Sila Klik Nuffnang

Tuesday, 28 February 2012

Post Review: Semarakkan Cinta Rasulullah

Pada tanggal 23 Februari 2012 satu majlis sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H telah pun diadakan dengan jayanya oleh pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily. Program yang diberi nama 'Semarakkan Cinta Rasulullah' itu telah diisi dengan kupasan hebat oleh Ustaz Mohd Raihan bin Abd Aziz dari Bank Islam (M) Berhad. Penulis sendiri sebenarnya tidaklah berkesempatan untuk menghadiri sesi ceramah ini dari awal kerana baru sahaja tiba daripada Johor Bahru sekitar jam 8.00 malam. Namun, alhamdulillah dapat juga dicatit sedikit ilmu yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Raihan untuk dikongsi bersama.

7'S Dalam Konsep Cinta Rasulullah

7'S yang dimaksudkan di atas tiada langsung kena mengena dengan konsep 5'S yang dicanang-canangkan di pejabat-pejabat kerajaan 2 tahun kebelakangan ini. (syarikat-syarikat koprat dah lama implement since 2003/2004). Maknanya tidak perlu adanya istilah daripada Jepun berbunyi seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Marilah kita hayati apa yang terkandung di dalam 7'S sebagai tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW.

1. Sayang Nabi Melebihi Kasih Sayang Yang Lain.
Perkara paling penting di dalam menzahirkan rasa cinta terhadap Rasulullah ialah wujudkan perasaan sayang yang  mendalam terhadap Baginda. Bagaimana caranya..? Sudah pasti ianya dengan cara menghayati kisah-kisah Rasulullah, menerapkan sifat-sifat mulia Baginda ke dalam kehidupan seharian dan berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa olehnya. Dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh umat manusia." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Selawat ke atas Nabi Muhammad dan Ahli Keluarganya
Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga Baginda kerana dengan berselawat itulah membuahkan cinta di dalam hati kita. Prinsip selawat ini adalah suatu konsep tarbiah diri untuk mempertingkatkan lagi ingatan kita terhadap Baginda. Selawat amat tinggi nilainya. Masakan tidak, kerana Allah s.w.t berfirman: 
Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Hai orang-orang yang beriman , berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah Al-Ahzab: 56)

3. Sayang Kepada Orang Yang Nabi Sayang
Golongan-golongan yang dicintai oleh Rasulullah sudah pastinya merupakan golongan yang diberi jaminan syurga oleh Baginda. Golongan ini ialah para pencinta yang tegar menegakkan agama Allah serta menyambung talian dakwah yang ditinggalkan olehnya. Mereka tidak lain ialah para sahabat, tabi', tabi'in termasuklah para ulama' yang terus-terusan menyebarkan agama Allah tanpa sekelumit perasaan lelah. Marilah kita berusaha untuk menjadi antara golongan orang yang nabi sayang. Jika tidak mampu menjadi ulama', jadilah muta'allim (orang yang menuntut ilmu dari ulama'), atau mungkin juga menjadi sekadar pendengar kepada majlis-majlis ilmu, atau yang paling ringan ialah mereka yang mencintai ilmu dan majlis-majlis ilmu.
(Mereka adalah golongan yang mencintai ilmu dan majlis ilmu. InsyaAllah akan disayangi oleh Rasulullah)

4. Sunnah Rasulullah Menjadi Ikutan
Selain daripada kitab suci Al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w juga meninggalkan sunnahnya untuk dijadikan panduan ikutan umat Baginda. Allah s.w.t berfirman
Maksudnya:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut(mengingati) Allah." (Surah Al-Ahzab: 21)

5. Sambung Perjuangan Rasulullah
Konsep menyambung perjuangan Rasulullah jika dilihat secara umum, sudah tentulah dikaitkan dengan kerja-kerja dakwah untuk meninggikan syiar Islam. Namun begitu, tidaklah sebenarnya disarankan hanya dengan satu konsep sahaja yang kononnya mengikut tindak-tanduk Rasulullah semata-mata. Medium dakwah amat luas. Berdakwahlah dengan teknik yang difikirkan mampu mengajak umat manusia mengenal Islam, mempertingkatkan keimanan dan istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah.

6. Sanjungan Terhadap Nabi Muhammad s.a.w
Masalah sanjungan pada masa kini agak nampak kritikal terutama bagi golongan remaja yang sedang meningkat dewasa. Sanjungan adalah sama seperti meletakkan idola. Hari ini marilah sama-sama kita menyanjung tinggi Rasulullah sebagai insan yang membawa umatnya kepada agama suci iaitu Islam. Hentikan sanjungan terhadap artis dan dunia hiburan secara keterlampauan. Bimbinglah anak-anak dan para remaja untuk mengenal Rasul mereka yang lebih layak diberi sanjungan.

7. Syafaatkan Kami Ya Rasulullah
Inilah 'S' yang paling bernilai. Bukan mudah meraih syafaat Rasulullah jika tidak didahului dengan 6'S yang dinyatakan di atas. Berdoalah wahai saudara-saudaraku, agar kita tergolong di dalam umat Baginda yang memperoleh syafaatnya di akhirat kelak. Ya Rasulullah, syafaatmu kami tagih. Tempatkanlah kami di dalam syurga bersama-samamu dan orang-orang mukmin yang dikau cintai. Amin Ya Rabbal A'lamin..

Begitu antara kandungan ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Raihan tentang 7'S yang perlu ada di dalam diri kita untuk menandakan kita mencintai Rasulullah s.a.w. Penulis sebenarnya mengolah sedikit huraian perkara-perkara penting tersebut mengikut kefahaman penulis yang dhaif ini. Semoga kita mendapat sedikit perkongsian melaluinya. Berikut adalah gambar sekitar program 'Semarakkan Cinta Rasulullah'.
  
(Ustaz Raihan memulakan kuliah dengan bacaan doa)

(Penuh teliti mendengar syarahan Cintai Rasulullah)

(Ustaz Farhan selesa untuk menyampaikan ceramah secara berdiri)

(Antara sebahagian hadirin yang setia mendengar. Tahniah..!!)

(Segak gaya Ustaz Raihan memberi peringatan tentang 7'S)

(Semoga kalian pendengar yang mencintai majlis ilmu akan sentiasa dibawah naungan Allah)

(Muslimat tidak ketinggalan bersama mengimarahkan majlis ilmu)

(SU sebagai pengerusi majlis)

(Menjamu selera selepas solat isyak berjemaah. Suasana yang perlu dikekalkan sampai bila-bila. InsyaAllah)


Semoga kita semua akan berjumpa lagi dalam program-program akan datang. Sentiasa istiqamah di dalam melaksanakan kerja-kerja ma'ruf. Dekati diri dengan majlis-majlis ilmu. Mudah-mudahan syafaat Rasulullah menjadi milik bersama.

No comments:

Post a Comment