Sebelum ditulis lebih panjang, ingin penulis maklumkan bacaan ini hendaklah ditujukan kepada sekalian muslimin dan muslimat serta ianya tiada kaitan untuk bertelingkah dengan penganut agama lain yang menyambut Hari Kekasih ini.
14 Februari sekali lagi akan menjelma dalam kalender masihi seperti juga tahun-tahun yang telah berlalu. Seperti diketahui umum, inilah salah satu hari yang sentiasa akan diperkatakan baik di kalangan golongan ulama', mualim, mursyid, pendakwah, orang-orang masjid dan tidak ketinggalan juga bagi orang-orang awam kebanyakan. Pada tanggal tersebut terdapat sebuah acara yang dikenali ramai baik yang menyambut atau menentangnya iaitu Valentine Day.
Maka bermula sahaja bulan Februari, menjelmalah iklan-iklan di pusat membeli belah, media massa, media maya, tepi-tepi jalan dan sebagainya, pantas mempromosikan hari tersebut. Paling meriah tentunya kedai yang menjual aneka bunga dan hadiah untuk dijadikan "present" kepada sang kekasih. Perkara ini seolah-olah satu kebanggaan bagi anak-anak muda yang hangat di dalam percintaan. 14 Februari ini pastinya dirasai sebagai hari yang memartabatkan cinta mereka baik si lelaki mahupun yang perempuan. Berpusu-pusulah umat manusia yang alpa ini mempersiapkan diri, perhiasan, tempahan dan sebagainya untuk membuktikan kepada pasangan masing-masing bahawa dialah satu-satunya kekasih yang bertakhta di dalam hati.
Di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, menampakkan seolah-olah ramai yang memandang Hari Kekasih ini sesuatu yang normal. Apakah normal dimaksudkan adalah kerana menghormati St. Valentine yang menjadi salah satu perayaan agama bagi penganut-penganut Nasrani..? Normalkah juga hari untuk memperingati kekasih ini jatuh pada satu tarikh sahaja dan ianya diraikan saat tanggal kematian St. Valentine yang dihukum bunuh..? Persoalan ini sepatutnya kita pertimbangkan semula sebagai orang Islam.
Berkasih Sayang Di Dalam Islam
Lumrah sebagai manusia biasa untuk hadir perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Masakan tidak kerana Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (pasangan) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir." (Surah Ar-Rum 30:21)
Disebabkan demikian, maka apalah kemampuan kita minidakkan kekuasaan Allah SWT untuk mewujudkan perasaan berkasih sayang antara manusia terhadap pasangan-pasangan yang telah diciptakan-Nya. Namun begitu, kewujudan kasih sayang ini bukanlah bermaksud manusia sebebasnya memilih jalan-jalan maksiat sebagai tanda sayang sesama manusia. Hubungan antara kekasih di dalam Islam banyak keterbatasannya. Batasan pergaulan, etika berpakaian, larangan bersekedudukan dan adab-adab perlu dijaga agar memastikan kasih sayang yang tercipta sesama manusia itu berpandukan syariat serta niat utama kerana Allah SWT.
Demikian juga tidak ditetapkan sesuatu hari di dalam Islam untuk meraikan kasih sayang antara manusia. Tidak seperti mana agama-agama lain yang menyokong 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih hati, maka Islam sebenarnya menyatakan pendirian bahawa setiap hari adalah dibenarkan untuk berkasih-kasihan. Namun harus diingat, berkasihan antara yang manusia yang tiada ikatan sah pernikahan atau sesama muhrim adalah dilarang secara berlebihan. Satukanlah diri dengan pasangan anda dengan ikatan perkahwinan terlebih dahulu untuk anda raikan kasih sayang sebagai suami isteri.
Jauhkan Diri Dari Maksiat 14 Februari
Fahamilah sekalian manusia akan kesesatan dalam sambutan Valentine Day ini. Wahai anak-anak remaja mahupun yang telah menjangkau usia dewasa, hindarilah gejala tidak bermoral yang disebarkan oleh Barat ini. 14 Februari setiap tahun bakal menjerngah dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang seakan gagal dibendung oleh penguasa mahupun kita yang punya secebis kuasa. Mahukah kita melihat akan lahir lebih ramai anak-anak yang tidak berbapa..? Atau tergamak lagikah kita melihat bayi-bayi dibuang sama ada hidup atau mati..? Relakah kita melihat umat manusia yang mengakui diri sebagai Islam terus di dalam kancah zina..?
Bertakwalah kepada Allah. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah supaya kita semua dilindungi daripada perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Lupakanlah keseronokan dunia yang nyata sementara ini, kasih sayang yang abadi ialah kasih sayang terhadap agama dan balasan kasih sayang Allah adalah melimpah ruah nikmatnya. Maka, kepada Allah sahajalah kasih sayang terbaik untuk diraikan, kepada Allah sahaja cinta teragung perlu diluahkan. Nyatakan cintamu kepada Allah wahai sahabat.. Terjemahkan sayang itu kepada perbuatan amal makruf, semoga Allah juga membalas cinta-Nya kepada kita sebagai hamba yang bertakwa.
(Katakan TIDAK..!!!)
No comments:
Post a Comment