Sila Klik Nuffnang

Friday, 20 April 2012

Al-Fatihah.. Ujian Buat Hamba-Nya Yang Beriman

Dipetik daripada Utusan Online

KUALA LUMPUR 18 April - Hanya Allah SWT sahaja mengetahui kesedihan yang terpaksa dilalui seorang lelaki apabila melihat sendiri isterinya digilis sebuah lori dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dekat jejambat Desa Petaling di sini pagi ini.
Lebih menyayat hati, kemalangan pada pukul 7.54 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit menunggang motosikal itu bersama isterinya ke tempat kerja di ibu negara.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, ketika kemalangan, motosikal itu ditunggang oleh Mohd. Ridzwan Misran, 30, manakala isterinya, Norhana Nuruddin, 30, membonceng.
"Semasa melalui tempat kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang Mohd. Ridzwan telah terlanggar belakang sebuah skuter sehingga menyebabkan dia dan isterinya terjatuh di atas lebuh raya.
"Ketika itu, sebuah kenderaan yang dipercayai lori tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa. Norhana maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pasangan tersebut tinggal di Pangsapuri Kajang Impian, Kajang.
Katanya, polis juga sedang mengesan lori yang dipercayai menggilis Norhana untuk siasatan lanjut.
-----------------------------------------------------------------------

Penulis memohon semua pembaca memberi sedekah Al-Fatihah kepada mangsa kemalangan tersebut iaitu Almarhumah Norhana binti Nuruddin. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman lagi solehah. Salam takziah buat suaminya Sdr. Mohd Ridzwan Misran di atas ujian yang tidak terhingga diberikan oleh Allah ini. Segala-galanya tidak lain hanyalah sebagai 'indikator' kepada keimanan seorang hamba terhadap Penciptanya.

Keadaan kemalangan di Lebuhraya KL-Seremban

Sebenarnya kedua-dua hamba Allah yang terlibat di dalam kisah di atas bukanlah seseorang yang dikenali penulis atau sebaliknya. Hanya semalam penulis berkenalan daripada internet tentang latar belakang dan menyingkap siapa sebenarnya mangsa yang terlibat di dalam kemalangan. Mengikut cerita di blog dan facebook, mereka tinggal di Pangsapuri Kajang Impian dan kedua-duanya bekerja di Kuala Lumpur. Suami di Kraftangan dan arwah isteri Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Anak saudara penulis pernah berkhidmat di IMR sehingga 2011.

Mengapa kisah ini dikongsi..?

Untuk pengetahuan semua, penulis sebenarnya melalui tempat berkenaan ketika mana kemalangan baru sahaja berlaku kira-kira jam 7.30 pagi. Penulis juga seperti mangsa, seorang yang terpaksa berulang menaiki motosikal ke tempat kerja di Kuala Lumpur setiap hari demi mencari rezeki yang telah ditulis oleh Allah. Melalui lebuhraya KL-Seremban adalah pilihan penulis seharian untuk ke tempat kerja. Ketika kejadian, memang penulis berhasrat untuk membantu apa yang termampu. Ini disebabkan kebiasaannya kami sebagai penunggang motosikal simpati dengan rakan seperjuangan di lebuhraya dan bantuan akan diberikan sebagai tanda kami juga berisiko seperti mangsa. Namun keadaan mangsa (Norhana) ketika itu benar-benar membuatkan penulis bergetar satu badan. Kecederaan yang dialami mangsa tidak pernah dilihat penulis secara live dan itu menyebabkan penulis membatalkan hasrat untuk berhenti.

Sepanjang perjalanan sehingga ke pejabat, penulis menghadapi perasaan yang bercampur-baur. Pertamanya sudah tentu bayangan kecederaan yang membawa maut kepada mangsa. Kedua, penulis teringatkan keadaan suami mangsa yang kelu menghadapi situasi berkenaan di depan matanya sendiri. Penulis rasa seolah penulis perlu berhenti memberi kekuatan kepada suami mangsa untuk bersabar, namun penulis tidak mampu menanggung perasaan gerun di dada. Penulis sangat kesal tidak menyumbang sesuatu kepada suami mangsa sebagai insan yang berisiko sama seperti penulis dan penunggang-penunggang motosikal lain.

