Sila Klik Nuffnang

Thursday, 18 October 2012

Penduduk Mahu Surau

Pagi ni terbaca satu berita di dalam Edisi Sentral, Berita Harian yang menarik minat penulis untuk membaca dan menghayati permasalahan yang berlaku tidak jauh dari Putrajaya. Sebagai seorang yang bertanggungjawab di dalam pengurusan Surau, tajuk berita tersebut pastinya menimbulkan banyak persoalan di minda penulis.

Petikan akhbar Berita Harian 18 Oktober 2012

Rasanya permasalahan ini pasti wujud di banyak tempat khususnya kawasan taman perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pemaju berjaya dan mengaut keuntungan hasil daripada pembinaan kawasan perumahan tersebut. Namun sayangnya, membina sebuah Surau bagi kegunaan kira-kira 4,000 orang penduduk Islam di situ tidak juga terhasil.

Ini berlaku di Lestari Perdana, Seksyen 7,  Bandar Putra Permai, Selangor seperti mana yang dilaporkan akhbar tersebut. Penduduk terpaksa mengumpul dana sendiri di samping memohon kebenaran tapak untuk menyediakan sebuah Surau. Tapak diluluskan sejak 2008 itu masih lagi sepi disebabkan kurangnya dana yang mana dinyatakan mencecah RM 450,000. Sedihnya, sepanjang tempoh 4 tahun tersebut, pihak jawatankuasa pembinaan Surau yang dinamakan Al-Maudoodi itu hanya berjaya mengumpul sekitar RM 18,000.

Disebabkan laporan inilah minda penulis ligat berputar memikirkan 2 situasi berbeza. Mari sama-sama kita lihat isi disebalik putaran minda penulis di bawah. Logik atau tidak, anda sebagai pembaca boleh menilainya sendiri.

Tuesday, 16 October 2012

Lapangkan masa anda 28 Oktober nanti..

Malam tadi (15 Oktober) sekali lagi pihak Surau dan KRT telah bersama di dalam satu perbincangan ringkas AJK induk untuk program korban sempena AidilAdha 1433H. Di atas kesepakatan dan komitmen daripada semua yang hadir pada perbincangan tersebut, beberapa perkara telah pun berjaya dimuktamadkan. Alhamdulillah...
 
Sekitar perbincangan program korban.
 
Perkara yang penting ketika ini ialah pihak penganjur memerlukan penglibatan daripada para penduduk dan penghuni bagi memastikan segala perjalanan program dapat dilaksanakan dengan jayanya. Penganjur telah memutuskan bahawa sekurang-kurangnya 30 orang petugas dan sukarelawan diperlukan ketika program dijalankan.
 
Ini adalah bagi memastikan setiap tugas-tugas yang telah dipecahkan dapat dilaksanakan dengan jumlah petugas yang mencukupi. Antara tugas-tugas yang telah dibincangkan ialah:
 
1) Penyembelihan/Melapah
2) Pengasingan/Pengagihan
3) Penyediaan Jamuan Makan
4) Logistik
 
Setiap tugas-tugas tersebut memerlukan tenaga kerja yang kuat bagi memastikan ianya dapat diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan. Kerja sepasukan juga memainkan peranan penting. Oleh itu, masyarakat setempat dan seluruh penghuni adalah dialu-alukan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kerja untuk program ibadah korban ini nanti.
 
Bagi anda semua yang berkelapangan, jangan lepaskan peluang untuk turut serta sebagai penghuni yang prihatin terhadap program di peringkat komuniti ini. Tuan/puan sekalian boleh berhubung dengan mana-mana AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menyatakan hasrat untuk bersama kami. Semangat bermasyarakat di dalam sebuah komuniti ini pastinya akan mewujudkan kemeriahan.
 
Korban bukan hanya dengan penyembelihan. Korban masa dan tenaga anda juga insyaAllah akan dikira sebagai satu ibadah. Ayuh..lapangkan masa anda 28 Oktober nanti.

