Sila Klik Nuffnang

Monday, 25 February 2013

Semudah Inikah Mempertahankan Kalimah Allah?

Seawal pagi hari ini, penulis memulakan langkahan dengan membelek surat khabar arus perdana yang percuma untuk dibaca oleh penulis. Beberapa muka surat dibuka penuh bosan kerana rata-rata ianya hanya berkenaan hentaman sebelah pihak kepada satu pihak yang lain. Lebih mengejutkan, ruangan sukan juga sudah mula dimanipulasi.

Di dalam banyak-banyak artikel yang dibelek, ada satu tajuk yang penulis rasa perlu penulis sentuh dan menyelitkan hujahan untuk tatapan semua. Walaubagaimanapun, apa yang ingin penulis nyatakan nanti tidaklah berbentuk fatwa atau amanat, cuma sekadar check & balance daripada berita-berita yang kita baca muktahir ini.
Isu kalimah Allah masih belum terhenti polemiknya.

Isu kalimah Allah adalah topik yang ingin penulis sentuh. Isu yang sejak dari bulan Disember itu tidak henti-henti diperkatakan. Pelbagai kaedah dan program dilaksanakan oleh sesetengah kumpulan untuk menyatakan pendirian masing-masing. Penulis tidak berminat berhujah berkenaan pendirian penulis, kerana itu lebih baik disifatkan sebagai ketentuan antara penulis dengan Tuhan sekalian alam. Namun begitu, penulis berminat untuk komen tatacara beberapa pihak yang seolah-olah dilihatkan sebagai "pejuang" yang mempertahankan kalimah Allah tersebut.

Umum mengetahui tentang beberapa pihak yang lantang bersuara membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Mereka seolah menonjolkan diri sebagai seorang Muslim sejati dengan mengangkat martabat kalimah Allah itu dari dikotori oleh Non-Muslim. Namun sedarkah mereka bahawa, mereka sendiri yang menyatakan bahawa diri mereka adalah pejuang Islam (dalam isu kalimah Allah) telah mengotori kesucian kalimah itu? Cuba lihat apa yang berlaku baru-baru ini.

Kembara Jelajah Pertahankan Kalimah Allah di Alor Setar.

Gambar di atas adalah satu satu contoh program yang dianjurkan oleh "Juara Kalimah Allah" baru-baru ini. Hebat bukan. Orang kita memang terkenal dengan perarakan dan kembara walau atas apa sebab sekali pun. Kisah berarak ini bukan lagi tertumpu kepada kerja-kerja kahwin atau pun sambutan hari-hari tertentu, tetapi sudah sampai kepada program mempertahankan kalimah Allah. "Syabas" diucapkan.

Namun disebalik semua ini, seharusnya kita lebih terkilan dengan apa yang boleh dilihat sepanjang "kembara" ini. Nama program cukup hebat. Kalau budak-budak darjah satu melihatnya, pasti dia akan berkata kepada bapanya; "Abah, diorang ni mesti masuk syurga kan..?". Si bapa pula pasti akan menggaru-garu kepala untuk mencari jawapan yang sesuai.


Lihatlah gambar di atas, "kehebatan" anak muda ini ditonjolkan dengan menyertai kembara dengan memakai t-shirt yang melaungkan slogan mempertahankan kalimah Allah. Tapi sayangnya, ada rantai pula di lehernya. Barangkali itu adalah tag peserta kembara agaknya.


Pemuda pemudi dengan pakaian merah ini kelihatan berbangga dengan penyertaan mereka di dalam kembara ini. Mereka menunggang motosikal bersama-sama dengan akhlak yang bertentangan slogan mempertahankan kalimah Allah itu. Apakah ini yang kita mahukan apabila kita lantang untuk menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?


Inilah antara gelagat yang dibangga-banggakan oleh para "mujahidin" yang bermati-matian mempertahankan kalimah Allah. Apakah semudah ini kerja-kerja mempertahankan kalimah Allah. Sedangkan apa yang digambarkan oleh masyarakat Islam hari ini jauh daripada apa yang disyariatkan oleh Islam kepada hamba yang melafazkan kalimah Allah sebagai Tuhannya.

Penulis sangat sedih dengan apa yang terjadi. Islam sebenarnya bukan semudah berarak memperjuangkan kalimah Allah semata-mata. Islam itu adalah cara hidup yang lengkap daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada merumit-rumit perbahasan. Adakah tiada perasaan malu kepada Allah di atas apa yang ditonjolkan seperti ini? Apakah kita hanya tertuhankan huruf A.L.L.A.H sahaja? Allah bukan sekadar huruf. Allah adalah Tuhan yang wajib disembah oleh sekalian makhluk di muka bumi ini.

Cerminlah diri wahai sekalian umat manusia yang beragama Islam. Kita terlalu sibuk terhadap perkara yang kurang mustahaknya. Akhlak anak-anak bangsa kita semakin hari semakin dihakis kerosakan pengaruh budaya-budaya jahiliah. Mereka masih tersenyum megah biarpun mata kita sakit melihat betapa rendahnya martabat agama yang mereka cuba pertontonkan.


Cukuplah merumitkan suasana dengan omongan kosong sebegini. Tubuhlah berapa banyak "team" sekali pun untuk mempertahankan kalimah Allah. Tetapi jika ianya jauh daripada apa yang di perintah oleh Allah sebagai pemilik kalimah itu, maka kita tetap jauh dari keberkatannya.

Sujudlah kepada Allah dengan sebenar-benar penyerahan sebagai hamba-Nya. Agar di hati kita akan lahir rasa gerun dengan azab seksa Allah yang tidak terperi sakitnya. Allah tetap Tuhan sekalian alam. Kembalilah kepadanya dengan penuh ketakwaan. Semoga kalimah Allah bukan sekadar retorik bermusim, tetapi dipertahankan dengan jiwa sebenar seorang Muslim.

2 comments:

  1. Adakah program ini masuk dalam TV3 ?...Begitu mudah sekali untuk pertahankan Kalimah Allah. Kenapa manusia di Malaysia ini (PERKASA (M) ) , begitu dungu sebegitu sekali?..Apakah habuan yang mereka dapat dari program itu?

    SEDIH..

    ReplyDelete
  2. Ya Allah SEDIHnyaa....

    ReplyDelete