Sila Klik Nuffnang

Thursday 28 February 2013

Abadikan Kasih Seorang Ayah

Pernahkah kita terfikir betapa tingginya nilai kasih seorang ayah terhadap anak? Pasti tidak kesampaian akal ini untuk memikirkan betapa hebatnya kasih sayang itu. Namun, kita masih boleh menghayatinya melalui lakaran kartun di bawah:


Coretan ringkas kasih seorang ayah ini amat menyentuh hati. Mungkin sewaktu kecil dulu kita tidak menyedari hakikat ini. Namun, apabila kita sendiri menjadi seorang ayah, pasti kita akan terfikir... "Dahulu, ayahku juga pasti melakukan seperti apa yang aku lakukan kepada anakku".

Sahabatku... Adakah kita telah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab kita pula kepada seorang insan yang bergelar ayah? Di saat kita kecil, dia menyiram penuh cermat tubuh anaknya ini. Dia juga pasti mengenakan kita dengan pakaian-pakaian yang segak. Tubuhnya juga menjadi tempat permainan kita di waktu lapang.

Kini.. Termampukah pula untuk kita siram tubuh kaku seorang ayah di saat nyawanya diambil Ilahi..? Arifkah kita untuk mempersiapkan pakaian terkahirnya sebelum bertandang ke alam barzakh..? Gagahkah kita untuk mengusung jasad itu ke perjalanan terakhirnya di dunia ini..? 

Marilah sama-sama kita lengkapkan pengetahuan fardhu kifayah di dalam diri kita. Kematian insan-insan tersayang pasti akan menjengah kehidupan kita. Maka, bersedialah untuk membalas jasa kedua ibu bapa kita. Abadikan kasih mereka di saat mereka mengakhiri usia di bumi Allah ini.

Pengumuman

Kursus Pengurusan Jenazah, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan diadakan pada ketetapan seperti berikut:

Tarikh:  
9 Mac 2013 (Sabtu)

Masa:  
8.30 pagi - 5.00 petang

Tempat: 
 Surau Wahbah Al-Zuhaily
Presint 18 Fasa R12, Putrajaya

Yuran  :  RM 5.00 seorang

Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran, sila hubungi En. Mohd Arifin di talian 013-9815378.

Bersamalah kita menimba ilmu pengurusan jenazah ini. Semoga ia akan dapat menjadi bekalan tatkala kita diperlukan oleh insan-insan tersayang yang pergi mengadap Ilahi. InsyaAllah..

Monday 25 February 2013

Semudah Inikah Mempertahankan Kalimah Allah?

Seawal pagi hari ini, penulis memulakan langkahan dengan membelek surat khabar arus perdana yang percuma untuk dibaca oleh penulis. Beberapa muka surat dibuka penuh bosan kerana rata-rata ianya hanya berkenaan hentaman sebelah pihak kepada satu pihak yang lain. Lebih mengejutkan, ruangan sukan juga sudah mula dimanipulasi.

Di dalam banyak-banyak artikel yang dibelek, ada satu tajuk yang penulis rasa perlu penulis sentuh dan menyelitkan hujahan untuk tatapan semua. Walaubagaimanapun, apa yang ingin penulis nyatakan nanti tidaklah berbentuk fatwa atau amanat, cuma sekadar check & balance daripada berita-berita yang kita baca muktahir ini.
Isu kalimah Allah masih belum terhenti polemiknya.

Isu kalimah Allah adalah topik yang ingin penulis sentuh. Isu yang sejak dari bulan Disember itu tidak henti-henti diperkatakan. Pelbagai kaedah dan program dilaksanakan oleh sesetengah kumpulan untuk menyatakan pendirian masing-masing. Penulis tidak berminat berhujah berkenaan pendirian penulis, kerana itu lebih baik disifatkan sebagai ketentuan antara penulis dengan Tuhan sekalian alam. Namun begitu, penulis berminat untuk komen tatacara beberapa pihak yang seolah-olah dilihatkan sebagai "pejuang" yang mempertahankan kalimah Allah tersebut.

Umum mengetahui tentang beberapa pihak yang lantang bersuara membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Mereka seolah menonjolkan diri sebagai seorang Muslim sejati dengan mengangkat martabat kalimah Allah itu dari dikotori oleh Non-Muslim. Namun sedarkah mereka bahawa, mereka sendiri yang menyatakan bahawa diri mereka adalah pejuang Islam (dalam isu kalimah Allah) telah mengotori kesucian kalimah itu? Cuba lihat apa yang berlaku baru-baru ini.

Kembara Jelajah Pertahankan Kalimah Allah di Alor Setar.