Selain itu, penulis juga terbayang jika situasi itu berlaku kepada penulis yang saban hari melalui celah-celah kesesakan di kotaraya Kuala Lumpur. Suatu masa dahulu juga penulis pernah perulang dari Putrajaya ke Kuala Lumpur bersama isteri tercinta. Takdir Allah, isteri penulis kini telah berkhidmat di Putrajaya.

Situasi ini paling menyayat hati penulis. Semoga Sdr Ridzwan tabah.

Melalui pembacaan penulis di facebook, Sdr Ridzwan merupakan salah seorang imam di surau/masjid tempat tinggal beliau. Arwah isterinya juga seorang yang mempunyai latar belakang agama yang baik dan Y.Bhg. Ustazah Siti Nor Bahyah juga di dalam facebook miliknya mengenali Almarhumah. Inilah dikatakan ujian bagi orang-orang dekat dengan Penciptanya dan sering berada di jalan-jalan Allah. Semoga ujian ini bukan penyebab berpalingnya kita daripada terus melaksanakan kerja-kerja dakwah, mengimarahkan rumah Allah dan sentiasa teguh beriman kepada-Nya.

Berhati-hati di jalan raya.

Dari Allah kita datang, kepada-Nya juga kita akan dikembalikan. Di sini penulis ingin menyeru kepada seluruh warga Presint 18, Putrajaya dan khas untuk anak qariah Fasa 18 R12 yang menjadi pengguna lebuhraya untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya. Bagi yang senasib dengan penulis sebagai penuggang motosikal jarak jauh, atur masa perjalanan anda dengan baik dan tidak terkejar-kejar ke tempat kerja. Kesihatan dan kecergasan badan hendaklah dijaga bagi memastikan anda di dalam keadaan selesa ketika menunggang motosikal. Berdoalah kepada Allah setiap kali ingin memulakan perjalanan serta tidak lupa sentiasa berzikir sepanjang perjalanan semoga Allah melindungi kita dari bahaya yang tidak diduga.

Al-Fatihah buat mangsa yang telah pergi menemui Penciptanya.

Almarhumah Norhana (kanan) disamping suami (dua dari kanan)

Jiwa Kacau..? Jom Cari Penyelesaiannya

Anda menghadapi masalah jiwa yang kacau..? Atau anda selalu berhadapan ketidakpastian dalam membuat sesuatu keputusan..? Masih mencari-cari kehidupan sebenar? Atau mungkin juga jiwa anda bergelojak tanpa diketahui punca dan sebabnya..? Mari kita periksa sama ada kita benar-benar sedang menghadapi kekecauan jiwa atau jiwa kita sebenarnya kosong..

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) dan Nisa' Putrajaya sekali lagi menganjurkan program ilmiah khas untuk para wanita dalam mengupas isu-isu yang sering dihadapi oleh muslimah masa kini. Surau Wahbah Al-Zuhaily mengalu-alukan para wanita yang menyatakan syahadah kepada Allah dan Rasul-Nya untuk sama-sama hadir ke program tersebut. Jiwa-jiwa yang kacau pasti akan ditenangi dengan ayat-ayat Allah.


Terlalu jauh untuk anda ke Masjid Tuanku Mizan..? Tiada kenderaan? Terkejar-kejar dengan urusan harian rumahtangga..? Jangan risau kerana pastinya alasan-alasan itu membuatkan jiwa anda kacau. Mudah sahaja jawapannya. Surau Wahbah Al-Zuhaily juga mengadakan program ilmiah khas buat jiwa-jiwa wanita muslimah, pada tarikh dan masa yang sama. Hadirkan diri anda jika ingin memastikan jiwa anda sentiasa segar dan jauh dari segala kekacauan pancaroba dunia. Jom ke kuliah..!!!

Kuliah Muslimat di Surau Wahbah Al-Zuhaily


Road Show Rukun Tetangga

* Sebelum dibaca selanjutnya, penulis ingin memaklumkan bahawa rukun tetangga bukanlah jenis-jenis rukun yang terdapat di dalam mana-mana perlembagaan persekutuan atau pun termaktub di dalam Al-Quran. Maknanya ia tidak sesekali boleh dibandingkan dengan Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara. Rukun Nikah pun tiada kena mengena dalam hal ini. (Sekadar berseloroh sahaja) Ianya adalah sebuah badan yang bertindak untuk memastikan tetangga (kawasan kejiranan) menjadi rukun dan damai.


Sudah lama sebenarnya para penduduk di Presint 18 Fasa R12 menanti-nanti kehadiran Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk membuat suatu event yang melibatkan para penduduk di Fasa 18 R12. Alhamdulillah bermula pada 16 April yang lalu pihak KRT telah pun bergerak dari blok ke blok secara berperingkat untuk beramah mesra bersama penduduk dan mendapatkan apa-apa maklum balas daripada penduduk. Selain itu, pihak KRT juga mengambil peluang ini untuk melantik ketua-ketua blok yang disokong oleh para penduduk yang hadir secara sistem demokrasi.

Penulis sempat meluangkan masa selepas solat isyak berjemaah di surau pada malam rabu yang lepas dan menyertai perjumpaan mahabbah yang dianjurkan oleh KRT ini. Nampaknya feed back yang diberikan oleh penduduk jauh lebih baik berbanding program yang dianjurkan surau. Tahniah kepada KRT di atas usaha murni mereka ini. Maklumlah, suasana hidup di Putrajaya ini memang memerlukan daya kerja yang lebih untuk menarik penduduk dalam sesuatu komuniti. Lebih-lebih lagi bagi kawasan yang masih muda sekitar usia 3-4 tahun seperti Fasa 18 R12 ini. Kalau terlalu mengharapkan orang datang ke lokasi KRT sebelum ini memang sedikit sukar memandangkan kesibukan hal-hal lain di dalam diari harian penduduk. Ini juga yang dialami oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily walaupun mengimarahkan rumah Allah itu adalah lebih dituntut dan fardhu kifayah bagi lelaki Muslim.

Pengerusi KRT sedang memberi taklimat

Antara penduduk di blok C yang hadir

Sepanjang perjumpaan tersebut, beberapa perkara yang telah disampaikan ialah taklimat berkenaan fungsi KRT dan Skim Rondaan Sukalera (SRS). Pihak KRT juga menyeru supaya para penduduk melibatkan diri dengan program yang diadakan serta menyertai sukarelawan SRS demi keselamatan kawasan penduduk Fasa 18 R12. Disamping itu, KRT juga melantik ketua-ketua blok melalui sesi road show ini. Ketua blok berperanan sebagai ajen khas KRT di dalam sebarang permasalahan yang berlaku di kalangan penduduk.

Skim Rondaan Sukarela (SRS)

En. Amrul (2 dari kanan) dilantik sebagai ketua blok C

Pihak AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily sekali lagi merakamkan ucapan tahniah di atas kesungguhan pihak KRT untuk melaksanakan program mahabbah ini sepanjang 8 hari. Kehadiran penduduk yang puratanya mencecah 30-40 orang di setiap blok amatlah menunjukkan pencapaian yang baik. Bayangkanlah jika setiap hari jumlah ini dapat dihimpunkan di dalam solat-solat berjemaah dan kuliah agama. Pastinya lebih berkat kawasan penduduk kita serta boleh dikira berjaya dunia dan di akhirat.

Akhirnya, besarlah harapan kami sekiranya kejayaan program ini dapat diperluaskan lagi dengan memantapkan institusi keagamaan dan kerohanian seperti penganjuran bersama program-program ilmiah selain dapat memupuk minat dalam pengimarahan rumah Allah. Ketua-ketua blok yang dilantik juga diharap dapat sama-sama hadir ke surau bagi lebih mendekatkan diri dengan penduduk sekitar. Kejayaan di dunia pastinya lebih meriah jika dibajai oleh kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya serta mengembalikan hak keistimewaan yang diperolehi kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.

Monday, 16 April 2012

Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut Mengancam Anak-Anak Kita

Sehari dua ni ada terdengar kes Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (PKTM) yang menular di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Penyakit yang dikaitkan dengan bayi dan kanak-kanak ini merupakan satu virus berjangkit yang meresahkan hati ibu bapa jika anak mereka salah seorang yang menghidapinya. Kebiasaannya kanak-kanak tersebut akan diminta menjalani proses kuarantin selama 7 - 10 hari mengikut keadaan kes sama ada normal, separa kritikal dan kritikal.

