Sila Klik Nuffnang

Friday, 22 June 2012

Dalam Kenangan: 10 Tahun Perginya Sebutir Permata

Tanggal 23 Jun 2012, genaplah usia 10 tahun perginya sebutir permata yang tiada galang gantinya. Seorang insan hebat di negara kita ini pergi bertemu Kekasihnya. Beliau merupakan seorang hamba Allah yang cukup tinggi nilai baktinya kepada perjuangan Islam semasa hayatnya di dunia ini. Sumbangan besarnya di dalam memartabatkan Islam di Malaysia tidak perlu dipertikaikan. Walaupun tidak pernah bergelar pemimpin negara mahupun negeri, kehebatan dan nilai akhlak yang tinggi yang ada pada dirinya cukup dihormati kawan dan lawan. Beliau yang dimaksudkan ialah Almarhum Al-Fadhil Ustaz Dato' Fadzil bin Mohd Noor.

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (1937-2002)

Ketika Almarhum Ustaz Fadzil menghembuskan nafas yang terakhir, usia penulis masih lagi linkungan remaja yang tidak kenal erti perjuangan Islam dan hebatnya kerja-kerja dakwah menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Namun nama Almarhum telah dikenali sejak penulis berusia kanak-kanak lagi. Walaupun di usia mentah itu, penulis memang telah diperkenalkan oleh Allahyarhamahuma ayahanda dan bonda untuk mengenali para ulama' dan pejuang-pejuang Islam di Malaysia. Kehebatan Almarhum Ustaz Fadzil telah diperhatikan sedari kecil hingga meruntun jiwa muda ini untuk menghormati beliau.

Sebenarnya, penulis tergerak hati untuk mengungkap kembali kisah-kisah Almarhum Ustaz Fadzil ini ialah ketika penulis sama-sama duduk di dalam usrah pemuda beberapa hari yang lepas. Naqib usrah membawa buku bertajuk "Aqidah dan Perjuangan" hasil penulisan Almarhum. Melalui usrah dan beberapa petikan tulisan buku itu, dengan pantas fikiran ini terkenang kepada karyawannya. Keesokannya penulis melayari internet mengimbau kisah-kisah beliau. Air mata terus bergenang dan sukar dibendung untuk segera menitiskannya. Sungguh..Almarhum sukar dicari ganti.

Aqidah dan Perjuangan

Mengingati kisah perginya mujahid ulung ini, pada tanggal 23 Jun 2002, penulis yang ketika itu sedang menuntut di Johor Bahru, antara insan paling terkesima mendengar berita sedih itu. Ibu dan ayah segera dirujuk untuk mendapatkan kebenaran. Ketika itu penyebaran maklumat tidak sehebat kini. Penulis sendiri ketika itu hanya menggunakan telefon awam untuk berhubung dengan keluarga. Setelah berita itu disahkan, alangkah sedih dan hiba rasa hati ini. Ingin sahaja ketika itu penulis menerjah ke arah utara untuk sama-sama memberi penghormatan terakhir. Namun, berbekal wang saku pelajar beserta sebuah motosikal, masakan sempat penulis tiba sebelum Almarhum disemadikan. Pilu hati ketika itu Allah sahaja yang tahu.


Penulis bukan seorang yang terlibat secara langsung dengan politik. Namun disebabkan pernah mempunyai latar belakang pendidikan agama, Almarhum pastinya salah seorang nama mujahid hebat di tanah air ini yang melekat di dada penulis. Jiwa remaja kebanyakan ini sedikit pun tidak menghalang kekaguman penulis terhadap pemimpin harakah Islamiyah itu.



Pastinya Allah telah mengangkat tinggi darjat Almarhum di kalangan para mujahidin yang taat kepada-Nya. Masakan tidak, saat hembusan nafas terakhirnya di HUKM, Kuala Lumpur, berbondong-bondong manusia hadir dari segenap pelusuk negara untuk sama-sama memberi penghormatan, menziarah, menunaikan solat jenazah hatta mengiringinya sehingga ke persinggahan terakhir di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena. Madrasah Darul Ulum ini ialah sebuah pusat pendidikan agama yang dibuka sendiri oleh Almarhum dan di atas wasiatnya, beliau ingin disemadikan di tanah itu.




