Sila Klik Nuffnang

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Friday, 18 May 2012

Wajah Terindah

Tatkala anda bersendirian di waktu yang tenang dan nyaman, apakah wajah-wajah yang terbayang di sudut minda anda..? Pastinya pelbagai wajah dan episod-episod indah menjengah ruang fikiran yang sedang kosong menantikan suatu pengisian abadi. Di waktu itu, setiap yang singgah sudah tentu akan ditapis bagi memilih satu-satunya wajah terindah untuk membuai perasaan seorang yang bernama insan. Nah..anda tentukan wajah terindah itu. 
(Adakah ini wajah-wajah terindah yang anda fikirkan...??)

Friday, 4 May 2012

13 Aurat Pada Wanita

Wahai Muslimah.. Belajarlah sesuatu perkara tentang dirimu yang indah itu. Perhiasan dunia yang paling indah ialah Wanita Solehah.


1. Bulu kening – Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng – Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian – Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada – Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi – Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Friday, 27 April 2012

Semoga Yang Terakhir Lebih Memahaminya..

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW

Hayatilah bibit-bibit penyampaian khutbah terkahir yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada kita seluruh umah Baginda. Khutbah ini telah disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, di Lembah Uranah, Gunung Arafah. 'Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada yang terus mendengar dariku'.

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."

Ambillah pengajaran daripada khutbah ini. Jika terdapat bibit-bibit ayat yang tidak difahami, sudi-sudikanlah diri untuk terus belajar. Carilah gedung-gedung ilmu seperti masjid dan surau untuk menerokainya. Di dalamnya terkandung banyak bab-bab dalam pengajian Islam. Semoga kita menjadi golongan terakhir yang amat memahami maksud tersirat di dalam penyampaian khutbah terkahir Rasulullah ini.

Saturday, 14 April 2012

Tiada Tuntutan Untuk Solat Berjemaah..

Hasil daripada semakan dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri seluruh Malaysia mendapati solat berjemaah di masjid dan surau tidak menjadi tuntutan sama sekali. Hal ini telah pun disepakati oleh ulama'-ulama' seluruh dunia bagi memastikan permaslahan umat dapat diselesaikan dengan baik. Maka dengan itu tidak perlu bagi seseorang nazir di masjid dan surau resah dengan memikirkan kaedah bagaimana untuk menarik penduduknya hadir sama-sama mendirikan solat secara berjemaah di masjid atau surau mereka.

Dituntut atau tidak..?

Oleh yang demikian, fahamilah anda bahawa garis panduan jelas telah ditunjukkan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau mengenai mengapa tiada tuntutan tersebut. Penjelasan dibawah boleh merungkai permalasahan tersebut.

Tuesday, 14 February 2012

Coretan 14 Feb: Cinta Terulung

Andai anda ingin tahu bagaimana ingin meraikan cinta yang sebenarnya, bacalah kisah cinta kekasih agung ini. Tiada cinta di dunia ini sehebat cinta Rasulullah SAW kepada umatnya.


Rasulullah SAW telah menghiasi hidupnya dengan warna-warna cinta & kasih sayang. Baginda telah mencorakkan perjalanan hidupnya dengan perjuangan dan pengorbanan demi cinta kasihnya. Cinta dan kasih sayang yang tidak ternilai dan diluar jangkaan manusia biasa. Sekiranya kita menelusuri perjalanan hidup baginda serta menghayati setiap degupan nadi kehidupannya, kita akan lihat gambaran wajah kasih sayang yang terlalu mendalam serta cinta yang tidak berpenghujung pada umatnya.
Kasih baginda tak pernah padam hinggalah suatu pagi, pagi yang bersejarah, pagi yang suram dan penuh dengan kedukaan.....
Pagi itu, walaupun langit mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayapnya. Pagi itu, Rasulullah saw dengan suara yg tersekat-sekat memberikan khutbah; "wahai umatku, kita semuanya dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertaqwalah kepada Nya.
Apabila malaikat maut datang menghampirinya, baginda bertanya kenapa jibril tidak bersamanya. Kemudian dipanggil jibril yg sebelumnya bersiap di atas langit dunia menyambut roh baginda.
Jibril, jelaskan apakah hakku nanti di hadapan Allah ? Tanya Rasulullah dengan suara yang sangat lemah. "pintu-pintu langit sudah terbuka, malaikat sedang menanti roh kamu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata jibril. Namun jawapan itu tidak membuatkan Rasulullah lega, malah matanya masih penuh keresahan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini? Tanya jibril. "Khabarkan kepadaku, bagaimanakah nasib umatku kelak? "Jangan khuatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku; "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad sudah berada di dalamnya," kata jibril. Ketika it barulah nampak tanda-tanda kelegaan pada wajahnya yang mulia itu.
Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat leher baginda menegang. "jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini," perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Saidina Ali yang di samping baginda tunduk dan jibril memalingkan mukanya.
"Jijikkah engkau melihatku sehinggakan engkau palingkan wajahmu, jibril? Tanya Rasulullah kpd malaikat jibril. "Siapakah yg sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal." kata jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yg tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan sahaja siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai sejuk, kaki dan dadanya tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar-getar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu, saidina Ali segera mendekatkan telinganya.
"Peliharalah solat dan peliharalah orang lemah di antara kamu."
Begitulah saat-saat akhir manusia agung yang jiwanya dipenuhi rasa kasih pada ummatnya. Setiap detik hayatnya adalah untuk ummatnya, setiap kepayahannya adalah untuk keselamatan ummatnya serta setiap jerih perit kehidupannya adalah untuk cahaya keimanan ini terus tersebar menyinari hidup ummatnya. Sejarahnya adalah sejarah petunjuk dan kasih sayang. Kasih sayang yang tiada ukurannya untuk kita ummatnya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SWAZ : Titisan airmata sahaja yang dapat digambarkan betapa tingginya nilai cinta itu bagi seorang kekasih Allah. Baginda dijanjikan tempat terpuji, namun Baginda redha menyusuri kepayahan demi umatnya. Cinta ini tidak akan dapat dikenang untuk 1 hari sahaja. Inilah cinta yang wajib terpahat di hati setiap manusia saban waktu, setiap detik dan selama-lamanya.
Kredit kepada sumber di sini.

