Sila Klik Nuffnang

Tuesday, 14 August 2012

Majlis Berbuka Puasa Yang Sangat Meriah dan Harmoni

Pada hari ahad yang lepas (12 ogos 2012), Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun berjaya mengadakan Majlis Berbuka Puasa sempena bulan Ramadhan 1433H. Majlis yang disekalikan dengan khatam Al-Quran dan slot ceramah Ramadhan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk dan ahli qariah surau.

Majlis bermula seawal jam 5.30 petang dengan lebih 20 orang peserta menyertai khatam Al-Quran setelah mereka selesai menghabiskan program taddarus Al-Quran 30 juzuk 2 hari sebelumnya. Tepat jam 6.40 petang Ustaz Mohd Aizam bin Mas'ud daripada JAKIM telah menyampaikan sesi ceramah Ramadhan yang amat menarik minat hadirin. Suasana meriah dan harmoni dapat diwujudkan sepanjang majlis ini yang menjadikan ianya antara yang terbaik semenjak 4 tahun ianya diadakan.

Berikut adalah sedikit gambar-gambar yang menunjukkan kemeriahan majlis tersebut. Semoga ianya dapat diadakan secara berterusan.
Para petugas mula menyediakan tempat sejak jam 5.00 petang.

Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily sempat meninjau persiapan majlis di sebelah petang.

Peserta-peserta taddarus sedang menunggu untuk majlis khatam Al-Quran.

Setiausaha, Pen. Setiausaha dan Bendahari hadir dengan gaya sedondon. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Putrajaya yang memberi sumbangan pakaian.

Majlis khatam Al-Quran dijayakan oleh peserta dan diraikan juga oleh para hadirin di kalangan ahli qariah surau.

En. Fikri memulakan majlis penyampaian cenderahati kepada peserta taddarus dan petugas Ramadhan.

Antara yang hadir ketika majlis khatam Al-Quran.

En. Faisal bersama 2 orang heronya.

Pengerusi, En. Abdul Azim menyampaikan ucapan penghargaan kepada peserta taddarus dan petugas Ramadhan.

Pengacara majlis sibuk dengan teks ucapan aturcaranya.

Sebahagian daripada muslimat yang telah hadir sejak dari awal petang.

Timb. Pengerusi, En. Ali menyantuni penceramah jemputan Ustaz Aizam.

Tibanya waktu berbuka puasa bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya.

Muslimat disediakan ruang khas untuk kemudahan berbuka puasa.

Santai sepanjang tembok di Surau Wahbah Al-Zuhaily ketika waktu berbuka puasa.

En. Yusri antara baby sitter yang paling sibuk pada majlis tersebut.

S/U En. Mustaim tidak mempedulikan lagi pancaran kamera disebabkan terlalu asyik menikmati juadah berbuka puasa.

Juadah makan malam yang disediakan oleh pihak surau cukup untuk menampung jumlah kehadiran kira-kira hampir 200 orang.

Pengerusi juga terpaksa menjadi baby sitter sambil makan malam bersama penceramah jemputan.

Petugas terpaksa membentang tikar tambahan kerana kehadiran yang memuaskan di kalangan ahli qariah.

Suasana sebegini cukup menggamit kepuasan di kalangan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily yang menganjurkan majlis tersebut.

InsyaAllah... Kemeriahan seperti ini akan terus dicipta bersama usaha kuat pihak pengurusan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Keceriaan jelas terpancar di raut wajah para petugas selepas selesai majlis. Semoga berjumpa lagi di majlis-majlis akan datang.

Monday, 13 August 2012

Sudahkah Anda Tunaikan Kewajipan Zakat Fitrah..??

Bonus setengah bulan gaji telah pun dibayar minggu lepas. Hari ini, gaji kakitangan awam bagi bulan ogos juga telah dibayar lebih awal bagi kemudahan mempersiapkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Namun, sebelum terlajak berbelanja sana sini, baik rasanya diingatkan dengan kewajipan setiap orang Islam seperti mana yang termaktub di dalam Rukun Islam.

Zakat fitrah ada kewajipan bagi seluruh umat Islam sama ada yang berkedudukan tinggi, sederhana dan golongan marhaen kebanyakan. Kewajipan zakat fitrah ini jatuh pada Bulan Ramadhan semula daripada hari pertama sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal nanti. Jika ingin bercerita tentang faedah, kelebihan, waktu afdhal, sunat dan wajib membayar zakat ini pastinya panjang lebar perbicaraannya. Maka, eloklah jika ianya dihuraikan di dalam kuliah atau majlis-majlis ilmu.

