Sila Klik Nuffnang

Thursday, 2 February 2012

Mangsa Kelar (Presint 18) Cerita Pengalaman

Semalam merupakan cuti umum bagi seluruh jajahan takluk Wilayah Persekutuan iaitu bersamaan dengan 1 Februari 2012. Dikesempatan cuti ini pelbagai program telah diatur oleh semua kakitangan yang berkhidmat dengan mana-mana agensi di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan. Bagi seorang hamba Allah ini (kami tidak siarkan nama di atas permintaan), beliau antara yang telah membuat satu majlis doa selamat dan kesyukuran kerana diberikan oleh Allah usia yang panjang walaupun berhadapan dengan situasi yang cukup getir. Beliau yang dimaksudkan ialah mangsa kejadian pecah rumah di Presint 18 Fasa R12 yang berlaku pada tanggal 24 Januari yang lalu.

Saya sendiri sebenarnya sempat bertemu dengan mangsa pada tarikh kejadian iaitu ketika mana pasukan forensik PDRM Bukit Aman menjalankan prosedur-prosedur forensik di rumah mangsa. Namun disebabkan mangsa mungkin masih dalam keadaan sakit dan terkejut, wakil Surau Wahbah Al-Zuhaily ketika itu tidak sempat berbual panjang. Akhirnya, disebabkan majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh mangsa dipanjangkan ke surau, maka dapatlah sesi bual bicara antara mangsa, AJK dan jemaah surau diadakan secara tidak formal. Cerita selanjutnya adalah antara kisah bagaimana kejadian berlaku, kecederaan yang dialami serta nasihat berguna buat semua penduduk Presint 18 amnya dan Fasa R12 secara khususnya.

Situasi Ketika Kejadian

Menurut mangsa, kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 7.00-7.30 pagi ketika mana beliau berada dirumah berseorangan. Isteri dan anak mangsa keluar kira-kira jam 7.00 pagi untuk ke hospital kerana anak lelakinya itu demam. Mangsa yang keseorangan di dalam bilik tidur utama tidak menyedari kehadiran penjenayah pada ketika isteri dan anaknya baru sahaja keluar lingkungan 5-10 minit, sebaliknya satu tikaman dari belakang telah mengakibatkan kecederaan kira-kira sedalam 2cm mengenai belakang tubuh mangsa. Mangsa yang tidak dapat melihat penjenayah seterusnya diikat dalam keadaan tertiarap di atas katil sambil meminta supaya tidak diapa-apakan. Dianggarkan bilangan penjenayah tidak kurang daripada 3 orang kesemuanya.

Permintaan mangsa tidak diendahkan oleh penjenayah yang tiba-tiba bertindak lebih agresif dengan cuba mencederakan bawah tengkuk mangsa menggunakan sebilah pisau. Percubaan pertama gagal kerana kedudukan mangsa yang tertiarap rapat mengenai tilam. Penjenayah yang bertindak nekad itu seterusnya menghalakan pisau disebelah kanan leher mangsa serta disembelih tanpa mengendahkan jeritan dan laungan takbir daripada mangsa.

 (Mangsa Bercerita Pengalaman Dikelar Penjenayah Bersama Pengerusi SWAZ)

Allah Lebih Berkuasa Daripada Makhluk

Sebagai orang Islam yang beriman, sudah pastinya kita percaya bahawa urusan mencabut nyawa seseorang manusia adalah tertakluk pada kuasa Allah Yang Maha Agung. Ianya tidak sesekali diberikan kepada makhluk lain walau setajam mana mata pisau yang digunakannya. Mangsa masih lagi diberikan usia yang berpanjangan oleh Allah Subhanahu Wataala. Ketika mana leher mangsa disembelih kira-kira 10cm panjang, mangsa berjaya melepaskan ikatan tangan dan meronta sehingga menyebabkan penjenayah panik dan lari keluar daripada rumah mangsa. Betapa besar bantuan yang diberikan oleh Allah terhadap hambanya. Maka, nikmat yang manakah lagi yang kita dustai daripada-Nya.

Mangsa yang cedera parah ketika itu cuba meminta bantuan daripada jiran-jiran terdekat, namun disebabkan kejadian berlaku pada waktu cuti umum (Tahun Baru Cina), kebanyakan penghuni tidak berada di rumah. Mangsa hanya mendapat pertolongan setelah berjalan sehingga ke stesen minyak Petronas yang terletak berhampiran dengan rumah mangsa. Terima kasih kepada kakitangan Petronas yang menghubungi ambulans dan mangsa terus dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Apa pun mangsa yang menerima hampir 20 jahitan dileher dan belakang badan kini berada dalam keadaan stabil.
(Kesan Kecederaan Di Leher Mangsa Yang Dikelar Penjenayah)

Pengajaran Buat Semua

Dalam perbualan dengan pihak surau malam tadi, mangsa berpesan kepada semua supaya mengunci pintu rumah dalam apa jua keadaan. Walaupun tindakan seperti itu dilihat seperti mengasingkan diri daripada bergaul dengan kejiranan, namun faktor keselamatan yang tidak boleh diduga ini memungkinkan kaum keluarga berhadapan risiko seperti pecah rumah, samun dan sebagainya. Saya sedikit bersetuju dengan pandangan beliau memandangkan urusan keselataman di Presint 18 Fasa R12 ini masih lagi belum ada pihak yang tampil dan sedia memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Bagi pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily pula, penekanan terhadap hidup secara bermasyarakat amatlah perlu dititikberatkan dewasa ini. Sikap mengambil tahu permasalahan jiran, saling membantu dan mengikuti perkembangan program-program komuniti sangat dituntut. Hubungan erat antara penduduk ini adalah kunci utama kekuatan sesebuah entiti masyarakat. Buangkan perasaan pentingkan diri sendiri, hapuskan rasa kurang senang dengan persatuan penduduk serta ubatilah penyakit elegik kepada institusi surau dan masjid. InsyaAllah bukan sahaja penjenayah dapat diusir bahkan lebih besar ialah hasutan syaitan yang sentiasa bermain di ruang minda kita.

Akhirnya, saya mewakili seluruh jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin menyeru agar semua penduduk berhati-hati dan menjaga keselataman diri serta keluarga. Saya juga ingin menggalakkan penduduk aktif di dalam komuniti sama ada bersama pihak surau atau Rukun Tetangga (KRT). Kita adalah pihak yang perlu bertanggungjawab bersama di dalam permasalahan komuniti kita. Jangan tunggu sampai kita menjadi mangsa, kemudian barulah menyedari akan kepentingan tanggungjawab sejagat ini. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari musibah dan terus-terusan memberi rahmat kepada persekitaran kita. InsyaAllah..

1 comment:

  1. Assalamua'laikum.
    Terima kasih diatas sokongan dan pelawaan tuan/puan untuk kita bekerjasama menganjurkan program di Putrajaya. Kami sangat berbesar hati dan berminat untuk bekerjasama dgn pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily, Presint 18 Fasa R12 sekiranya berpeluang selepas ini.
    Untuk makluman pihak puan, buat masa ini Nisa' Putrajaya telah merancang beberapa aktiviti sepanjang bulan Februari di sekitar Putrajaya dan kesemuanya telah dipastikan tempat dan waktu. Insya'Allah untuk program bulan Mac atau seterusnya kami akan menghubungi pihak surau untuk mengemukakan cadangan program yan bakal diadakan.


    Terima kasih sekali lagi dari Nisa' Putrajaya.

    ReplyDelete