Sila Klik Nuffnang

Tuesday, 28 February 2012

Post Review: Semarakkan Cinta Rasulullah

Pada tanggal 23 Februari 2012 satu majlis sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H telah pun diadakan dengan jayanya oleh pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily. Program yang diberi nama 'Semarakkan Cinta Rasulullah' itu telah diisi dengan kupasan hebat oleh Ustaz Mohd Raihan bin Abd Aziz dari Bank Islam (M) Berhad. Penulis sendiri sebenarnya tidaklah berkesempatan untuk menghadiri sesi ceramah ini dari awal kerana baru sahaja tiba daripada Johor Bahru sekitar jam 8.00 malam. Namun, alhamdulillah dapat juga dicatit sedikit ilmu yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Raihan untuk dikongsi bersama.

7'S Dalam Konsep Cinta Rasulullah

7'S yang dimaksudkan di atas tiada langsung kena mengena dengan konsep 5'S yang dicanang-canangkan di pejabat-pejabat kerajaan 2 tahun kebelakangan ini. (syarikat-syarikat koprat dah lama implement since 2003/2004). Maknanya tidak perlu adanya istilah daripada Jepun berbunyi seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Marilah kita hayati apa yang terkandung di dalam 7'S sebagai tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW.

1. Sayang Nabi Melebihi Kasih Sayang Yang Lain.
Perkara paling penting di dalam menzahirkan rasa cinta terhadap Rasulullah ialah wujudkan perasaan sayang yang  mendalam terhadap Baginda. Bagaimana caranya..? Sudah pasti ianya dengan cara menghayati kisah-kisah Rasulullah, menerapkan sifat-sifat mulia Baginda ke dalam kehidupan seharian dan berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa olehnya. Dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh umat manusia." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Selawat ke atas Nabi Muhammad dan Ahli Keluarganya
Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga Baginda kerana dengan berselawat itulah membuahkan cinta di dalam hati kita. Prinsip selawat ini adalah suatu konsep tarbiah diri untuk mempertingkatkan lagi ingatan kita terhadap Baginda. Selawat amat tinggi nilainya. Masakan tidak, kerana Allah s.w.t berfirman: 
Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Hai orang-orang yang beriman , berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah Al-Ahzab: 56)

3. Sayang Kepada Orang Yang Nabi Sayang
Golongan-golongan yang dicintai oleh Rasulullah sudah pastinya merupakan golongan yang diberi jaminan syurga oleh Baginda. Golongan ini ialah para pencinta yang tegar menegakkan agama Allah serta menyambung talian dakwah yang ditinggalkan olehnya. Mereka tidak lain ialah para sahabat, tabi', tabi'in termasuklah para ulama' yang terus-terusan menyebarkan agama Allah tanpa sekelumit perasaan lelah. Marilah kita berusaha untuk menjadi antara golongan orang yang nabi sayang. Jika tidak mampu menjadi ulama', jadilah muta'allim (orang yang menuntut ilmu dari ulama'), atau mungkin juga menjadi sekadar pendengar kepada majlis-majlis ilmu, atau yang paling ringan ialah mereka yang mencintai ilmu dan majlis-majlis ilmu.
(Mereka adalah golongan yang mencintai ilmu dan majlis ilmu. InsyaAllah akan disayangi oleh Rasulullah)

4. Sunnah Rasulullah Menjadi Ikutan
Selain daripada kitab suci Al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w juga meninggalkan sunnahnya untuk dijadikan panduan ikutan umat Baginda. Allah s.w.t berfirman
Maksudnya:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut(mengingati) Allah." (Surah Al-Ahzab: 21)

5. Sambung Perjuangan Rasulullah
Konsep menyambung perjuangan Rasulullah jika dilihat secara umum, sudah tentulah dikaitkan dengan kerja-kerja dakwah untuk meninggikan syiar Islam. Namun begitu, tidaklah sebenarnya disarankan hanya dengan satu konsep sahaja yang kononnya mengikut tindak-tanduk Rasulullah semata-mata. Medium dakwah amat luas. Berdakwahlah dengan teknik yang difikirkan mampu mengajak umat manusia mengenal Islam, mempertingkatkan keimanan dan istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah.