Monday, 13 February 2012

Hari Kekasih: Kepada Siapa Kasihmu Wahai Sahabat?

Sebelum ditulis lebih panjang, ingin penulis maklumkan bacaan ini hendaklah ditujukan kepada sekalian muslimin dan muslimat serta ianya tiada kaitan untuk bertelingkah dengan penganut agama lain yang menyambut Hari Kekasih ini. 

14 Februari sekali lagi akan menjelma dalam kalender masihi seperti juga tahun-tahun yang telah berlalu. Seperti diketahui umum, inilah salah satu hari yang sentiasa akan diperkatakan baik di kalangan golongan ulama', mualim, mursyid, pendakwah, orang-orang masjid dan tidak ketinggalan juga bagi orang-orang awam kebanyakan. Pada tanggal tersebut terdapat sebuah acara yang dikenali ramai baik yang menyambut atau menentangnya iaitu Valentine Day.

Maka bermula sahaja bulan Februari, menjelmalah iklan-iklan di pusat membeli belah, media massa, media maya, tepi-tepi jalan dan sebagainya, pantas mempromosikan hari tersebut. Paling meriah tentunya kedai yang menjual aneka bunga dan hadiah untuk dijadikan "present" kepada sang kekasih. Perkara ini seolah-olah satu kebanggaan bagi anak-anak muda yang hangat di dalam percintaan. 14 Februari ini pastinya dirasai sebagai hari yang memartabatkan cinta mereka baik si lelaki mahupun yang perempuan. Berpusu-pusulah umat manusia yang alpa ini mempersiapkan diri, perhiasan, tempahan dan sebagainya untuk membuktikan kepada pasangan masing-masing bahawa dialah satu-satunya kekasih yang bertakhta di dalam hati.

(Terjumpa satu contoh promosi dalam blog seorang gadis melayu Islam)

Di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, menampakkan seolah-olah ramai yang memandang Hari Kekasih ini sesuatu yang normal. Apakah normal dimaksudkan adalah kerana menghormati St. Valentine yang menjadi salah satu perayaan agama bagi penganut-penganut Nasrani..? Normalkah juga hari untuk memperingati kekasih ini jatuh pada satu tarikh sahaja dan ianya diraikan saat tanggal kematian St. Valentine yang dihukum bunuh..? Persoalan ini sepatutnya kita pertimbangkan semula sebagai orang Islam.

Berkasih Sayang Di Dalam Islam

Lumrah sebagai manusia biasa untuk hadir perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Masakan tidak kerana Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran:




"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (pasangan) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir." (Surah Ar-Rum 30:21)

Disebabkan demikian, maka apalah kemampuan kita minidakkan kekuasaan Allah SWT untuk mewujudkan perasaan berkasih sayang antara manusia terhadap pasangan-pasangan yang telah diciptakan-Nya. Namun begitu, kewujudan kasih sayang ini bukanlah bermaksud manusia sebebasnya memilih jalan-jalan maksiat sebagai tanda sayang sesama manusia. Hubungan antara kekasih di dalam Islam banyak keterbatasannya. Batasan pergaulan, etika berpakaian, larangan bersekedudukan dan adab-adab perlu dijaga agar memastikan kasih sayang yang tercipta sesama manusia itu berpandukan syariat serta niat utama kerana Allah SWT.

