Sila Klik Nuffnang

Monday 18 June 2012

Ayuh..Mulakan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sekarang..

Penduduk di Presint 18, Putrajaya khususnya di Fasa 18 R12, diseru untuk mula membuat pengumpulan minyak masak terpakai secara lebih giat bagi sama-sama menjayakan Program Toyota Eco Youth (TEY) 2012 yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota).

Semalam (17 Jun 2012), telah diadakan Majlis Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Khairudin Samad yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya bertempat di Dewan Serbaguna Presint 18 Fasa R12. Program TEY 2012 ini akan diwakili oleh pelajar-pelajar SMK Presint 18(1) yang menggelarkan diri mereka sebagai Eco Green 18. Tugasan pengumpulan minyak masak ini akan melibatkan komuniti Presint 18 Fasa R12 yang mana disokong bersama Kawasan Rukun Tetangga P18 R12 dan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Majlis perasmian yang diadakan itu turut mendapat liputan daripada akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan Bernama. Berdasarkan maklum balas penduduk yang hadir juga menunjukkan tanda-tanda positif di mana penduduk memberi pujian terhadap usaha murni yang dilaksanakan oleh Team Eco Green 18 ini.

Utusan Malaysia 18 Jun 2012 (m/s: 30)

Berita Harian 18 Jun 2012 (m/s: 25)

Pada majlis tersebut juga, komuniti P18 R12 telah dibelkakan dengan 10 tong pengumpulan minyak masak terpakai telah diberikan oleh Alam Flora bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. InsyaAllah tong-tong ini akan diletakkan di blok-blok kediaman Fasa 18 R12 sedikit masa lagi. Ianya akan dimaklumkan kelak oleh pihak KRT. Penduduk juga akan lebih mudah dengan penempatan tong-tong tersebut.

JK Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan ini menyeru sekali lagi semua penduduk untuk memberi kerjasama penuh dalam program yang baik seperti ini. Katakan TIDAK kepada pembuangan sisa minyak masak terpakai di corong-corong saliran air, kerana ianya akan menjejaskan pembentungan dan aliran air paip di kediaman kita. Inilah masanya kita untuk sama-sama menyumbang kepada terhentinya pencemaran alam sekitar.

Kepada Team Eco Green 18, pihak surau mengucapkan selamat maju jaya di dalam pertandingan ini. Tahniah juga diucapkan kepada pihak SMKP18(1) dan semua yang terlibat menjayakan program ini.

1 comment:

  1. assalam, mahu bertanya . adakah masih lagi menjalankan kempen pengumpulan minyak masak terpakai pada tahun ini ?

    ReplyDelete