Gambar di atas adalah satu satu contoh program yang dianjurkan oleh "Juara Kalimah Allah" baru-baru ini. Hebat bukan. Orang kita memang terkenal dengan perarakan dan kembara walau atas apa sebab sekali pun. Kisah berarak ini bukan lagi tertumpu kepada kerja-kerja kahwin atau pun sambutan hari-hari tertentu, tetapi sudah sampai kepada program mempertahankan kalimah Allah. "Syabas" diucapkan.

Namun disebalik semua ini, seharusnya kita lebih terkilan dengan apa yang boleh dilihat sepanjang "kembara" ini. Nama program cukup hebat. Kalau budak-budak darjah satu melihatnya, pasti dia akan berkata kepada bapanya; "Abah, diorang ni mesti masuk syurga kan..?". Si bapa pula pasti akan menggaru-garu kepala untuk mencari jawapan yang sesuai.


Lihatlah gambar di atas, "kehebatan" anak muda ini ditonjolkan dengan menyertai kembara dengan memakai t-shirt yang melaungkan slogan mempertahankan kalimah Allah. Tapi sayangnya, ada rantai pula di lehernya. Barangkali itu adalah tag peserta kembara agaknya.


Pemuda pemudi dengan pakaian merah ini kelihatan berbangga dengan penyertaan mereka di dalam kembara ini. Mereka menunggang motosikal bersama-sama dengan akhlak yang bertentangan slogan mempertahankan kalimah Allah itu. Apakah ini yang kita mahukan apabila kita lantang untuk menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?


Inilah antara gelagat yang dibangga-banggakan oleh para "mujahidin" yang bermati-matian mempertahankan kalimah Allah. Apakah semudah ini kerja-kerja mempertahankan kalimah Allah. Sedangkan apa yang digambarkan oleh masyarakat Islam hari ini jauh daripada apa yang disyariatkan oleh Islam kepada hamba yang melafazkan kalimah Allah sebagai Tuhannya.

Penulis sangat sedih dengan apa yang terjadi. Islam sebenarnya bukan semudah berarak memperjuangkan kalimah Allah semata-mata. Islam itu adalah cara hidup yang lengkap daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada merumit-rumit perbahasan. Adakah tiada perasaan malu kepada Allah di atas apa yang ditonjolkan seperti ini? Apakah kita hanya tertuhankan huruf A.L.L.A.H sahaja? Allah bukan sekadar huruf. Allah adalah Tuhan yang wajib disembah oleh sekalian makhluk di muka bumi ini.

Cerminlah diri wahai sekalian umat manusia yang beragama Islam. Kita terlalu sibuk terhadap perkara yang kurang mustahaknya. Akhlak anak-anak bangsa kita semakin hari semakin dihakis kerosakan pengaruh budaya-budaya jahiliah. Mereka masih tersenyum megah biarpun mata kita sakit melihat betapa rendahnya martabat agama yang mereka cuba pertontonkan.


Cukuplah merumitkan suasana dengan omongan kosong sebegini. Tubuhlah berapa banyak "team" sekali pun untuk mempertahankan kalimah Allah. Tetapi jika ianya jauh daripada apa yang di perintah oleh Allah sebagai pemilik kalimah itu, maka kita tetap jauh dari keberkatannya.

Sujudlah kepada Allah dengan sebenar-benar penyerahan sebagai hamba-Nya. Agar di hati kita akan lahir rasa gerun dengan azab seksa Allah yang tidak terperi sakitnya. Allah tetap Tuhan sekalian alam. Kembalilah kepadanya dengan penuh ketakwaan. Semoga kalimah Allah bukan sekadar retorik bermusim, tetapi dipertahankan dengan jiwa sebenar seorang Muslim.

Friday 15 February 2013

Suasana Ceramah Maulidur Rasul 1434H (2)

Kemeriahan dan pengimarahan di Surau Wahbah Al-Zuhaily ketika Program Ceramah Maulidur Rasul 1434H sempat dirakamkan suasananya selepas ceramah selesai. Ini adalah tanda betapa sebenarnya masyarakat di Putrajaya amat dahagakan majlis-majlis ilmiah seperti ini. Anda perlu nilai sebagai perbandingan apa yang lebih baik perlu dilakukan untuk penduduk Putrajaya.

Al-Fadhil Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus menjadi imam solat maghrib dan isyak berjemaah serta memimpin bacaan doa. Ya Allah, jadikanlah bumi Putrajaya ini sentiasa dinaungi oleh rahmat-Mu. Muliakan Negeri kami dengan majlis-majlis ilmu yang membesarkan-Mu. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Limpahan jemaah sehingga ke bahagian luar Surau untuk sama-sama menghayati majlis ilmu paling besar pernah dinajurkan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily.


AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily bertungkus lumus menyediakan jamuan makan kepada hadirin. Sambutan hangat yang menyebabkan makanan terpaksa dibahagikan dengan sebaik mungkin.

Kelihatan AJK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut sama membantu kerja-kerja jamuan di sebelah belakang Surau.

Para jemaah yang hadir mengambil kesempatan untuk mendekati Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus seusai solat isyak berjemaah.

Sudut Buletin SWAZ yang memaparkan suasana beberapa program yang dianjurkan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Para hadirin mengambil kesempatan bersamalan dengan Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus. Ada juga yang merakamkan gambar kenangan bersama ulama' kesayangan mereka ini.

Orang kuat program, Sdr. Faisal tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar bersama Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus walaupun beliau sedang menyantuni para jemaah.

Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily, En. Abdul Azim bin Abu Ziden merakamkan ucapan penghargaan di dalam video program. Video program insyaAllah akan dijual sebagai dana pengimarahan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Sebahagian AJK dan para jemaah yang hadir mengambil kesempatan merakamkan gambar bersama Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Tidak ketinggalan sahabat-sahabat yang membawa anak kecil bergambar bersama ulama'. Mudah-mudahan anak-anak ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Abang Kamarudzaman (kiri), antara AJK kuat yang bertungkus lumus mengendalikan kerja-kerja belakang tabir, sempat merakamkan gambar bersama Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Para hadirin dihidangkan dengan sedikit jamuan makan malam yang ditaja khas oleh Dato' Jawaher Ali, pemilik perusahaan Restoran Ali Maju.

Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus menikmati jamuan makan malam dengan penuh selera memandang ini adalah kami pertama beliau memberikan ceramah di Surau/Masjid kawasan Putrajaya.

Suasana di khemah utama ketika jamuan makan malam. Para hadirin terpaksa bergilir untuk mendapatkan tempat dan ada yang terpaksa mencari kawasan lain di sekitar Surau.

Pengerusi Surau menyantuni para hadirin ketika makan malam termasuklah pegawai khas Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta AJK PAS Kawasan Putrajaya.

Para muslimat menikmati hidangan makan malam di sebelah tepi dewan solat wanita sambil mengambil kesempatan berukhuwah sesama mereka.
 
Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily mengiringi Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus berlepas pulang meninggalkan kenangan ceramah pertamanya di Putrajaya bersama Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Sosok tubuh ini pasti akan dirindui oleh masyarakat di Putrajaya. Berbelas tahun lamanya untuk menanti kehadiran beliau. Selepas ini diharap bumi Putrajaya akan terus digegarkan dengan kuliah dan ceramahnya. Ya Allah.. Berikanlah kesihatan yang berterusan kepada Al-Fadhil Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus. Semoga kehadirannya ke bumi Putrajaya ini menjadi pemangkin berkembangnya majlis ilmu di Wilayah tercinta ini. InsyaAllah..


P/S:  Surau Wahbah Al-Zuhaily sedang merancang untuk merealisasikan kehadiran Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ke Putrajaya di dalam program ceramah/kuliah. Sama-sama doakan agar kami berjaya. Semoga dipermudahkan oleh Allah biar pun pelbagai rintangan terpaksa lalui.

Suasana Ceramah Maulidur Rasul 1434H (1)

7 Februari 2013 pastinya kekal menjadi kenangan sepanjang sejarah perjalanan kerja-kerja dakwah bersama Surau Wahbah Al-Zuhaily. Surau yang juga mencipta pelbagai sejarah tersendiri walaupun hanya berusia 4 tahun hayatnya dan dikendalikan juga oleh tenaga-tenaga muda yang cetek pengalamannya.

Umum telah maklum berkenaan sejarah baru di bumi Putrajaya apabila seorang pendakwah dan ulama' terkenal di Malaysia julung kalinya berceramah di Wilayah ini. Surau Wahbah Al-Zuhaily menjadi tempat ukiran sejarah itu. Semoga sejarah ini tidak terhenti sehingga ini. Diharap kesinambungannya kekal berterusan. 

Di sini penulis ingin berkongsi detik-detik bersejarah itu secara bergambar. Biarlah ia berbicara bersama kepingan-kepingan kenangan yang dirakam oleh AJK dan sahabat-sahabat yang sudi untuk dikongsikan kepada umum. Video juga ada dirakamkan pada program itu, insyaAllah dikesempatan lain video itu juga akan dikongsi bersama.

Kelihatan Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily (En. Abdul Azim) sedang menanti ketibaan penceramah dan juga hadirin.

Mengejutkan apabila terdapat penjaja memohon untuk berniaga di perkarangan Surau setelah mendapat info Program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H ini.