Penulis ingin memaklumkan kepada sesiapa yang masih lagi belum menunaikan zakat fitrah, tahun ini kadar bagi Wilayah Persekutuan adalah sebanyak RM 7.00 sahaja. Jika dibandingkan dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita (bonus & gaji bulanan), jauh lebih rendah. Begitu juga jika dibandingkan pula dengan harga 4-5 pasang baju raya yang kita beli untuk Aidilfitri nanti. Apalah sangat nilai itu jika dibanding pula dengan pahala dan manfaat yang diperolehi daripada menunaikan rukun Islam yang keempat ini.

Berikut adalah kadar bayaran zakat fitrah bagi keseluruhan negeri di Malaysia.

* Bagi negeri Johor dan Terengganu berdasarkan harga, gred dan jenis beras yang dimakan.

Kemudahan Bayaran Zakat Fitrah

Kebelakangan ini penulis tertarik dengan beberapa transformasi yang telah dilakukan bagi memberi kemudahan pembayaran zakat fitrah ini. Bermula daripada inisiatif pembayaran zakat online melalui FPX, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sehinggalah kepada pembayaran secara kaunter drive thru. Semuanya adalah tidak lain semata-mata untuk memastikan umat Islam dapat menunaikan kewajipan ini tanpa sebarang alasan.

Kaunter zakat drive thru di Masjid Tuanku Mizan Putrajaya

Inilah salah satu kehebatan yang ada di Putrajaya. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya telah pun melaksanakan satu kaedah yang lebih mudah kepada warga Putrajaya iaitu dengan membuka kaunter zakt fitrah secara drive thru (pandu lalu) di hadapan pintu utama masjid berkenaan. Ini suatu inisiatif yang sangat bernas di saat umat masa kini yang serba ringkas dan memburu kepantasan masa.

Namun begitu, bagi penulis sendiri, walaupun pelbagai kaedah menggunakan teknologi semasa telah diperkenalkan, penulis masih memilih untuk menunaikan fitrah di masjid seperti mana kebiasaannya. Masjid Negara Kuala Lumpur membuka kaunternya setiap hari bagi kemudahan warga kota. Begitu juga kaunter-kaunter yang dibuka secara mobile di serata pelusuk Kuala Lumpur termasuklah di pusat membeli belah. Kaedah tradisional membayar kepada amil dilantik adalah lebih melekat di dalam jiwa.

Pembayaran di kaunter tetap menajdi pilihan
Penulis menyeru kepada semua agar ditunaikan segera tuntutan yang wajib ini sebelum Ramadhan meninggalkan kita. Di dalam kesibukan berbelanja singgah-singgahlah ke kaunter zakat yang dibuka di serata tempat terutamanya di pusat membeli belah. Buat penduduk Presint 18, kaunter zakat fitrah juga tersedia di Stesen Minyak Petronas untuk kemudahan anda semua.


Alhamdulillah tahun ni penulis dah sempat menunaikan kewajipan tersebut untuk diri sendiri dan juga tanggungan yang lain seramai 4 orang. Tahun depan belum tau lagi. Kena tanya madam dulu kot2 kalau kena tambah lagi satu resit. Hehehe.. Selamat menunaikan kewajipan zakat fitrah. Jangan lupa yer..

Thursday, 9 August 2012

Andai Ini Ramadhan Terakhirku...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ramadhan kian menghampiri penghujungnya. Fasa terakhir akan bermula sebaik sahaja kiraan Ramadhan menjejak angka 21. Seharusnya, saat ini penghitungan amalan diri telah mula dikira-kira. Matlamat utama untuk menjadi orang yang bertaqwa adakah berjaya digapai atau masih di dalam awangan sahaja.

Adakah kita akan terfikir bahawa Ramadhan akan muncul lagi pada tahun hadapan? Apakah layak untuk Allah beri kesempatan untuk terus menemui Ramadhan seterusnya? Bilakah pula pengakhiran Ramadhan dalam kalender diri kita? Hidup ini pasti bukan untuk selamanya. Maka akan ada di dalam hidup kita Ramadhan yang terakhir untuk beribadah kepada Allah. Persoalkan ini di dalam diri kita: Andai Ini Ramadhan Terakhirku...


Sempena Majlis Berbuka Puasa yang akan diadakan pada 12 Ogos 2012 (Ahad) ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu slot ceramah khas Ramadhan yang bertajuk "Andai Ini Ramadhan Terakhirku". Slot ceramah ini akan mengupas persoalan yang dinyatakan di atas dengan menjemput Ustaz Mohd Aizam bin Mas'ud sebagai penceramahnya.

