Sila Klik Nuffnang

Monday, 16 April 2012

Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut Mengancam Anak-Anak Kita

Sehari dua ni ada terdengar kes Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (PKTM) yang menular di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Penyakit yang dikaitkan dengan bayi dan kanak-kanak ini merupakan satu virus berjangkit yang meresahkan hati ibu bapa jika anak mereka salah seorang yang menghidapinya. Kebiasaannya kanak-kanak tersebut akan diminta menjalani proses kuarantin selama 7 - 10 hari mengikut keadaan kes sama ada normal, separa kritikal dan kritikal.

Namun begitu, tahukah anda bahawa selain di Sabah dan Sarawak dimanakah kawasan yang ketika ini sedang bertebaran jangkitan PKTM ini? Jawapannya ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pelik kan.. Tidak pernah lagi berita berkenaan wabak PKTM ini disebarkan melalui berita televisyen mahu pun akhbar bahawa ianya sedang menular di Putrajaya. Hal ini mungkin terpaksa dilindungi bagi menjaga status Putrajaya sebagai kawasan penempatan elit dan menempatkan pusat pentadbiran Negara. Perkhabaran PKTM hanya diketahui oleh ibu bapa anak yang dijangkiti, klinik kesihatan awam/swasta, pengusaha-pengusaha taska, pengasuh dan juga ibu bapa yang terpaksa bercuti kerana taska anak mereka ditutup atas sebab kes PKTM ini.

(Penderitaan bagi seorang bayi & kanak-kanak)

Sebagai sebuah organisasi kemasyarakatan, Surau Wahbah Al-Zuhaily juga meminta supaya para penduduk Putrajaya khasnya di Presint 18 untuk berjaga-jaga dalam menghadapi penyebaran penyakit berjangkit ini. Keadaan ini amat menyukarkan ibu bapa serta anak-anak yang menderita disebabkan serangan Virus Coxsackie ini.

(Virus Coxsackie)

Tahukah anda bahawa terdapat sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Presint 18 Fasa R13 yang 'berjenama tinggi' telah dikuarantin beberapa minggu yang lalu disebabkan PKTM? Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke taska tersebut, ada yang mengetahui dan ada juga tidak. Dikhabarkan oleh beberapa ibu bapa bahawa mereka tidak dimaklumkan dengan jelas mengapa taska perlu ditutup bagi tempoh kira-kira seminggu. Hal ini amat mendukacitakan jika pengusaha tidak memaklumkan kepada ibu bapa kerana penjagaan rapi kanak-kanak yang menghuni taska tersebut perlu dilakukan supaya tiada jangkitan seterusnya.

Beberapa taska yang dibuka di sekitar Putrajaya juga telah ditutup gara-gara PKTM ini. Antaranya termasuklah taska yang beroperasi di bawah seliaan kementerian dan jabatan kerajaan. Tidak ketinggalan juga rumah-rumah pengasuh yang kebarangkaliannya dijangkiti daripada ahli keluarga lain yang dihantar ke taska. Statistik ini tidak dihebahkan kepada umum. Namun secaya maya, ianya menunjukkan suatu tahap yang memerlukan para penduduk berjaga-jaga.

Bagi seseorang kanak-kanak penghuni taska yang telah mempunyai kes dan dikuarantinkan, ibu bapa perlu mengambil tindakan seperti berikut:
  1. Memastikan kebersihan diri anak-anak terjaga. Mandi dengan sempurna dan elakkan bermain sesuatu yang kotor.
  2. Menjaga kebersihan di kawasan rumah supaya anak anda tidak terdedah dengan pencemaran.
  3. Kurangkan pergaulan dengan kanak-kanak sebaya yang lain (sehingga umur 6-9 tahun). Tiada jangkitan kepada orang dewasa.
  4. Dikuarantinkan juga sepanjang tempoh kuarantin taska. Jangan dihantar ke taska lain atau rumah pengasuh yang mempunyai bayi dan kanak-kanak.
Jika anak anda mempunyai sinptom-sinptom seperti serangan PKTM, langkah-langkah berikut perlu dipraktikkan:
  1. Membawa anak ke klinik kesihatan berhampiran untuk disahkan dan rawatan lanjut. Jabatan Kesihatan kebiasaannya akan menghubungi anda untuk keterangan maklumat serta berkemungkinan rumah anda akan disembur anti-viral.
  2. Merendam pakaian anak anda dengan cecair antiseptik seperti dettol dan sebagainya sebelum dibasuh. Elakkan mencampur pakaian anak yang dijangkiti dengan anak-anak yang lain.
  3. Pastikan lantai rumah juga dicuci dengan anti-septik termasuk kawasan-kawasan permainan anak anda.
  4. Pastikan juga rembesan-rembesan air liur dan segala peralatan makanan tidak terkena kepada anak-anak lain serta segera mencuci sebelum digunakan semula.
  5. Paling penting, berdoa kepada Allah SWT agar penyakit tersebut tidak merebak yang memberi kemudharatan kepada anak-anak anda dan sesiapa sahaja. Tiada penyakit yang Allah tidak bekalkan dengan penawarnya. Kembali kepada Allah dan kita akan temui rawatan terbaik setiap penyakit.
(Dapatkan pemeriksaan jika anak anda mempunyai sinptom PKTM)

Bersamalah kita menangani penularan wabak PKTM ini daripada merebak. Tingkatkan tahap kesedaran kita dari semasa ke semasa terutamanya dari segi kebersihan. Dengan kebersihan yang sempurna, maka kualiti hidup juga akan terpelihara. Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.

No comments:

Post a Comment