Monday, 15 October 2012

Lembu Dapat.. Kambing Pun Dah Dapat..

Alhamdulillah.. Segala kerja yang baik pastinya Allah SWT akan permudahkannya. Semalam AJK tertinggi Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun menuju ke Dengkil untuk mendapatkan lembu dan kambing bagi program korban pada AidilAdha nanti. Cerita asal yang mengundang kesukaran akhirnya dibantu oleh Allah Yang Maha Berkuasa di atas alam ciptaannya.

Inilah dia seekor kambing yang akan dikorbankan nanti.

Beberapa minggu sebelum program korban sebenarnya pihak surau sedikit runsing kerana masih belum ada tanda-tanda lembu boleh didapati dengan harga yang dikehendaki oleh penyumbang. Harga pasaran dikhabarkan mencecah RM3,000 seekor. Itu pun destinasi lembu adalah disebelah Negeri Sembilan atau penghujung negeri Selangor. Jika begitulah harga pasaran, pihak surau pasti akan menanggung defisit yang tinggi.

Hendak dijadikan cerita, perkabaran bahawa terdapat penternak lembu di Taman Gemilang, Dengkil menyebabkan Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha dan Bendaahari surau menerjah kawasan tersebut untuk mencari individu bernama Wak Salleh. Dijadikan lagi cerita, Wak Salleh tidak dijumpai, tetapi berjumpa dengan seseorang yang juga menawarkan lembu untuk korban dan akikah. Beliau terus membawa rombongan surau ke kandang lembu milik adiknya di Jenderam Hilir.

Timb. Pengerusi bersama lembu yang telah dipilihnya untuk korban nanti.
Inilah kuasa Allah yang kita tidak mampu jangkakan. Kami rupa-rupanya bertemu dengan seorang pengusaha ternakan lembu yang sangat mudah berurusan. Beliau telah menawarkan harga yang sangat baik kepada kami beserta penghantaran percuma ke Surau Wahbah Al-Zuhaily pada hari program korban tersebut. Semua yang berada di kandang lembu tersebut tersenyum penuh kesyukuran kerana cabaran ini dibalas baik oleh Allah Taala.

Kawasan ternakan lembu terletak di Jenderam Hilir, Selangor.
Pulang dari kandang lembu, kami singgah pula di Kampung Semarang berhampiran Jenderam Hilir untuk mendapatkan kambing. Kambing ini adalah hajat seorang ahli qariah untuk dikorbankan semasa program korban itu nanti. Kami mengikut panduan jalan yang dimaklumkan kepada abang penternak lembu tadi dan menemui signboard pengusaha ternakan kambing. Jelas ini adalah satu lagi kemudahan yang Allah berikan dengan kami.

Sdr. Firdaus sedang memilih kambing yang sesuai untuk dikorbankan.

Kami bukan sahaja berjaya mendapatkan kambing dengan harga yang baik, malah kami juga mendapat perkhidmatan kambing golek untuk jamuan makan di surau pada malam program korban itu nanti. Sesiapa yang mahu menjamu kambing golek, jangan lupa hadir ke surau nanti yer..

Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk Janggut Ternak Farm.

Kini segala urusan mendapatkan lembu dan kambing telah pun selesai. Seperti mana tajuk entry ini, Lembu Dah Dapat..Kambing Pun Dah Dapat. Tinggal lagi, pihak surau nak dapatkan pula tenaga kerja sukarelawan untuk program korban itu nanti. Sesiapa yang berkelapangan pada 28 Oktober nanti, sudi-sudikanlah menghubungi AJK Surau dan KRT untuk turut sama melapah lembu dan kambing nanti. InsyaAllah pihak surau akan usahakan sedikit cenderahati kepada para petugas.