Demikian juga tidak ditetapkan sesuatu hari di dalam Islam untuk meraikan kasih sayang antara manusia. Tidak seperti mana agama-agama lain yang menyokong 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih hati, maka Islam sebenarnya menyatakan pendirian bahawa setiap hari adalah dibenarkan untuk berkasih-kasihan. Namun harus diingat, berkasihan antara yang manusia yang tiada ikatan sah pernikahan atau sesama muhrim adalah dilarang secara berlebihan. Satukanlah diri dengan pasangan anda dengan ikatan perkahwinan terlebih dahulu untuk anda raikan kasih sayang sebagai suami isteri.

Jauhkan Diri Dari Maksiat 14 Februari

Fahamilah sekalian manusia akan kesesatan dalam sambutan Valentine Day ini. Wahai anak-anak remaja mahupun yang telah menjangkau usia dewasa, hindarilah gejala tidak bermoral yang disebarkan oleh Barat ini. 14 Februari setiap tahun bakal menjerngah dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang seakan gagal dibendung oleh penguasa mahupun kita yang punya secebis kuasa. Mahukah kita melihat akan lahir lebih ramai anak-anak yang tidak berbapa..? Atau tergamak lagikah kita melihat bayi-bayi dibuang sama ada hidup atau mati..? Relakah kita melihat umat manusia yang mengakui diri sebagai Islam terus di dalam kancah zina..?

Bertakwalah kepada Allah. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah supaya kita semua dilindungi daripada perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Lupakanlah keseronokan dunia yang nyata sementara ini, kasih sayang yang abadi ialah kasih sayang terhadap agama dan balasan kasih sayang Allah adalah melimpah ruah nikmatnya. Maka, kepada Allah sahajalah kasih sayang terbaik untuk diraikan, kepada Allah sahaja cinta teragung perlu diluahkan. Nyatakan cintamu kepada Allah wahai sahabat.. Terjemahkan sayang itu kepada perbuatan amal makruf, semoga Allah juga membalas cinta-Nya kepada kita sebagai hamba yang bertakwa.

 (Katakan TIDAK..!!!)

Friday, 10 February 2012

Kehebatan Seorang Lelaki Agung


1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanankami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."




































Tuesday, 7 February 2012

Mencontohi Akhlak dan Keperibadian Nabi Muhammad SAW

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi, dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." 
(Surah Al-Ahzab 33:56)


Sebelum meneruskan pembacaan, marilah sama-sama terlebih dahulu kita sebagai hamba Allah yang beriman mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW seperti mana yang difirmankan oleh Allah di dalam potongan ayat Al-Quran di atas.


12 Rabi'ul Awal
Sudah menjadi lumrah di dalam masyarakat kita pada hari ini untuk menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabi'ul Awal setiap tahun dengan penuh rasa kesyukuran dan nikmat kerana dijadikan sebagai umat kepada pemimpin agung no.1 di dunia. Tarikh yang baru sahaja berlalu bagi tahun 1433H kali ini juga disambut meriah dan dirasai di seluruh pelusuk dunia apatah lagi di negara Malaysia ini. Pelbagai cara dilaksanakan untuk menunjukkan rasa cinta yang mendalam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW baik dari sudut sambutan, perarakan, majlis kesyukuran hatta kepada dianugerahkan pula pelbagai anugerah sempena kelahiran Nabi tersebut.

(Sumber gambar www.islam.gov.my)

Adapun begitu, banyak perdebatan di kalangan masyarakat wujud dalam meraikan hari bersejarah ini. Ada yang memberi sokongan yang baik, ada juga yang menentang, tidak kurang yang sekadar duduk diam dan tidak ketinggalan ada yang taksub pada sambutannya sahaja tetapi terus-terusan meninggalkan ajaran sebenar yang dibawa oleh Rasulullah. Kita sendiri wajar menilai dari golongan manakah kita..


Saban tahun berlalu, 12 Rabi'ul Awal tetap akan dikenang oleh masyarakat Islam sebagai antara tarikh terbaik yang pernah wujud di dalam perkiraan tahun Islam. Sewakarnya saban tahun itu jugalah tahap kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW meningkat daripada satu level ke level yang lebih tinggi. Penekanan terhadap mencontohi akhlak Baginda perlu dijadikan indikator pada setiap sambutan manakalan istiqamah dalam melaksanakan perintah dan ajaran yang ditinggalkan Baginda haruslah terpaku kemas di dalam hati.

