Sempena program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H pada 7 Februari ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun melaksanakan hebahan dan publisiti yang cukup meluas di dalam dan sekitar kawasan Putrajaya. Maklumlah ini adalah julung-julung kalinya kemunculan seorang pendakwah terkenal di Malaysia hadir memberikan ceramah di Surau ini.
Disebabkan itu, ramai di kalangan penduduk Putrajaya menyatakan minat untuk hadir ke ceramah yang akan disampaikan oleh Al-Fadhil Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus ini. Namun begitu, populariti Surau Wahbah Al-Zuhaily pastinya tidak se'level' dengan surau-surau lain seperti Al-Mizan, Putra Al-Amin ataupun Ar-Rahman. Jadi... ramai yang bertanya-tanya di mana sebenarnya lokasi Surau ini.
Baiklah. Bagi anda yang berhajat untuk hadir pada 7 Februari nanti, penulis akan terangkan serba sedikit di mana lokasi kami. Secara alamat surat-menyuratnya, lokasi kami ialah seperti di bawah:
Surau Wahbah Al-Zuhaily
Perumahan Penjawat Awam,
Fasa 18 R12, Presint 18,
Jalan P18B, 62150 Putrajaya
Sebagai landmark pula, Surau Wahbah Al-Zuhaily atau Presint 18 Fasa R12 ini berada berhampiran dengan Wisma Putra atau Kementerian Luar Negara. Selain itu, antara tempat yang boleh menjadi 'tanda' ialah Sekolah Menengah/Kebangsaan Presint 18 (1). Jalan masuk ke Surau betul-betul bertentangan dengan pintu masuk utama sekolah tersebut.
Terdapat juga sebuah stesen minyak Petronas di Presint 18. Lokasi Petronas tersebut sebenarnya adalah sebaris dengan Fasa R13. Manakala Fasa R12 yang menempatkan Surau Wahbah Al-Zuhaily pula ialah bertentangan dengan Fasa R13. Lebih senang cerita dipisahkan dengan sebatang jalan di antara kedua-dua fasa ini.
Masih belum jelas di mana lokasi kami? Encik GOOGLE pasti boleh membantu. Dengan menggunakan laman Google Maps, anda boleh menemui lokasi kami. Untuk pengetahuan anda semua, Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun di'tag' pada google map kira-kira setahun yang lalu. Jadi dengan kelebihan menggunakan gadget-gadget canggih masa kini, anda pasti boleh menemui kami. Sila pergi ke post terdahulu 'Telah Tag Pada Google Maps' untuk melihat lokasi kami.
Semoga sedikit panduan ini akan membolehkan anda semua hadir ke Ceramah Perdana Maulidur Rasul ini. Moga-moga dipermudahkan oleh Allah untuk berada di dalam taman-taman syurga nan indah ini. Ahlan Wasahlan.
No comments:
Post a Comment