Perjalanan terakhir Almarhum ke Muassasah Darul Ulum melalui jalan udara atas arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat pada ketika itu. (Almarhum menjawat jawatan ketua pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu). Namun, di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan menghala ke utara, penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk sampai sebelum jenazah disemadikan. Kawasan sekitar Muassasah Darul Ulum dimaklumkan mencecah ratusan ribu manusia yang memberi tanda tingginya jasa bakti Almarhum terhadap negara terutama dalam landskap politiknya. Melalui pembacaan penulis, ada yang hadir terpaksa berjalan sehingga 10km jauhnya untuk sampai ke Muassasah Darul Ulum.


Allah menzahirkan hasrat Almarhum untuk mati dalam perjuangan. Walaupun di mata kasar beliau pergi di atas katil sakit, namun dari sudut lain, beliau tetap seorang syahid di batas perjuangan Islam. Betapa tingginya nilai yang ditinggalkannya kepada gerakan Islam di Malaysia sehingga bertapaknya kuasa anak muda terhadap pejuangan Islam. Mungkin ramai yang tidak merasainya. Namun bagi penulis, mujaddid agung inilah yang mempelopori kebangkitan Islam di kalangan masyarakat sekarang. Anak muda seusia penulis kini telah mula berjuang dalam Islam. 

Solat jenazah diiringi lebih daripada 50,000 manusia, menjadikan ia mungkin yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Solat diulangi berkali-kali di atas permintaan orang ramai yang hadir. Wajah-wajah manusia yang hadir pastinya bergenang dan meratapi perginya seorang pemimpin yang sehingga kini tiada tandingannya.


Sikap pendengar yang baik amat dirindui oleh para ahli dan penyokongnya. Setiap lunak bicara yang lembut meruntun hati untuk kembali mencari amanat-amanat yang masih terakam di dunia maya. Almarhum tidak pernah mencaci musuhnya dengan nada keras. Bibit tutur katanya di atur indah membuatkan setiap kawan tunduk patuh dan lawannya kelu tanpa hujah balas. Pergaulannya tidak mengenal darjat dan kedudukan. Siapa sahaja bisa mendekatinya. Tangan kecil penulis pernah digengamnya dan tangannya sempat dikucup tanda hormat seorang anak kecil yang dibawa oleh Almarhum ayahanda. Hingga kini walaupun detik itu berlaku hanya sekali dalam hidup penulis, ia pasti akan dikenang selamanya. Itu sahaja pengalaman yang penulis ada bersama insan mulia ini.

Anak muda masa kini mungkin ramai yang tidak lagi mengingatinya. Namun, sama sekali tidak bagi penulis. Mengenang Almarhum Ustaz Fadzil samalah juga penulis mengingati Almarhum ayahanda yang pergi bertemu Ilahi kira-kira hampir setahun berselang. Almarhum ayahanda mempunyai gaya penampilan seiras Almarhum Ustaz Fadzil. Hingga ada di antara cucunya yang masih kecil tidak dapat membezakan antara ayahanda dan Almarhum. Kedua-duanya adalah sumber inspirasi penulis dalam kerja-kerja dakwah.

Pemimpin Islam yang sukar dicari ganti. Kami sentiasa merindui insan mulia ini.

Almarhum Ayahanda penulis bersama cucu-cucunya sebulan sebelum mengikuti jejak Almarhum Ustaz Fadzil bertemu Ilahi.

Tanah indah nan hening di Muassasah Darul Ulum menjadi saksi pertemuan mujahid ulung ini bertemu Penciptanya Yang Satu. Langit yang tenang di saat tibanya jenazah mengundang bicara bahawa sang langit turut meratapi pemergian itu. Malam yang dingin mengikuti turutan langkah terakhirnya di dunia fana ini. Tiada binaan hebat untuk pusaranya walaupun Almarhum insan hebat. Itu membuktikan zuhudnya dunia Almarhum untuk mengadap Allah dengan penuh kekayaan akhirat.

Kini 10 tahun yang berlalu perginya permata hati kebanyakan rakyat Malaysia yang cintakan agama Allah ini. Pemergiannya di saat umat Islam di negara ini masih memerlukan seorang pemimpin agung untuk membawa ke jalan yang diredhai Allah. Air mata yang mengalir bagi setiap yang merindui susuk tubuh itu belum tentu menghasilkan sebutir lagi permata. Andai juga air mata ini diganti dengan serpihan kristal sekali pun, pasti susuk itu yang penulis idamkan. Semoga Allah merahmati Almarhum dan menempatkannya di tempat hamba-hamba yang memiliki darjat tinggi. Al-Fatihah..


Dapatkan Harakah Cetak edisi Jumaat 22 Jun 2012 untuk mengikuti tribute khas 10 tahun perginya Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor.

No comments:

Post a Comment