Sila Klik Nuffnang

Tuesday, 7 February 2012

Mencontohi Akhlak dan Keperibadian Nabi Muhammad SAW

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi, dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." 
(Surah Al-Ahzab 33:56)


Sebelum meneruskan pembacaan, marilah sama-sama terlebih dahulu kita sebagai hamba Allah yang beriman mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW seperti mana yang difirmankan oleh Allah di dalam potongan ayat Al-Quran di atas.


12 Rabi'ul Awal
Sudah menjadi lumrah di dalam masyarakat kita pada hari ini untuk menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabi'ul Awal setiap tahun dengan penuh rasa kesyukuran dan nikmat kerana dijadikan sebagai umat kepada pemimpin agung no.1 di dunia. Tarikh yang baru sahaja berlalu bagi tahun 1433H kali ini juga disambut meriah dan dirasai di seluruh pelusuk dunia apatah lagi di negara Malaysia ini. Pelbagai cara dilaksanakan untuk menunjukkan rasa cinta yang mendalam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW baik dari sudut sambutan, perarakan, majlis kesyukuran hatta kepada dianugerahkan pula pelbagai anugerah sempena kelahiran Nabi tersebut.

(Sumber gambar www.islam.gov.my)

Adapun begitu, banyak perdebatan di kalangan masyarakat wujud dalam meraikan hari bersejarah ini. Ada yang memberi sokongan yang baik, ada juga yang menentang, tidak kurang yang sekadar duduk diam dan tidak ketinggalan ada yang taksub pada sambutannya sahaja tetapi terus-terusan meninggalkan ajaran sebenar yang dibawa oleh Rasulullah. Kita sendiri wajar menilai dari golongan manakah kita..


Saban tahun berlalu, 12 Rabi'ul Awal tetap akan dikenang oleh masyarakat Islam sebagai antara tarikh terbaik yang pernah wujud di dalam perkiraan tahun Islam. Sewakarnya saban tahun itu jugalah tahap kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW meningkat daripada satu level ke level yang lebih tinggi. Penekanan terhadap mencontohi akhlak Baginda perlu dijadikan indikator pada setiap sambutan manakalan istiqamah dalam melaksanakan perintah dan ajaran yang ditinggalkan Baginda haruslah terpaku kemas di dalam hati.

Mencontohi Akhlak Nabi Muhammad SAW

Barangkali kita semua sudah sedia maklum tentang apa yang sebenarnya dituntut oleh Nabi Muhammad SAW daripada umatnya. Baginda tidak pernah meminta supaya diagungkan secara terlampau seperti mana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS. Tingginya nilai sifat tawaduk Baginda ini telah dinyatakan di dlaam sebuah hadith sahih riwayat bukhari yang bermaksud:

"Daripada Umar bin Khattab berkata: Rasulullah SAW bersabda, 'Janganlah kamu semua melampaui batas semasa memujiku, sebagaimana orang Nasrani melampaui batas memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, oleh itu katakanlah aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadith riwayat Bukhari dan Tirmizi) - Dipetik daripada kitab Syamail Muhammadiah Bab 47 Sifat Tawaduk Rasulullah.

Menyentuh keperibadian tinggi Rasulullah ini, tidakkah kita terfikir adalah Baginda dijadikan contoh dalam kehidupan seharian kita..? Seorang manusia agung lagikan merendah diri dengan akhlak yang cukup indah, sedangkan kita sebagai manusia yang tidak punya apa seolah membenarkan bahawa dunia ini hampir sahaja kita yang punya. Dimanakah rasa malu di dalam diri untuk mengatakan kita lebih hebat daripada kekasih Allah..? Apakah sudah cukup dengan berarak dalam majlis sambutan sahaja untuk menzahirkan bahawa kita mencontohi akhlak dan peribadi Baginda sebagai Idola kita..?

Inilah sebenarnya perkara yang perlu terzahir dalam diri setiap hamba Allah yang mengakui tiada Tuhan selain daripada-Nya, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Marilah sama-sama kita membenarkan di dalam diri kita ajaran-ajaran yang diseru oleh Rasulullah, tanamkan di dalam hati kecintaan kepada Baginda, praktikkan juga perilaku dan akhlaknya dalam kehidupan sebagai Muslim serta jadikanlah Baginda sebaik-baik contoh tauladan di dalam kaca mata dunia.


Siapa Kita Di Sisi Nabi Muhammad SAW


Setiap umat Baginda Nabi SAW mengharapkan syafaat yang berterusan daripadanya sehingga ke hari akhirat. Justeru, selayaknya Baginda ditauladani bukan sekadar mengikut ajaran-ajaran yang dikehendaki sahaja seperti solat lima (5) waktu, berpuasa bulan Ramadhan dan sebahagian amalan-amalan rutin seorang Muslim. Bahkan, lebih daripada itu ialah menerapkan setiap nilai-nilai murni yang ada pada diri Baginda secara keseluruhannya, Tidak dapat semua, ambillah satu demi satu sehingga apa yang ada itu, setidak-tidaknya kita fahami dan cuba amalkannya. Tertarik dengan sebuah hadith tentang hal Baginda di rumah seperti mana diriwayatkan daripada Sahih Bukhari:

Daripada Amrah:
"Seseorang bertanya kepada Aisyah, 'Apakah yang Rasulullah lakukan di rumah?'. Aisyah menjawab, 'Baginda sama seperti orang lain. Baginda menjahit pakaian, memerah susu kambing dan menyiapkan keperluan diri Baginda sendiri."

Betapa tingginya pekerti Baginda sehingga apa yang dilakukan di rumah juga kadang kala kita sebagai hamba kerdil tidak mampu melaksanakannya. Baginda punya darjat yang tinggi bahkan manusia terbaik yang diciptakan Allah di dunia ini. Walaupun demikian, Baginda tidak pernah sombong diri sebagai hamba Allah. Baginda tidak kekok melaksanakan urusan harian di rumah seperti mana seorang suri, menternak sebagaimana urusan Baginda sebelum diangkat sebagai Rasulullah hatta kepada bergurau senda bersama keluarga dengan penuh kasih sayang. Itu sekadar sedikit apa yang dapat digambarkan untuk kita renung sejenak dimana taraf kita untuk meraih syafaat terbaik daripada Baginda.

Oleh yang demikian, serulah akan kebaikan seperti mana yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW. Siapalah kita untuk bongkak dengan pangkat di dunia yang sementara ini. Apalah nilainya kedudukan di muka bumi sebagai orang yang punya kuasa namun tiada sedikit pun terlintas di hati untuk terus berjuang di jalan Allah seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah. Kembalikanlah diri kita kepada penyambungan dakwah Rasul, cintai akhlak Baginda, teruslah menyebar luas ajarannya dan jadilah seorang khalifah yang tegar meninggikan syiar Islam. Berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW.











No comments:

Post a Comment