6. Sanjungan Terhadap Nabi Muhammad s.a.w
Masalah sanjungan pada masa kini agak nampak kritikal terutama bagi golongan remaja yang sedang meningkat dewasa. Sanjungan adalah sama seperti meletakkan idola. Hari ini marilah sama-sama kita menyanjung tinggi Rasulullah sebagai insan yang membawa umatnya kepada agama suci iaitu Islam. Hentikan sanjungan terhadap artis dan dunia hiburan secara keterlampauan. Bimbinglah anak-anak dan para remaja untuk mengenal Rasul mereka yang lebih layak diberi sanjungan.

7. Syafaatkan Kami Ya Rasulullah
Inilah 'S' yang paling bernilai. Bukan mudah meraih syafaat Rasulullah jika tidak didahului dengan 6'S yang dinyatakan di atas. Berdoalah wahai saudara-saudaraku, agar kita tergolong di dalam umat Baginda yang memperoleh syafaatnya di akhirat kelak. Ya Rasulullah, syafaatmu kami tagih. Tempatkanlah kami di dalam syurga bersama-samamu dan orang-orang mukmin yang dikau cintai. Amin Ya Rabbal A'lamin..

Begitu antara kandungan ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Raihan tentang 7'S yang perlu ada di dalam diri kita untuk menandakan kita mencintai Rasulullah s.a.w. Penulis sebenarnya mengolah sedikit huraian perkara-perkara penting tersebut mengikut kefahaman penulis yang dhaif ini. Semoga kita mendapat sedikit perkongsian melaluinya. Berikut adalah gambar sekitar program 'Semarakkan Cinta Rasulullah'.
  
(Ustaz Raihan memulakan kuliah dengan bacaan doa)

(Penuh teliti mendengar syarahan Cintai Rasulullah)

(Ustaz Farhan selesa untuk menyampaikan ceramah secara berdiri)

(Antara sebahagian hadirin yang setia mendengar. Tahniah..!!)

(Segak gaya Ustaz Raihan memberi peringatan tentang 7'S)

(Semoga kalian pendengar yang mencintai majlis ilmu akan sentiasa dibawah naungan Allah)

(Muslimat tidak ketinggalan bersama mengimarahkan majlis ilmu)

(SU sebagai pengerusi majlis)

(Menjamu selera selepas solat isyak berjemaah. Suasana yang perlu dikekalkan sampai bila-bila. InsyaAllah)


Semoga kita semua akan berjumpa lagi dalam program-program akan datang. Sentiasa istiqamah di dalam melaksanakan kerja-kerja ma'ruf. Dekati diri dengan majlis-majlis ilmu. Mudah-mudahan syafaat Rasulullah menjadi milik bersama.

Friday, 24 February 2012

Kita Merancang..Allah Juga Merancang..

Sebaik-baik perancangan ialah di atas kekuasaan Allah SWT jua. Maka apalah daya yang dapat diperkatakan jika apa yang kita rancang pada awalnya tidak dapat diterjemahkan menjadi sebuah kenyataan. Redha di atas ketentuan Ilahi yang lebih arif dalam mentadbir seluruh alam kepunyaan-Nya.

Maka benarlah apa yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran yang berbunyi:


"Mereka merancang (tipu daya), dan Allah juga merancang (membalas tipu daya), Dan Allah sebaik-baik perancangan." (Surah Ali Imran, 3:54)

Demikianlah, sebenarnya apa yang telah pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily rancangkan bagi program sempena menyambut Maulidur Rasul 1433H yang diadakan pada malam tadi (23/02/2012). Program yang sepatutnya dihadiri oleh Y.Bhg. Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali seperti mana yang diwar-warkan di dalam iklan sebelum ini tidak dapat menjadi kenyataan. Beliau pada saat akhir terpaksa menarik diri disebabkan terdapat urusan yang lebih mustahak yang perlu dilesesaikan di utara tanah air.

Namun begitu, penceramah yang menggantikan beliau juga tidaklah kurang hebatnya. Beliau yang dimaksudkan ialah Ustaz Mohd Raihan Abd Aziz daripada Bank Islam Berhad. InsyaAllah penulis akan update secara lebih detail beserta gambar tentang program yang berlangsung kira-kira hampir 2 jam itu. Penulis mewakili seluruh warga kerja dan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily memohon maaf di atas perubahan yang berlaku. Sesungguhnya kami hanyalah merancang sesuatu untuk dikongsikan bersama, namun tidak sesekali akan dapat menandingi kuasa mutlak hak Allah SWT.

(Ustaz Raihan dengan penuh semangat menyampaikan ceramah)

Terima kasih di atas kehadiran tuan/puan ke majlis sambutan Maulidur Rasul SWAZ 2012.