Program bermula selepas solat Maghrib berjemaah dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Suasana yang pasti mengundang rindu terhadap Baginda.

Ustaz Aqif memimpin bacaan selawat dengan penuh semangat bersama jemaah yang lain.

Jurukamera turut sama berselawat sambil mendapatkan video shot terbaik untuk dijadikan rakaman sepanjang program ini.

Pengacara majlis (En. Fikri) memulakan program ceramah perdana dengan ucapan alu-aluan dan selamat datang kepada penceramah dan seluruh hadirin.

Y. Bhg. Al-Fadhil Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus, mengambil tempat untuk memulakan ceramah perdana Maulidur Rasul 1434H.

Para hadirin menanti dengan penuh sabar ceramah yang akan disampaikain oleh Dato' Ismail Kamus.
Para muslimat yang hadir sejak dari awal dan sama-sama mendirikan solat maghrib berjemaah.

Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus memulakan bicara dengan mengunkap keindahan susunan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Para pencinta ilmu tekun mendengar butiran mutiara daripada seorang ulama'.

Walaupun sedikit kelihatan uzur, namun ceramah Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus masih lagi bertenaga dan sentiasa dihayati bibit-bibit katanya oleh para hadirin.

Pelbagai reaksi daripada para hadirin terhadap isi kandungan ceramah. Ada yang tersenyum, ada yang khusyuk dan ada juga yang serius mengambil inti pati ceramah sebagai tambahan ilmu di dada.

Gelagat seorang muslimat yang menarik perhatian lensa kamera. Biar pun dikejauhan, ukhti ini tetap merakam kenagan berada di dalam majlis ilmu bersama Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Suasana Surau Wahbah Al-Zuhaily yang dipenuhi hadirin sehingga ke pintu masuk.

Ini pula keadaan yang dirakam di sebelah depan surau yang dipenuhi pencinta-pencinta majlis ilmu.

Ustaz Ismail Kamus: "Benarlah pesan Luqman kepada anaknya, 'wahai anakku, jika engkau melihat majlis ilmu, duduklah kamu di dalamnya (seperti hari ini), moga-moga jika rahmat diturunkan engkau juga akan tumpang sama. Jika terlihat majlis maksiat macam konsert jom heboh, jangan sesekali kau singgah. Bimbang nanti jika diturunkan azab engkau juga akan terkena sama'."

Sesekali Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus berceloteh, pasti akan mencuit hati para hadirin. Inilah yang dikatakan, majlis agama juga ada hiburan untuk hati-hati manusia.

Ustaz Ismail Kamus: " Tidur itu mati sementara, Mati itu tidur selama-lamanya." Allahu Akbar.. Adakah kita telah benar-benar bersedia..?

Ustaz Ismail Kamus: "Menziarah kubur itu penting, bersedia untuk kubur itu lebih penting."

Muslimat yang hadir ke majlis ilmu pasti tergolong di dalam serikandi Islam. Kelihatan Ketua Unit Qariah, JAWI Caw. Putrajaya turut sama hadit memeriahkan majlis.

Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily menyampaikan cenderahati kepada Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Lagi paparan suasana selepas selesai majlis pada post kedua "Suasana Ceramah Maulidur Rasul 1434H (2)"

Tuesday 12 February 2013

Tanda Kasih Kepada Nabi Muhammad SAW

Bersempena Program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H oleh Y.Bhg. Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus baru-baru ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily juga telah menyusun tentatif program dengan slot alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Para hadirin berdiri mengalunkan selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW

Slot selawat yang mana ingin menzahirkan tanda kasih umat Islam di Putrajaya kepada Baginda Nabi Muhammad SAW ini diadakan sejurus selepas solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Dato' Ismail Kamus. Sebelum bermulanya ceramah oleh beliau, para hadirin semua dipohon untuk berdiri dan sama-sama mengalunkan selawat yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Aqif.
Ustaz Aqif memimpin alunan selawat.

Beginilah yang dikatakan nikmat sebagai seorang Muslim di Malaysia. Kita dilahirkan dengan sempurna sebagai hamba Allah yang beriman kepada-Nya serta mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh-Nya. Maka, nikmat ini wajib digunakan sebaiknya oleh kita. Slot selawat ini khas ditujukan sebagai tanda kasih dan cinta kami kepadamu wahai kekasih Allah.
Sebahagian Muslimat turut sama memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mudah-mudahan ini bukanlah selawat yang terakhir mampu kita alunkan. Ini adalah rentetan perjalanan yang sentiasa meminta agar kita terus berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Laksanakanlah ia agar kita tergolong di dalam umat Nabi Muhammad SAW yang tidak sesekali alpa. Sollu A'laih..