Marilah sama-sama kita mengimarahkan slot ceramah ini untuk menghayati sejauh mana Ramadhan ini telah diisi dengan sebaik-baik pengisian. Renungkanlah betapa indahnya Ramadhan ini jika dipenuhi dengan majlis-majlis ilmu yang dijanjikan lembayung rahmat daripada Allah SWT.

Semoga kita mendapat manfaat daripada ceramah ini. Kerana tiada jaminan kita akan terus berada pada Ramadhan yang akan datang. Andai ini... Ramadhan terakhirku....

Misteri Apa Yang Tersembunyi Itu...?

Cerita misteri ini telah lama diperkatakan orang. Pelbagai andaian wujud dengan bermacam-macam pendapat dan spekulasi kedengaran bagi merungkai sebuah misteri yang tiada kesudahan itu. Ada yang cuba mencari jalan mudah dengan menjenguk-jenguk di jendela rumah. Tidak kurang pula membuat rumusan seolah-olah ianya sebuah penyelesaian matematik. Mungkin juga paling ramai yang biasa kita dengar ialah perasaan serun di hati hingga berdiri bulu roma di lengan.

Gambar sekadar untuk suspen

Berapa Juzuk Dah..?

Menjelang penggal ketiga Ramadhan 1433H yang bermula malam ini, ramai yang akan mula bertanya-tanya sejauh mana progress program taddarus Al-Quran tahun ini. Apa tidaknya, waktu ini pastinya kebanyakan qariah-qariah taddarus di masjid, surau, madrasah, sekolah dan pejabat-pejabat sedang berkira-kira untuk mengadakan majlis khatam Al-Quran.


Pasti pelbagai persiapan telah pun diatur oleh penganjur bagi memastikan majlis khatam itu nanti berjaya dan yang paling penting para pesertanya benar-benar telah khatam 30 juzuk Al-Quran. Kalau ambil kiraan satu hari satu juzuk, nampaknya Hari Raya Aidilfitri nanti lah baru boleh diadakan khatam. Bagaimana ya...? Nak baca laju-laju ke..? Banyak "trafic light" yang kena langgar nanti. Hukum tajwid tunggang langgang pulak nanti. Lagi satu hal, bukannya semua yang pandu ferrari. "Datsun tonggek" keluaran 1970 pun masih follow dibelakang.

Cabaran Program Taddarus Al-Quran

Inilah dikatakan cabaran bagi sesebuah penganjuran program taddarus Al-Quran di masjid, surau dan pejabat. Perkara pertama yang difikirkan pasti kesudahan 30 juzuk yang menepati target masa. Alternatifnya, diwujudkan beberapa kumpulan kecil dan dibahagi juzuk-juzuk tertentu untuk dibaca. Penting disini ialah, setiap kumpulan perlu ada seorang pembimbing yang arif tentang kaedah bacaan, makhraj dan tajwid.

Cabaran yang paling besar disesetengah tempat yang kurang popular ialah untuk menarik minat masayarakat setempat untuk bersama di dalam program taddarus. Di surau-surau 'amatur' terutamanya, mungkin hanya boleh mengumpul bilangan peserta kurng daripada 20 orang. Para muslimat sudah tentu sukar memberi komitmen masa untuk bersama di dalam program taddarus. Alasan menjaga anak, menyediakan juadah, mengemas rumah dan sebagainya akan disusun untuk memperlihatkan betapa sukarnya mereka untuk bersama dalam program membesarkan Al-Quran ini. Mungkin sahaja di rumah mereka membaca, namun adakah terjamin kualiti bacaan tersebut tanpa bimbingan.

Bagi kaum lelaki pula, susah hendak diperkatakan. Selepas berbuka puasa, rasanya bilangan yang mencuci periuk belanga sudah tentunya paling minoriti. Hanya bersandar di depan televisyen menyaksikan warta berita lalu terlelap kekenyangan. Malangnya jika itu adalah sikap majoriti lelaki Muslim masa kini. Belum ditambah lagi dengan yang beralasan bacaannya tidak lancar dan akan melambatkan peserta-peserta lain bertaddarus. Itu semua perspektif yang silap. Taddarus bukan pertandingan kejar mengejar seperti yang disangkakan. Taddarus adalah ruang terbaik memperbaiki bacaan dan belajar sesuatu daripada mereka yang boleh membimbing bacaan kita.