Saturday, 18 February 2012

JOM RAMAI-RAMAI..!!! SEMARAKKAN CINTA RASULULLAH


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu (1) program ilmiah sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H yang dinamakan program 'Semarakkan Cinta Rasulullah'. Program berbentuk ceramah ini akan diadakan seperti mana yang dinyatakan di bawah:

Tarikh            : 23 Februari 2012 (Khamis)
Bersamaan   : 1 Rabi'ul Akhir 1433H
Masa              : 7.30 malam (Selepas solat maghrib)
Tempat          : Surau Wahbah Al-Zuhaily
                          Presint 18 Fasa R12, Putrajaya.
Penceramah : Ustaz Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali
                         (Pengerusi Darul Fuqaha)
Tajuk             : Kepimpinan Rasulullah Transformasi
                         Ummah

Walaupun sambutan Maulidur Rasul 1433H telah pun 2 minggu berlalu, namun bagi kami tiada halangan dalam menzahirkan semarak rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Oleh itu, marilah beramai-ramai hadir dalam majlis ilmu yang sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah ini. Mudah-mudahan kita akan meraih manfaat yang baik menerusi program ini.

Jom ramai-ramai datang.. Ajak semua ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan sesiapa sahaja..!!!

Tuesday, 14 February 2012

Coretan 14 Feb: Cinta Terulung

Andai anda ingin tahu bagaimana ingin meraikan cinta yang sebenarnya, bacalah kisah cinta kekasih agung ini. Tiada cinta di dunia ini sehebat cinta Rasulullah SAW kepada umatnya.


Rasulullah SAW telah menghiasi hidupnya dengan warna-warna cinta & kasih sayang. Baginda telah mencorakkan perjalanan hidupnya dengan perjuangan dan pengorbanan demi cinta kasihnya. Cinta dan kasih sayang yang tidak ternilai dan diluar jangkaan manusia biasa. Sekiranya kita menelusuri perjalanan hidup baginda serta menghayati setiap degupan nadi kehidupannya, kita akan lihat gambaran wajah kasih sayang yang terlalu mendalam serta cinta yang tidak berpenghujung pada umatnya.
Kasih baginda tak pernah padam hinggalah suatu pagi, pagi yang bersejarah, pagi yang suram dan penuh dengan kedukaan.....
Pagi itu, walaupun langit mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayapnya. Pagi itu, Rasulullah saw dengan suara yg tersekat-sekat memberikan khutbah; "wahai umatku, kita semuanya dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertaqwalah kepada Nya.
Apabila malaikat maut datang menghampirinya, baginda bertanya kenapa jibril tidak bersamanya. Kemudian dipanggil jibril yg sebelumnya bersiap di atas langit dunia menyambut roh baginda.
Jibril, jelaskan apakah hakku nanti di hadapan Allah ? Tanya Rasulullah dengan suara yang sangat lemah. "pintu-pintu langit sudah terbuka, malaikat sedang menanti roh kamu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata jibril. Namun jawapan itu tidak membuatkan Rasulullah lega, malah matanya masih penuh keresahan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini? Tanya jibril. "Khabarkan kepadaku, bagaimanakah nasib umatku kelak? "Jangan khuatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku; "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad sudah berada di dalamnya," kata jibril. Ketika it barulah nampak tanda-tanda kelegaan pada wajahnya yang mulia itu.
Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat leher baginda menegang. "jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini," perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Saidina Ali yang di samping baginda tunduk dan jibril memalingkan mukanya.
"Jijikkah engkau melihatku sehinggakan engkau palingkan wajahmu, jibril? Tanya Rasulullah kpd malaikat jibril. "Siapakah yg sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal." kata jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yg tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan sahaja siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai sejuk, kaki dan dadanya tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar-getar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu, saidina Ali segera mendekatkan telinganya.
"Peliharalah solat dan peliharalah orang lemah di antara kamu."
Begitulah saat-saat akhir manusia agung yang jiwanya dipenuhi rasa kasih pada ummatnya. Setiap detik hayatnya adalah untuk ummatnya, setiap kepayahannya adalah untuk keselamatan ummatnya serta setiap jerih perit kehidupannya adalah untuk cahaya keimanan ini terus tersebar menyinari hidup ummatnya. Sejarahnya adalah sejarah petunjuk dan kasih sayang. Kasih sayang yang tiada ukurannya untuk kita ummatnya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SWAZ : Titisan airmata sahaja yang dapat digambarkan betapa tingginya nilai cinta itu bagi seorang kekasih Allah. Baginda dijanjikan tempat terpuji, namun Baginda redha menyusuri kepayahan demi umatnya. Cinta ini tidak akan dapat dikenang untuk 1 hari sahaja. Inilah cinta yang wajib terpahat di hati setiap manusia saban waktu, setiap detik dan selama-lamanya.
Kredit kepada sumber di sini.

