Sila Klik Nuffnang

Friday, 20 April 2012

Al-Fatihah.. Ujian Buat Hamba-Nya Yang Beriman

Dipetik daripada Utusan Online

KUALA LUMPUR 18 April - Hanya Allah SWT sahaja mengetahui kesedihan yang terpaksa dilalui seorang lelaki apabila melihat sendiri isterinya digilis sebuah lori dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dekat jejambat Desa Petaling di sini pagi ini.
Lebih menyayat hati, kemalangan pada pukul 7.54 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit menunggang motosikal itu bersama isterinya ke tempat kerja di ibu negara.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, ketika kemalangan, motosikal itu ditunggang oleh Mohd. Ridzwan Misran, 30, manakala isterinya, Norhana Nuruddin, 30, membonceng.
"Semasa melalui tempat kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang Mohd. Ridzwan telah terlanggar belakang sebuah skuter sehingga menyebabkan dia dan isterinya terjatuh di atas lebuh raya.
"Ketika itu, sebuah kenderaan yang dipercayai lori tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa. Norhana maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pasangan tersebut tinggal di Pangsapuri Kajang Impian, Kajang.
Katanya, polis juga sedang mengesan lori yang dipercayai menggilis Norhana untuk siasatan lanjut.
-----------------------------------------------------------------------

Penulis memohon semua pembaca memberi sedekah Al-Fatihah kepada mangsa kemalangan tersebut iaitu Almarhumah Norhana binti Nuruddin. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman lagi solehah. Salam takziah buat suaminya Sdr. Mohd Ridzwan Misran di atas ujian yang tidak terhingga diberikan oleh Allah ini. Segala-galanya tidak lain hanyalah sebagai 'indikator' kepada keimanan seorang hamba terhadap Penciptanya.

Keadaan kemalangan di Lebuhraya KL-Seremban

Sebenarnya kedua-dua hamba Allah yang terlibat di dalam kisah di atas bukanlah seseorang yang dikenali penulis atau sebaliknya. Hanya semalam penulis berkenalan daripada internet tentang latar belakang dan menyingkap siapa sebenarnya mangsa yang terlibat di dalam kemalangan. Mengikut cerita di blog dan facebook, mereka tinggal di Pangsapuri Kajang Impian dan kedua-duanya bekerja di Kuala Lumpur. Suami di Kraftangan dan arwah isteri Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Anak saudara penulis pernah berkhidmat di IMR sehingga 2011.

Mengapa kisah ini dikongsi..?

Untuk pengetahuan semua, penulis sebenarnya melalui tempat berkenaan ketika mana kemalangan baru sahaja berlaku kira-kira jam 7.30 pagi. Penulis juga seperti mangsa, seorang yang terpaksa berulang menaiki motosikal ke tempat kerja di Kuala Lumpur setiap hari demi mencari rezeki yang telah ditulis oleh Allah. Melalui lebuhraya KL-Seremban adalah pilihan penulis seharian untuk ke tempat kerja. Ketika kejadian, memang penulis berhasrat untuk membantu apa yang termampu. Ini disebabkan kebiasaannya kami sebagai penunggang motosikal simpati dengan rakan seperjuangan di lebuhraya dan bantuan akan diberikan sebagai tanda kami juga berisiko seperti mangsa. Namun keadaan mangsa (Norhana) ketika itu benar-benar membuatkan penulis bergetar satu badan. Kecederaan yang dialami mangsa tidak pernah dilihat penulis secara live dan itu menyebabkan penulis membatalkan hasrat untuk berhenti.

Sepanjang perjalanan sehingga ke pejabat, penulis menghadapi perasaan yang bercampur-baur. Pertamanya sudah tentu bayangan kecederaan yang membawa maut kepada mangsa. Kedua, penulis teringatkan keadaan suami mangsa yang kelu menghadapi situasi berkenaan di depan matanya sendiri. Penulis rasa seolah penulis perlu berhenti memberi kekuatan kepada suami mangsa untuk bersabar, namun penulis tidak mampu menanggung perasaan gerun di dada. Penulis sangat kesal tidak menyumbang sesuatu kepada suami mangsa sebagai insan yang berisiko sama seperti penulis dan penunggang-penunggang motosikal lain.

Selain itu, penulis juga terbayang jika situasi itu berlaku kepada penulis yang saban hari melalui celah-celah kesesakan di kotaraya Kuala Lumpur. Suatu masa dahulu juga penulis pernah perulang dari Putrajaya ke Kuala Lumpur bersama isteri tercinta. Takdir Allah, isteri penulis kini telah berkhidmat di Putrajaya.

Situasi ini paling menyayat hati penulis. Semoga Sdr Ridzwan tabah.

Melalui pembacaan penulis di facebook, Sdr Ridzwan merupakan salah seorang imam di surau/masjid tempat tinggal beliau. Arwah isterinya juga seorang yang mempunyai latar belakang agama yang baik dan Y.Bhg. Ustazah Siti Nor Bahyah juga di dalam facebook miliknya mengenali Almarhumah. Inilah dikatakan ujian bagi orang-orang dekat dengan Penciptanya dan sering berada di jalan-jalan Allah. Semoga ujian ini bukan penyebab berpalingnya kita daripada terus melaksanakan kerja-kerja dakwah, mengimarahkan rumah Allah dan sentiasa teguh beriman kepada-Nya.

Berhati-hati di jalan raya.

Dari Allah kita datang, kepada-Nya juga kita akan dikembalikan. Di sini penulis ingin menyeru kepada seluruh warga Presint 18, Putrajaya dan khas untuk anak qariah Fasa 18 R12 yang menjadi pengguna lebuhraya untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya. Bagi yang senasib dengan penulis sebagai penuggang motosikal jarak jauh, atur masa perjalanan anda dengan baik dan tidak terkejar-kejar ke tempat kerja. Kesihatan dan kecergasan badan hendaklah dijaga bagi memastikan anda di dalam keadaan selesa ketika menunggang motosikal. Berdoalah kepada Allah setiap kali ingin memulakan perjalanan serta tidak lupa sentiasa berzikir sepanjang perjalanan semoga Allah melindungi kita dari bahaya yang tidak diduga.

Al-Fatihah buat mangsa yang telah pergi menemui Penciptanya.

Almarhumah Norhana (kanan) disamping suami (dua dari kanan)

No comments:

Post a Comment