012), kebanyakan khatib masjid di sekitar Wilayah Persekutuan membacakan teks khutbah yang bertajuk 'Wajah Terindah'. Isi kandungan teks khutbah tersebut sebanarnya menyentuh suatu kalimah indah yang lebih besar pengertiannya iaitu wajah-wajah insan yang bergelar ibu dan bapa.

Masjid Negara adalah salah satu masjid di Kuala Lumpur yang membacakan khutbah ini. Bagi seorang yang mempunyai jiwa halus, pastinya akan sedikit tersentuh apabila mengamati dengan penuh perhatian tentang bibit-bibit ayat yang dinyatakan di dalam khutbah itu. Kredit kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyediakan teks khutbah yang cukup bermakna ini.

Antara yang dinyatakan di dalam khutbah tersebut tentu sekali petikan ayat Al-Quran dari Surah Al-Isra' ayat 23-24 seperti di bawah:

Maksudnya:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.
(Al-Isra': 23-24)

Kupasan khutbah berkisarkan pengajaran kepada insan yang bernama 'anak' untuk mengenang kembali wajah-wajah kedua ibu bapa yang tegar mendidik dan membesarkan kita dengan penuh rasa kasih sayang. Mereka ini merupakan semulia-mulia ciptaan Allah lebih-lebih lagi seorang ibu yang menghadapi saat sukar ketika mengandung dan melahirkan kita ke dunia Allah ini. Mampukah kita membayangi saat-saat itu..?

Salah satu ayat yang disebut oleh Khatib ialah: "Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa  kita, mungkin ada di antara kita ini  ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia, telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati  mereka kepada kita." Ayat ini dan seterusnya menggentarkan hati seorang anak terutama mereka yang telah merasai kehilangan keduanya.

Bagi penulis, sepanjang khutbah ini dibacakan, jiwa dan minda ini tidak lain pastinya sedang melayang mencari wajah-wajah ibu dan bapa penulis yang telah kembali mengadap Penciptanya. Jiwa keras ini bagai ditetak-tetak oleh kata-kata seorang khatib yang menyeru setiap anak berbuat baik sejajar dengan firman Allah:


Maksudnya:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.
(Surah Luqman: 14)

Di dalam sebuah hadith Nabi SAW juga ada dicatatkan perihal tentang berbuat baik kepada ibu dan bapa yang mana maksudnya:




Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”  (Riwayat al- Bukhari)

Maka, adakah kita telah menjadi salah seorang anak yang berbuat baik terhadap ibu bapanya..? Atau cukupkah bakti kita kepada keduanya..? Inilah persoalan yang berlegar di fikiran penulis di saat wajah terindah itu muncul menjengah. Beruntunglah bagi seorang anak yang masih sempat menabur bakti kepada kedua ibu bapanya kerana mereka masih berada di sisi kita.

Namun, kesempatan itu tidak lagi dimiliki. Penulis tidak lagi berpeluang menabur khidmat bakti walaupun pernah seketika memelihara ibu di waktu penghujung usianya. Bila mengenang wajah indah ayah, linangan air mata lantas berkaca di kelopak. 'Ayahku pergi tatkala aku lalai melalui usia-usia remaja. Sedang ayahku itulah insan yang memimpin tanganku ke surau dan masjid untuk menunjukkan hiburan terbaik bagi sekeping hati'. Benak fikiran berkata-kata sendirian.

Justeru, ambillah iktibar daripada isi kandungan khutbah ini sebagai panduan untuk kita sentiasa menjadi seorang anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa seterusnya kekal menjadi anak yang soleh dan solehah. Kenanglah wajah-wajah terindah ini di sepanjang hayat kita sebagai seorang anak. Doakanlah yang terbaik untuk mereka dan perhiasilah kehidupan sekeluarga dengan amal-amal ma'ruf serta jauh dari kemungkaran.

Bagi pembaca yang tidak mengikuti khutbah ini, anda boleh dapati teks khutbah di pautan bertajuk 'Wajah Terindah' .

Mohon di sedekahkah Al-fatihah kepada kedua ibu bapaku yang telah kembali menemui Ilahi.
Allahyarham Abu Ziden bin Haji Awang (1940 - 2003)
Allahyarhamah Wan Fadzilah binti Wan Mohammod (1945 - 2009)

Semoga roh kalian bersemadi dengan tenang sebagai hamba-Nya yang beriman lagi soleh. Amin..

1 comment:

  1. Al-Fatihah untuk arwah mak dan ayah...

    ReplyDelete