Monday, 13 February 2012

Hari Kekasih: Kepada Siapa Kasihmu Wahai Sahabat?

Sebelum ditulis lebih panjang, ingin penulis maklumkan bacaan ini hendaklah ditujukan kepada sekalian muslimin dan muslimat serta ianya tiada kaitan untuk bertelingkah dengan penganut agama lain yang menyambut Hari Kekasih ini. 

14 Februari sekali lagi akan menjelma dalam kalender masihi seperti juga tahun-tahun yang telah berlalu. Seperti diketahui umum, inilah salah satu hari yang sentiasa akan diperkatakan baik di kalangan golongan ulama', mualim, mursyid, pendakwah, orang-orang masjid dan tidak ketinggalan juga bagi orang-orang awam kebanyakan. Pada tanggal tersebut terdapat sebuah acara yang dikenali ramai baik yang menyambut atau menentangnya iaitu Valentine Day.

Maka bermula sahaja bulan Februari, menjelmalah iklan-iklan di pusat membeli belah, media massa, media maya, tepi-tepi jalan dan sebagainya, pantas mempromosikan hari tersebut. Paling meriah tentunya kedai yang menjual aneka bunga dan hadiah untuk dijadikan "present" kepada sang kekasih. Perkara ini seolah-olah satu kebanggaan bagi anak-anak muda yang hangat di dalam percintaan. 14 Februari ini pastinya dirasai sebagai hari yang memartabatkan cinta mereka baik si lelaki mahupun yang perempuan. Berpusu-pusulah umat manusia yang alpa ini mempersiapkan diri, perhiasan, tempahan dan sebagainya untuk membuktikan kepada pasangan masing-masing bahawa dialah satu-satunya kekasih yang bertakhta di dalam hati.

(Terjumpa satu contoh promosi dalam blog seorang gadis melayu Islam)

Di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, menampakkan seolah-olah ramai yang memandang Hari Kekasih ini sesuatu yang normal. Apakah normal dimaksudkan adalah kerana menghormati St. Valentine yang menjadi salah satu perayaan agama bagi penganut-penganut Nasrani..? Normalkah juga hari untuk memperingati kekasih ini jatuh pada satu tarikh sahaja dan ianya diraikan saat tanggal kematian St. Valentine yang dihukum bunuh..? Persoalan ini sepatutnya kita pertimbangkan semula sebagai orang Islam.

Berkasih Sayang Di Dalam Islam

Lumrah sebagai manusia biasa untuk hadir perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Masakan tidak kerana Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran:




"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (pasangan) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir." (Surah Ar-Rum 30:21)

Disebabkan demikian, maka apalah kemampuan kita minidakkan kekuasaan Allah SWT untuk mewujudkan perasaan berkasih sayang antara manusia terhadap pasangan-pasangan yang telah diciptakan-Nya. Namun begitu, kewujudan kasih sayang ini bukanlah bermaksud manusia sebebasnya memilih jalan-jalan maksiat sebagai tanda sayang sesama manusia. Hubungan antara kekasih di dalam Islam banyak keterbatasannya. Batasan pergaulan, etika berpakaian, larangan bersekedudukan dan adab-adab perlu dijaga agar memastikan kasih sayang yang tercipta sesama manusia itu berpandukan syariat serta niat utama kerana Allah SWT.

Demikian juga tidak ditetapkan sesuatu hari di dalam Islam untuk meraikan kasih sayang antara manusia. Tidak seperti mana agama-agama lain yang menyokong 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih hati, maka Islam sebenarnya menyatakan pendirian bahawa setiap hari adalah dibenarkan untuk berkasih-kasihan. Namun harus diingat, berkasihan antara yang manusia yang tiada ikatan sah pernikahan atau sesama muhrim adalah dilarang secara berlebihan. Satukanlah diri dengan pasangan anda dengan ikatan perkahwinan terlebih dahulu untuk anda raikan kasih sayang sebagai suami isteri.

Jauhkan Diri Dari Maksiat 14 Februari

Fahamilah sekalian manusia akan kesesatan dalam sambutan Valentine Day ini. Wahai anak-anak remaja mahupun yang telah menjangkau usia dewasa, hindarilah gejala tidak bermoral yang disebarkan oleh Barat ini. 14 Februari setiap tahun bakal menjerngah dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang seakan gagal dibendung oleh penguasa mahupun kita yang punya secebis kuasa. Mahukah kita melihat akan lahir lebih ramai anak-anak yang tidak berbapa..? Atau tergamak lagikah kita melihat bayi-bayi dibuang sama ada hidup atau mati..? Relakah kita melihat umat manusia yang mengakui diri sebagai Islam terus di dalam kancah zina..?

Bertakwalah kepada Allah. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah supaya kita semua dilindungi daripada perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Lupakanlah keseronokan dunia yang nyata sementara ini, kasih sayang yang abadi ialah kasih sayang terhadap agama dan balasan kasih sayang Allah adalah melimpah ruah nikmatnya. Maka, kepada Allah sahajalah kasih sayang terbaik untuk diraikan, kepada Allah sahaja cinta teragung perlu diluahkan. Nyatakan cintamu kepada Allah wahai sahabat.. Terjemahkan sayang itu kepada perbuatan amal makruf, semoga Allah juga membalas cinta-Nya kepada kita sebagai hamba yang bertakwa.

 (Katakan TIDAK..!!!)

Friday, 10 February 2012

Kehebatan Seorang Lelaki Agung


1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanankami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."




































Thursday, 9 February 2012

Kuliah Muslimat Februari 2012


Perhatian kepada seluruh penduduk Presint 18, penduduk sekitar Putrajaya dan berhampiran serta sesiapa sahaja yang menyinggah blog ini. Kuliah agama khas untuk muslimat akan diadakan pada minggu ini iaitu bertarikh 12 Februari 2012 (Ahad) bersamaan dengan 19 Rabi'ul Awal 1433H jam 9.30 pagi bertempat di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Marilah sama-sama hadir mengimarahkan majlis ilmu ini. Kepada sang suami, sampaikanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kalian untuk turut serta ke tempat yang sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah. InsyaAllah..

Berikut adalah sedikit intipati kuliah yang diadakan 2 kali sebulan ini:

Kuliah yang disampaikan oleh Ustazah Wan Morsita binti Wan Sudin ini akan menggunakan kitab popular iaitu Indahnya Hidup Bersyariat karangan pendakwah terkenal tanah air iaitu Dato' Ustaz Ismail Kamus.

Apa yang menarik berkenaan kitab ini ialah penulisannya amat interaktif bagi memudahkan sesi pembelajaran di kalangan pembacanya. Isi kandungan yang berkaitan dengan ilmu fardhu ain yang amat berguna ini diolah dalam teknik penulisan, bergambar, pointing note dan ringkas tetapi padat. Walaupun begitu, bagi yang kurang arif atau kurang mengetahui tentang bab-bab feqah dan syariat-syariat Islam, kupasan yang lebih mendalam diperlukan daripada mualim/mualimah supaya lengkap ilmu pengetahun di dada.

Jadikanlah kuliah ini sebagai aktiviti tetap anda sebagai muslimah sejati dan juga kepada para isteri serta anak-anak anda.

Diharap majlis ilmu sebegini terus menjadi program terbaik harian/mingguan kita semua. Sampaikanlah kepada semua rakan-rakan, kaum keluarga, jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang anda temui untuk menyerikan setiap program berbentuk ilmiah ini. Hayatilah firman Allah ini sebagai penutup bicara:

"Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah (masa) dalam majlis (ilmu)", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah Al-Mujaadillah 58:11)

Waalahu'alam.

Tuesday, 7 February 2012

Mencontohi Akhlak dan Keperibadian Nabi Muhammad SAW

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi, dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." 
(Surah Al-Ahzab 33:56)


Sebelum meneruskan pembacaan, marilah sama-sama terlebih dahulu kita sebagai hamba Allah yang beriman mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW seperti mana yang difirmankan oleh Allah di dalam potongan ayat Al-Quran di atas.


12 Rabi'ul Awal
Sudah menjadi lumrah di dalam masyarakat kita pada hari ini untuk menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabi'ul Awal setiap tahun dengan penuh rasa kesyukuran dan nikmat kerana dijadikan sebagai umat kepada pemimpin agung no.1 di dunia. Tarikh yang baru sahaja berlalu bagi tahun 1433H kali ini juga disambut meriah dan dirasai di seluruh pelusuk dunia apatah lagi di negara Malaysia ini. Pelbagai cara dilaksanakan untuk menunjukkan rasa cinta yang mendalam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW baik dari sudut sambutan, perarakan, majlis kesyukuran hatta kepada dianugerahkan pula pelbagai anugerah sempena kelahiran Nabi tersebut.

(Sumber gambar www.islam.gov.my)

Adapun begitu, banyak perdebatan di kalangan masyarakat wujud dalam meraikan hari bersejarah ini. Ada yang memberi sokongan yang baik, ada juga yang menentang, tidak kurang yang sekadar duduk diam dan tidak ketinggalan ada yang taksub pada sambutannya sahaja tetapi terus-terusan meninggalkan ajaran sebenar yang dibawa oleh Rasulullah. Kita sendiri wajar menilai dari golongan manakah kita..


Saban tahun berlalu, 12 Rabi'ul Awal tetap akan dikenang oleh masyarakat Islam sebagai antara tarikh terbaik yang pernah wujud di dalam perkiraan tahun Islam. Sewakarnya saban tahun itu jugalah tahap kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW meningkat daripada satu level ke level yang lebih tinggi. Penekanan terhadap mencontohi akhlak Baginda perlu dijadikan indikator pada setiap sambutan manakalan istiqamah dalam melaksanakan perintah dan ajaran yang ditinggalkan Baginda haruslah terpaku kemas di dalam hati.

Mencontohi Akhlak Nabi Muhammad SAW

Barangkali kita semua sudah sedia maklum tentang apa yang sebenarnya dituntut oleh Nabi Muhammad SAW daripada umatnya. Baginda tidak pernah meminta supaya diagungkan secara terlampau seperti mana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS. Tingginya nilai sifat tawaduk Baginda ini telah dinyatakan di dlaam sebuah hadith sahih riwayat bukhari yang bermaksud:

"Daripada Umar bin Khattab berkata: Rasulullah SAW bersabda, 'Janganlah kamu semua melampaui batas semasa memujiku, sebagaimana orang Nasrani melampaui batas memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, oleh itu katakanlah aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadith riwayat Bukhari dan Tirmizi) - Dipetik daripada kitab Syamail Muhammadiah Bab 47 Sifat Tawaduk Rasulullah.

Menyentuh keperibadian tinggi Rasulullah ini, tidakkah kita terfikir adalah Baginda dijadikan contoh dalam kehidupan seharian kita..? Seorang manusia agung lagikan merendah diri dengan akhlak yang cukup indah, sedangkan kita sebagai manusia yang tidak punya apa seolah membenarkan bahawa dunia ini hampir sahaja kita yang punya. Dimanakah rasa malu di dalam diri untuk mengatakan kita lebih hebat daripada kekasih Allah..? Apakah sudah cukup dengan berarak dalam majlis sambutan sahaja untuk menzahirkan bahawa kita mencontohi akhlak dan peribadi Baginda sebagai Idola kita..?

Inilah sebenarnya perkara yang perlu terzahir dalam diri setiap hamba Allah yang mengakui tiada Tuhan selain daripada-Nya, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Marilah sama-sama kita membenarkan di dalam diri kita ajaran-ajaran yang diseru oleh Rasulullah, tanamkan di dalam hati kecintaan kepada Baginda, praktikkan juga perilaku dan akhlaknya dalam kehidupan sebagai Muslim serta jadikanlah Baginda sebaik-baik contoh tauladan di dalam kaca mata dunia.


Siapa Kita Di Sisi Nabi Muhammad SAW


Setiap umat Baginda Nabi SAW mengharapkan syafaat yang berterusan daripadanya sehingga ke hari akhirat. Justeru, selayaknya Baginda ditauladani bukan sekadar mengikut ajaran-ajaran yang dikehendaki sahaja seperti solat lima (5) waktu, berpuasa bulan Ramadhan dan sebahagian amalan-amalan rutin seorang Muslim. Bahkan, lebih daripada itu ialah menerapkan setiap nilai-nilai murni yang ada pada diri Baginda secara keseluruhannya, Tidak dapat semua, ambillah satu demi satu sehingga apa yang ada itu, setidak-tidaknya kita fahami dan cuba amalkannya. Tertarik dengan sebuah hadith tentang hal Baginda di rumah seperti mana diriwayatkan daripada Sahih Bukhari:

Daripada Amrah:
"Seseorang bertanya kepada Aisyah, 'Apakah yang Rasulullah lakukan di rumah?'. Aisyah menjawab, 'Baginda sama seperti orang lain. Baginda menjahit pakaian, memerah susu kambing dan menyiapkan keperluan diri Baginda sendiri."

Betapa tingginya pekerti Baginda sehingga apa yang dilakukan di rumah juga kadang kala kita sebagai hamba kerdil tidak mampu melaksanakannya. Baginda punya darjat yang tinggi bahkan manusia terbaik yang diciptakan Allah di dunia ini. Walaupun demikian, Baginda tidak pernah sombong diri sebagai hamba Allah. Baginda tidak kekok melaksanakan urusan harian di rumah seperti mana seorang suri, menternak sebagaimana urusan Baginda sebelum diangkat sebagai Rasulullah hatta kepada bergurau senda bersama keluarga dengan penuh kasih sayang. Itu sekadar sedikit apa yang dapat digambarkan untuk kita renung sejenak dimana taraf kita untuk meraih syafaat terbaik daripada Baginda.

Oleh yang demikian, serulah akan kebaikan seperti mana yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW. Siapalah kita untuk bongkak dengan pangkat di dunia yang sementara ini. Apalah nilainya kedudukan di muka bumi sebagai orang yang punya kuasa namun tiada sedikit pun terlintas di hati untuk terus berjuang di jalan Allah seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah. Kembalikanlah diri kita kepada penyambungan dakwah Rasul, cintai akhlak Baginda, teruslah menyebar luas ajarannya dan jadilah seorang khalifah yang tegar meninggikan syiar Islam. Berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW.











SALAM MAULIDUR RASUL 1433H


Seluruh Ahli Jawatankuasa, Jemaah, Ahli Qariah dan Warga Surau Wahbah Al-Zuhaily, Presint 18 Fasa R12, Putrajaya berbesar hati mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1433H dengan penuh rasa kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Barisan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily berharap sambutan Maulidur Rasul kali ini akan membawa kita ke arah mewarisi ajaran Baginda seterusnya meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Marilah bersama meninggikan syiar Islam yang dibawa oleh Baginda. Penuhi rumah-rumah Allah dengan penuh rasa rendah diri dengan mencontohi akhlak terbaik Rasulullah. Salam Maulidur Rasul...

Thursday, 2 February 2012

Mangsa Kelar (Presint 18) Cerita Pengalaman

Semalam merupakan cuti umum bagi seluruh jajahan takluk Wilayah Persekutuan iaitu bersamaan dengan 1 Februari 2012. Dikesempatan cuti ini pelbagai program telah diatur oleh semua kakitangan yang berkhidmat dengan mana-mana agensi di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan. Bagi seorang hamba Allah ini (kami tidak siarkan nama di atas permintaan), beliau antara yang telah membuat satu majlis doa selamat dan kesyukuran kerana diberikan oleh Allah usia yang panjang walaupun berhadapan dengan situasi yang cukup getir. Beliau yang dimaksudkan ialah mangsa kejadian pecah rumah di Presint 18 Fasa R12 yang berlaku pada tanggal 24 Januari yang lalu.

Saya sendiri sebenarnya sempat bertemu dengan mangsa pada tarikh kejadian iaitu ketika mana pasukan forensik PDRM Bukit Aman menjalankan prosedur-prosedur forensik di rumah mangsa. Namun disebabkan mangsa mungkin masih dalam keadaan sakit dan terkejut, wakil Surau Wahbah Al-Zuhaily ketika itu tidak sempat berbual panjang. Akhirnya, disebabkan majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh mangsa dipanjangkan ke surau, maka dapatlah sesi bual bicara antara mangsa, AJK dan jemaah surau diadakan secara tidak formal. Cerita selanjutnya adalah antara kisah bagaimana kejadian berlaku, kecederaan yang dialami serta nasihat berguna buat semua penduduk Presint 18 amnya dan Fasa R12 secara khususnya.

Situasi Ketika Kejadian

Menurut mangsa, kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 7.00-7.30 pagi ketika mana beliau berada dirumah berseorangan. Isteri dan anak mangsa keluar kira-kira jam 7.00 pagi untuk ke hospital kerana anak lelakinya itu demam. Mangsa yang keseorangan di dalam bilik tidur utama tidak menyedari kehadiran penjenayah pada ketika isteri dan anaknya baru sahaja keluar lingkungan 5-10 minit, sebaliknya satu tikaman dari belakang telah mengakibatkan kecederaan kira-kira sedalam 2cm mengenai belakang tubuh mangsa. Mangsa yang tidak dapat melihat penjenayah seterusnya diikat dalam keadaan tertiarap di atas katil sambil meminta supaya tidak diapa-apakan. Dianggarkan bilangan penjenayah tidak kurang daripada 3 orang kesemuanya.