Mencontohi Akhlak Nabi Muhammad SAW

Barangkali kita semua sudah sedia maklum tentang apa yang sebenarnya dituntut oleh Nabi Muhammad SAW daripada umatnya. Baginda tidak pernah meminta supaya diagungkan secara terlampau seperti mana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS. Tingginya nilai sifat tawaduk Baginda ini telah dinyatakan di dlaam sebuah hadith sahih riwayat bukhari yang bermaksud:

"Daripada Umar bin Khattab berkata: Rasulullah SAW bersabda, 'Janganlah kamu semua melampaui batas semasa memujiku, sebagaimana orang Nasrani melampaui batas memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, oleh itu katakanlah aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadith riwayat Bukhari dan Tirmizi) - Dipetik daripada kitab Syamail Muhammadiah Bab 47 Sifat Tawaduk Rasulullah.

Menyentuh keperibadian tinggi Rasulullah ini, tidakkah kita terfikir adalah Baginda dijadikan contoh dalam kehidupan seharian kita..? Seorang manusia agung lagikan merendah diri dengan akhlak yang cukup indah, sedangkan kita sebagai manusia yang tidak punya apa seolah membenarkan bahawa dunia ini hampir sahaja kita yang punya. Dimanakah rasa malu di dalam diri untuk mengatakan kita lebih hebat daripada kekasih Allah..? Apakah sudah cukup dengan berarak dalam majlis sambutan sahaja untuk menzahirkan bahawa kita mencontohi akhlak dan peribadi Baginda sebagai Idola kita..?

Inilah sebenarnya perkara yang perlu terzahir dalam diri setiap hamba Allah yang mengakui tiada Tuhan selain daripada-Nya, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Marilah sama-sama kita membenarkan di dalam diri kita ajaran-ajaran yang diseru oleh Rasulullah, tanamkan di dalam hati kecintaan kepada Baginda, praktikkan juga perilaku dan akhlaknya dalam kehidupan sebagai Muslim serta jadikanlah Baginda sebaik-baik contoh tauladan di dalam kaca mata dunia.


Siapa Kita Di Sisi Nabi Muhammad SAW


Setiap umat Baginda Nabi SAW mengharapkan syafaat yang berterusan daripadanya sehingga ke hari akhirat. Justeru, selayaknya Baginda ditauladani bukan sekadar mengikut ajaran-ajaran yang dikehendaki sahaja seperti solat lima (5) waktu, berpuasa bulan Ramadhan dan sebahagian amalan-amalan rutin seorang Muslim. Bahkan, lebih daripada itu ialah menerapkan setiap nilai-nilai murni yang ada pada diri Baginda secara keseluruhannya, Tidak dapat semua, ambillah satu demi satu sehingga apa yang ada itu, setidak-tidaknya kita fahami dan cuba amalkannya. Tertarik dengan sebuah hadith tentang hal Baginda di rumah seperti mana diriwayatkan daripada Sahih Bukhari:

Daripada Amrah:
"Seseorang bertanya kepada Aisyah, 'Apakah yang Rasulullah lakukan di rumah?'. Aisyah menjawab, 'Baginda sama seperti orang lain. Baginda menjahit pakaian, memerah susu kambing dan menyiapkan keperluan diri Baginda sendiri."

Betapa tingginya pekerti Baginda sehingga apa yang dilakukan di rumah juga kadang kala kita sebagai hamba kerdil tidak mampu melaksanakannya. Baginda punya darjat yang tinggi bahkan manusia terbaik yang diciptakan Allah di dunia ini. Walaupun demikian, Baginda tidak pernah sombong diri sebagai hamba Allah. Baginda tidak kekok melaksanakan urusan harian di rumah seperti mana seorang suri, menternak sebagaimana urusan Baginda sebelum diangkat sebagai Rasulullah hatta kepada bergurau senda bersama keluarga dengan penuh kasih sayang. Itu sekadar sedikit apa yang dapat digambarkan untuk kita renung sejenak dimana taraf kita untuk meraih syafaat terbaik daripada Baginda.

Oleh yang demikian, serulah akan kebaikan seperti mana yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW. Siapalah kita untuk bongkak dengan pangkat di dunia yang sementara ini. Apalah nilainya kedudukan di muka bumi sebagai orang yang punya kuasa namun tiada sedikit pun terlintas di hati untuk terus berjuang di jalan Allah seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah. Kembalikanlah diri kita kepada penyambungan dakwah Rasul, cintai akhlak Baginda, teruslah menyebar luas ajarannya dan jadilah seorang khalifah yang tegar meninggikan syiar Islam. Berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW.