Sempena sambutan Hari Belia 2012 beserta Program Himpunan Jutaan Belia yang diadakan di Putrajaya dari 23-27 Mei ini, pelbagai acara dan majlis telah diadakan bagi menarik kunjungan belia dari seluruh negara. Berdasarkan satu laporan dari akhbar Berita Harian hari ini (25 Mei), satu seruan dan cabaran telah dilemparkan kepada surau-surau di Putrajaya untuk mempergiatkan program agama dan kerohanian sepanjang sambutan Hari Belia ini.
Berita Harian 25 Mei 2012
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapannya ketika perasmian Kolokium Belia Islam di Putrajaya, mengarahkan supaya masjid dan surau di Putrajaya memperbanyakkan kegiatan keagamaan dan berbentuk kerohanian sebagai pengisian sempena Program Himpunan Jutaan Belia yang sedang berlangsung ini. Arahan ini benar-benar suatu yang amat menggembirakan pihak surau di Putrajaya termasuklah Surau Wahbah Al-Zuhaily kerana ianya menjurus kepada sokongan terhadap program-program agama.
Justeru, kami amat mengalu-alukan sokongan tersebut dan berharap semua penduduk sekitar Putrajaya sama-sama menyahut seruan yang bermakna itu. InsyaAllah berdasarkan galakan yang diberikan ini akan memberi semangat kepada surau-surau di Putrajaya untuk melaksanakan aktiviti keagamaan, bukan sahaja untuk Hari Belia, malah berterusan sehingga Putrajaya mampu dinobatkan sebagai bandaraya terbaik dari segi program agama.
Saya menyeru kepada semua badan-badan kemasyarakatan baik persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO bergabung tenaga ke arah matlamat memperindahkan Putrajaya dengan program ilmu, keagamaan dan kerohanian ini agar penduduk di Putrajaya hidup di bawah rahmat dan syafaat Allah juga Rasul-Nya.
No comments:
Post a Comment