Namun begitu, tahukah anda bahawa selain di Sabah dan Sarawak dimanakah kawasan yang ketika ini sedang bertebaran jangkitan PKTM ini? Jawapannya ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pelik kan.. Tidak pernah lagi berita berkenaan wabak PKTM ini disebarkan melalui berita televisyen mahu pun akhbar bahawa ianya sedang menular di Putrajaya. Hal ini mungkin terpaksa dilindungi bagi menjaga status Putrajaya sebagai kawasan penempatan elit dan menempatkan pusat pentadbiran Negara. Perkhabaran PKTM hanya diketahui oleh ibu bapa anak yang dijangkiti, klinik kesihatan awam/swasta, pengusaha-pengusaha taska, pengasuh dan juga ibu bapa yang terpaksa bercuti kerana taska anak mereka ditutup atas sebab kes PKTM ini.

(Penderitaan bagi seorang bayi & kanak-kanak)

Saturday, 14 April 2012

Tiada Tuntutan Untuk Solat Berjemaah..

Hasil daripada semakan dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri seluruh Malaysia mendapati solat berjemaah di masjid dan surau tidak menjadi tuntutan sama sekali. Hal ini telah pun disepakati oleh ulama'-ulama' seluruh dunia bagi memastikan permaslahan umat dapat diselesaikan dengan baik. Maka dengan itu tidak perlu bagi seseorang nazir di masjid dan surau resah dengan memikirkan kaedah bagaimana untuk menarik penduduknya hadir sama-sama mendirikan solat secara berjemaah di masjid atau surau mereka.

Dituntut atau tidak..?

Oleh yang demikian, fahamilah anda bahawa garis panduan jelas telah ditunjukkan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau mengenai mengapa tiada tuntutan tersebut. Penjelasan dibawah boleh merungkai permalasahan tersebut.

Thursday, 5 April 2012

GEMPAR: Misteri Jemaah Ghaib..?!!

Menggemparkan apabila seorang pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan mengenai isu misteri jemaah-jemaah ghaib di dalam satu post melalui laman facebook miliknya. Post berkenaan disiarkan secara umum kira-kira hampir sebulan yang lalu dan pelbagai pihak memberikan komen serta pandangan peribadi masing-masing. Lebih mengejutkan lagi, entry tersebut dengan jelas menyebut dimana lokasi kejadian tersebut berlaku. Ianya menyebabkan para jemaah yang sama-sama bersolat di masjid/surau berkenaan tertanya-tanya dan secara tidak langsung pihak berwajib mula membuat siasatan akan kebenaran dakwaan pegawai JAKIM tersebut.

Ini adalah sedikit cetakan skrin (print screen) yang diambil daripada wall laman facebook milik Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM tersebut.

Monday, 2 April 2012

Jom Kuliah Sepanjang April 2012

Sepanjang bulan April 2012 ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily telah menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk dijadikan santapan rohani semua ahli qariah dan jemaah. Jiwa yang sentiasa kelaparan dan dahaga pasti akan menikmati setiap satu hidangan dengan penuh keterujaan. Jiwa-jiwa ini sudah tentunya dipenuhi dengan penuh rahmat daripada Allah S.W.T yang tidak terhingga.

Marilah kita membawa bersama jiwa-jiwa tenang ini menghadiri majlis ilmu sebagai satu pengisian tetap di dalam diari harian kita. Susun aturlah jadual kita sebaik mungkin agar kita tidak menjadi orang-orang yang ketinggalan dalam menuntut sesuatu ilmu. Jadual kuliah di bawah diharap dapat membantu anda menikmati hari-hari terbaik sepanjang April 2012.

Jom hadiri kuliah dan majlis ilmu..!!!

(Sila klik dan save untuk simpanan peribadi anda)

P/S: Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kitab-kitab pengajian bagi setiap kuliah yang diadakan, sila berhubung dengan mana-mana AJK surau untuk tujuan pembelian. Anda juga boleh menyumbang dengan pembelian melalui pihak surau. Jangan ketinggalan untuk memiliki sumber-sumber ilmu yang bermanfaat ini.