Belajarlah Sesuatu Dari Program Ini

Bagi penulis, penekanan kepada memperbaiki kualiti bacaan Al-Quran adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan sepanjang program taddarus Al-Quran. Mungkin hari ini kita merangkak, esok lusa sudah mampu bertatih, minggu depan berjalan lurus dan akhirnya pasti kita mampu berlari sama laju dengan orang lain. Itulah hakikat sebuah pembelajaran. Jiwa Muslim secara fitrahnya pasti akan mampu menguasai pembelajaran Al-Quran. Tinggal lagi tekad perlu ditanam di dalam diri sendiri.

Rugi rasanya jika kesempatan bertaddarus Al-Quran ini tidak direbut oleh masyarakat kita hari ini. Sedang kita bersungguh-sungguh menghantar anak ke kelas-kelas Al-Quran, pernahkah kita nilai tahap kita pula dimana. Penulis merasakan bahawa, sebagai pemimpin keluarga (suami/bapa) dan timbalannya (isteri/ibu), ilmu Al-Quran WAJIB ada di dalam diri mereka terlebih dahulu sebelum diimplementasikan kepada anak-anak. Itulah sebenar-benar Muslim di dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Belum terlambat untuk belajar sesuatu daripada Al-Quran. Baik dari segi bacaannya, ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya hatta kepada penghayatan yang sangat mendalam. Ambillah peluang untuk bersama di dalam program yang meninggikan syiar Al-Quran supaya kita sebagai Muslim dipandang mulia oleh kaum-kaum lain. Setiap penciptaan yang dijadikan oleh Allah tidak lain pasti akan tunduk kepada apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di dalam kitab Al-Quran.

Firman Allah:

Wednesday, 8 August 2012

AzizulHasni Awang: Kebanggaan Islam dan Malaysia

"Jijoe Hampir Buat Kejutan". "Jijoe Terkepung Lap Terakhir". "Dramatic". "Azizulhasni Walks Tall". Itu adalah sebahagian daripada tajuk utama akhbar arus perdana selepas menyaksikan impian tambahan pingat negara tidak kesampaian dalam acara akhir Keirin lelaki Olimpik 2012 malam tadi.

Azizulhasni Awang @ therocketpocketman

Tiada sedikit pun kekecewaan yang terpancar di benak fikiran rakyat Malaysia ketika mana menyaksikan Azizulhasni Awang @ ThePocketRocketMan memberi tentangan yang baik ketika menduduki tempat keenam acara tersebut. Majoriti akan bersetuju bahawa jaguh basikal negara itu tidak mampu memecut langsung ketika mana posisi beliau di dalam keadaan terkepung. Penulis juga melihat siaran langsung jam 1.00 pagi itu. Nyata jika ada kesempatan kedua, pasti Jijoe adalah pemenang pingat emas pertama Malaysia.

Tuesday, 7 August 2012

Majlis Berbuka Puasa Surau Wahbah Al-Zuhaily

Assalamualaikum wbt

Dimaklumkan kepada seluruh penduduk Presint 18 khususnya Fasa 18 R12 dan sekitar, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu majlis Berbuka Puasa dan Mahabbah penduduk seperti mana ketetapan yang dinyatakan pada poster di bawah.

Tarikh: 12 Ogos 2012 (Ahad)

Seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan penuh rasa besar hati menjemput para penduduk, ahli qariah, para pengusaha perniagaan, syarikat penyelenggaraan dan orang ramai yang berkelapangan untuk sama-sama hadir ke majlis ini. InsyaAllah dengan kehadiran penduduk pada Iftar Jam'ie ini akan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan penduduk dan ahli qariah selain mewujudkan perasaan mahabbah sesama umat Islam setempat.

Pada majlis berbuka puasa itu nanti, pihak surau juga akan mengadakan majlis khatam Al-Quran bagi peserta-peserta taddarus sepanjang Ramadhan dan juga tazkirah Ramadhan  bertajuk "Andai Ini Ramadhan Terakhirku", yang akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Aizam bin Mas'od, dari JAKIM. Semua penduduk adalah dijemput bersama di dalam kedua-dua aktiviti tersebut.

Diharap majlis ini dapat diwar-warkan kepada seluruh penduduk terutamanya di Presint 18 Fasa R12 untuk hadir beramai-ramai. Hidangan dan juadah istimewa disediakan khas untuk anda. Jangan lepaskan peluang ini kerana sesungguhnya majlis seperti ini juga akan dijanjikan pahala oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang memberi makan orang berpuasa, maka baginya pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi sedikit pun pahalanya." (Riwayat At-Tirmizi)