Permintaan mangsa tidak diendahkan oleh penjenayah yang tiba-tiba bertindak lebih agresif dengan cuba mencederakan bawah tengkuk mangsa menggunakan sebilah pisau. Percubaan pertama gagal kerana kedudukan mangsa yang tertiarap rapat mengenai tilam. Penjenayah yang bertindak nekad itu seterusnya menghalakan pisau disebelah kanan leher mangsa serta disembelih tanpa mengendahkan jeritan dan laungan takbir daripada mangsa.

 (Mangsa Bercerita Pengalaman Dikelar Penjenayah Bersama Pengerusi SWAZ)

Allah Lebih Berkuasa Daripada Makhluk

Sebagai orang Islam yang beriman, sudah pastinya kita percaya bahawa urusan mencabut nyawa seseorang manusia adalah tertakluk pada kuasa Allah Yang Maha Agung. Ianya tidak sesekali diberikan kepada makhluk lain walau setajam mana mata pisau yang digunakannya. Mangsa masih lagi diberikan usia yang berpanjangan oleh Allah Subhanahu Wataala. Ketika mana leher mangsa disembelih kira-kira 10cm panjang, mangsa berjaya melepaskan ikatan tangan dan meronta sehingga menyebabkan penjenayah panik dan lari keluar daripada rumah mangsa. Betapa besar bantuan yang diberikan oleh Allah terhadap hambanya. Maka, nikmat yang manakah lagi yang kita dustai daripada-Nya.

Mangsa yang cedera parah ketika itu cuba meminta bantuan daripada jiran-jiran terdekat, namun disebabkan kejadian berlaku pada waktu cuti umum (Tahun Baru Cina), kebanyakan penghuni tidak berada di rumah. Mangsa hanya mendapat pertolongan setelah berjalan sehingga ke stesen minyak Petronas yang terletak berhampiran dengan rumah mangsa. Terima kasih kepada kakitangan Petronas yang menghubungi ambulans dan mangsa terus dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Apa pun mangsa yang menerima hampir 20 jahitan dileher dan belakang badan kini berada dalam keadaan stabil.
(Kesan Kecederaan Di Leher Mangsa Yang Dikelar Penjenayah)

Pengajaran Buat Semua

Dalam perbualan dengan pihak surau malam tadi, mangsa berpesan kepada semua supaya mengunci pintu rumah dalam apa jua keadaan. Walaupun tindakan seperti itu dilihat seperti mengasingkan diri daripada bergaul dengan kejiranan, namun faktor keselamatan yang tidak boleh diduga ini memungkinkan kaum keluarga berhadapan risiko seperti pecah rumah, samun dan sebagainya. Saya sedikit bersetuju dengan pandangan beliau memandangkan urusan keselataman di Presint 18 Fasa R12 ini masih lagi belum ada pihak yang tampil dan sedia memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Bagi pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily pula, penekanan terhadap hidup secara bermasyarakat amatlah perlu dititikberatkan dewasa ini. Sikap mengambil tahu permasalahan jiran, saling membantu dan mengikuti perkembangan program-program komuniti sangat dituntut. Hubungan erat antara penduduk ini adalah kunci utama kekuatan sesebuah entiti masyarakat. Buangkan perasaan pentingkan diri sendiri, hapuskan rasa kurang senang dengan persatuan penduduk serta ubatilah penyakit elegik kepada institusi surau dan masjid. InsyaAllah bukan sahaja penjenayah dapat diusir bahkan lebih besar ialah hasutan syaitan yang sentiasa bermain di ruang minda kita.

Akhirnya, saya mewakili seluruh jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin menyeru agar semua penduduk berhati-hati dan menjaga keselataman diri serta keluarga. Saya juga ingin menggalakkan penduduk aktif di dalam komuniti sama ada bersama pihak surau atau Rukun Tetangga (KRT). Kita adalah pihak yang perlu bertanggungjawab bersama di dalam permasalahan komuniti kita. Jangan tunggu sampai kita menjadi mangsa, kemudian barulah menyedari akan kepentingan tanggungjawab sejagat ini. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari musibah dan terus-terusan memberi rahmat kepada persekitaran kita. InsyaAllah..