Semoga segala usaha dan amalan baik kita ini dipermudahkan lagi oleh Allah sehingga ke akhirnya. Jadikan program korban ini juga sebahagian daripada pengorbanan kita terhadap jalan Allah dan mudah-mudahan dirahmati oleh-Nya.

Thursday, 11 October 2012

Ayah..Tak Baik Cakap "Aku"

Selesai solat Isyak berjemaah malam semalam, kebiasaannya kami beberapa orang jemaah yang 'regular' tidak terus pulang ke rumah tanpa sekelumit perbualan. Tidak kisah ianya menjurus kepada topik mudah, sederhana, high level atau sekadar senda gurau. Dari satu sudut yang positif, sikap sebegini adalah nilai murni yang baik untuk perpaduan sesebuah masyarakat Islam.

Perbualan malam tadi bersama bendahari surau amat ringkas. Hanya berceritakan perihal kewangan surau dan sedikit perbelanjaan untuk kegunaan program korban nanti. Penulis seperti biasa akan ditemani oleh teman istimewa iaitu anak sulung yang hanya akan berusia 4 tahun bulan November nanti. Abang (panggilan kepada anak penulis) malam tadi ada bersama ketika perbualan berlangsung. Mendengar perbualan 'orang tua' sambil mungkin belajar sesuatu. Inilah keistimewaan seorang kanak-kanak. Mereka mudah belajar daripada perbuatan ibu bapa atau orang dewasa disekitarnya.


Tanpa sedar, rupa-rupanya malam tadi penulis telah pun mengajar satu perbualan yang sering penulis larang daripada dilakukan oleh abang. Apabila penulis ingin memulakan perjalanan pulang ke rumah, segera abang menegur,

"Ayah..tak baik la cakap aku", penulis terdiam dan terkedu sebentar.

Wednesday, 10 October 2012

Syariat Pelaksanaan Ibadah Korban

Setiap tahun apabila Syawal berlalu, umat Islam di seluruh Negara akan berkira-kira untuk melaksanakan ibadah korban seperti mana yang disyariatkan oleh Islam. Bagi sesiapa yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, di sini saya kongsikan sedikit ilmu berkenaan ibadah korban tersebut. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. InsyaAllah.

Definisi ibadah korban:


Menyembelih binatang ternakan (al-an’am) pada Hari Raya Korban (10 zulhijjah) atau pada hari-hari Tasyrik (11-13 zulhijjah) dengan tujuan beribadah kepada Allah swt. Binatang ternakan (al-an’am) bermaksud binatang yang halal dimakan, berkaki empat yang biasanya dipelihara oleh manusia sama ada; secara ladang untuk tujuan komersial ataupun secara kecil-kecilan seperti memelihara sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang.

Binatang al-an’am adalah seperti kambing, biri-biri, kibash, lembu, kerbau atau unta. Binatang peliharaan lain seperti ayam atau itik adalah tidak memenuhi syarat berkaki empat, manakala kuda pula walaupun ia halal dimakan, tetapi ia bukan terdiri (pada kebiasaan) daripada jenis binatang peliharaan untuk tujuan penyembelihan (untuk dimakan) tetapi untuk tujuan lain seperti kenderaan atau perhiasan.

Dalil pensyariatan korban:


Firman Allah (surah al-Kauthar:2) bermaksud “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah (korban)”

Monday, 8 October 2012

Cadangan Program Qurban AidilAdha 1433H

Bulan Zulkaedah sudah menghampiri ke penghujungnya. Di mana-mana masjid dan surau pastinya waktu ini perbincangan yang paling hangat ialah perancangan pelaksanaan program bagi menyambut kehadiran Hari Raya AidilAdha yang disyariatkan dua ibadah utama. Pertamanya ialah menunaikan fardhu Haji di Baitullah dan kedua ialah ibadah qurban.

Gambar hiasan

Surau Wahbah Al-Zuhaily sebagai sebuah organisasi yang berdaftar juga telah membincangkan satu program yang berkaitan dengan ibadah qurban. Perbincangan yang telah diadakan pada 4 Oktober yang lalu mencapai persetujuan untuk diadakan program qurban di Presint 18 Fasa R12. Pihak jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga telah menghantar wakil pada perbincangan tersebut selain ahli jemaah dan penduduk setempat.

Hasilnya, satu program akan dilaksanakan pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh : 28 Oktober 2012 (Ahad)
Bersamaan 12 Zulhijjah 1433H
Masa : 8.00 pagi - 11.00 malam
Tempat : Perkarangan Surau Wahbah Al-Zuhaily

Sebagai makluman kepada semua, pihak surau dan penganjur tidak berkesempatan untuk membuka penyertaan bahagian bagi sesiapa yang berminat. Ini kerana pihak surau telah pun menerima 2 ekor lembu dan seekor kambing untuk dikorbankan pada hari tersebut. Dikhuatiri jika dibuka penyertaan, pihak surau dan penganjur tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk melapah dan membahagikan daging yang berkuantiti besar. Pihak surau hanya akan membuka kepada sumbangan tidak melebihi 3 ekor lembu sahaja untuk tahun ini.

Berkenaan dengan program pada tarikh tersebut, pihak surau dan penganjur memerlukan sumbangan dari segi tenaga kerja daripada seluruh penduduk di sekitar Presint 18 khususnya Fasa R12. Penduduk dari fasa berhampiran seperti R13, R8, R4 dan teres juga adalah dialu-alukan. InsyaAllah pihak surau akan menyediakan sedikit cenderahati kepada semua petugas.
Tentatif dan aturcara serta pengisian lengkap sepanajng program akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat lanjutan program. Sumbangan para penduduk juga dialu-alukan dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan, peralatan, bahan mentah atau apa sahaja yang boleh membantu sepanjang program tersebut. Mudah-mudahan sumbangan tersebut juga akan dikira sebagai suatu ibadah disisi Allah swt.

Harapan pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily serta pihak KRT dan seluruh jawatankuasa penganjur adalah semoga program ini dapat diadakan dengan lancar dan jayanya. Sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk bekerja di dalam sebuah masyarakat yang harmoni seterusnya meningkatkan suasana mahabbah di kalangan penduduk. InsyaAllah...


Monday, 1 October 2012

Jom Pegi Kuliah..!!

Rasanya dah terlalu lama tidak mempromosikan sebarang program ilmu yang dianjurkan di Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui blog ini. Terlalu banyak keterbatasan sebagai seorang hamba yang lemah sehingga tidak mampu menyebarkan kepada orang ramai tentang keindahan berada di dalam majlis ilmu.

InsyaAllah.. Bermula pada hari ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan kembali menghidupkan malam-malamnya dengan pengisian majlis ilmu iaitu kuliah maghrib serta program-program lain yang diatur secara berjadual. Kuliah muslimat juga akan kembali menemui para wanita-wanita solehah pada minggu ini selain kelas Al-Quran dewasa serta program riadah. Jadual lengkap program sepanjang Oktober 2012 adalah seperti di bawah.

Sila klik pada gambar untuk simpanan dan paparan yang lebih jelas.

Marilah sama-sama kita berdoa agar kita diberikan kesempatan oleh Allah untuk hadir di dalam majlis-majlis ilmu dan program yang mendekatkan kita kepada rumah Allah ini. Jika diberikan keizinan oleh Allah juga, pihak Surau akan menganjurkan beberapa lagi siri program kemasyarakatan pada bulan ini serta ceramah khas bulanan untuk santapan rohani seluruh penduduk Presint 18 khususnya Fasa R12.

Kerinduan terhadap suasana pengajian seperti ini amat mendalam.

Ayuh...jom sama-sama kita pergi kuliah yer..insyaAllah rahmat Allah sentiasa bersama kita.