Sila Klik Nuffnang

Monday, 12 November 2012

Kes Jenayah Muncul Kembali

Walaupun mungkin kisah ini bukan terlalu baru untuk diceritakan, namun atas dasar ingin berkongsi dan peringatan kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, penulis ingin mengungkap dua (2) kes jenayah yang berlaku dalam tempoh dua (2) minggu ini.

Jika dikira melalui perkiraan tahun Islam, dua (2) kes yang ingin dikongsi ini jatuh pada bulan Zulhijjah bersamaan dengan dua (2) pensyariatan besar di dalam Islam iaitu menunaikan fardhu haji dan juga ibadah qurban. Selain itu juga, tanggal 10 Zulhijjah, umat Islam seluruh dunia pula akan menyambut Hari Raya AidilAdha sebagaimana biasa.

Tidak cukup dengan itu, bulan Zulhijjah juga merupakan salah satu darpada empat (4) bulan 'haram' di dalam Islam seperti mana bulan Rejab, Zulkaedah dan Muharram. Jumhur ulama' bersepakat bahawa dinamakan keempat-empat bulan ini sebagai bulan haram kerana di dalamnya diharamkan berperang dan melakukan kezaliman terhadap umat Islam. Cukup sekadar itu penulis memetik perihalnya bulan haram di dalam Islam. Sila rujuk artikel Kelebihan Empat Bulan Haram yang penulis rujuk di dalam blog Imam Muda Asyraf.

Suka penulis berbalik kepada kisah jenayah yang berlaku di Apartment Penjawat Awam Presint 18 Fasa R12 sepanjang bulan Zulhijjah baru-baru ini. Dua (2) kes ini sebenarnya sekadar apa yang dilaporkan dan sampai ke telinga penulis.

Kes kecurian tayar motosikal di blok D.



Gambar di atas dirakam sendiri penulis di blok D Fasa R12 yang mana kejadian tersebut berlaku kurang seminggu dari artikel ini ditulis. Penulis sempat berbual ringkas dengan pemilik motosikal tersebut yang penulis sifatkan sebagai seorang yang tinggi tahap kesabarannya. Apa tidaknya, walaupun berputih mata melihat kejadian ini seawal pagi sebelum ke tempat kerja, beliau masih lagi tenang dan redha dengan ujian Allah. Sesetengah orang tentu ada yang berbakul sumpah seranah yang dihamburkan kepada si pelaku jenayah ini. Penulis puji sikap pemilik motosikal ini. Semoga Allah akan merahmati anda.

Melalui apa yang disampaikan oleh pemilik motosikal yang mendiami kuarters di blok D itu, beliau pulang ke rumah sekitar jam 10.00 malam. Pada sebelah paginya, penulis yang ingin menghantar anak ke rumah pengasuh di blok yang sama terserempak dengan pemilik motosikal yang menatap tanpa bahasa motosikal yang telah tersungkur tanpa rodanya. Maknanya, kejadian dilakukan di sebelah malam sekitar 7 jam. Parking di hadapan lif nyata bukan jaminan harta benda kita akan selamat. MasyaAllah..

Penulis tidak pasti sama ada kes ini telah dilapor kepada pihak polis atau tidak. Penulis ada menasihatkan pemilik motosikal itu untuk melaporkan kerana mungkin boleh mewujudkan sikap 'alert' anggota polis di kawasan Fasa R12 ini. Jika tidak sekali pun, penulis ingin lahirkan simpati kepada pemilik motosikal dan mudah-mudahan ujian ini akan mendekatkan kita kepada Pencipta Yang Satu.

Itu kes pertama. Kes kedua yang ingin penulis kongsi lebih mengancam. Kejadian berlaku kira-kira 2 minggu sebelumnya. Kisah ini rasanya juga telah dikongsi di dalam facebook KRT Fasa 18 R12. Ianya berlaku di blok yang sama dengan rumah penulis. Lebih tepat lagi di bawah rumah penulis sendiri. Nauzubillah..

Ini ialah kes cubaan memecah masuk ke dalam rumah. Mungkin untuk mencuri la kot.. Kejadian berlaku sekitar jam 4.00 pagi dan berlaku di kala umat Islam menyambut 10 Zulhijjah 1433H iaitu Hari Raya AidilAdha. Rumah tersebut didiami seorang wanita bujang lingkungan usia 40-an. Alhamdulillah penjenayah tidak sempat melakukan apa-apa dan penghuni rumah tersebut di dalam keadaan selamat tetapi masih trauma sehingga kini.

Berdasarkan cerita wanita tersebut kepada isteri penulis sehari selepas kejadian (Penulis menyambut AidilAdha di kampung), penjenayah cuba memasuki rumah yang mungkin disangka tidak berpenghuni itu melalui tingkap di ampaian baju yang juga menghubungkan tandas kedua di rumah seperti mana rekabentuk blok B, C, D, E dan F. Penjenayah sudah separuh badan di dalam rumah, tetapi wanita tersebut yang menyedari kehadiran 'tetamu tidak diundang' itu bertindak menjerit menyebabkan penjenayah melarikan diri.

Kes tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis dan siasatan juga telah dijalankan di rumah tersebut. Buat masa ini jelas wanita yang menghuni rumah tersebut masih di dalam keadaan trauma dan penulis sering meminta isteri penulis bertanyakan khabar semoga dia sentiasa berasa selamat bersama kejiranan di blok itu.

Itulah dia dua (2) kes yang dapat penulis kongsi sepanjang bulan Zulhijjah yang diharamkan bagi kita melakukan sebarang kezaliman terhadap manusia. Maknanya, lawan kepada zalim ialah adil. Berlaku adil tidak sekadar ditujukan kepada pemerintah semata. Sebagai jiran tetangga juga kita perlu berlaku adil kepada jiran yang lain. Berlaku adil di sini termasuklah mengambil tahu hal-hal kejiranan, saling bantu membantu dan hidup di dalam suasana yang mahabbah.

Terkadang kita lupa perihal tersebut. Nampak macam terlalu remeh untuk diperkatakan. Sedang setiap malam kitab Fadhilat Amal dibaca tentang hak sesama jiran, masih ada di kalangan kita mengambil ringan perkara itu. Rasanya amat pelik kita yang hidup dengan majoriti masyarakat Melayu dan beragama Islam ini gagal mewujudkan sebuah kejiranan yang muhibbah dan selamat. Kenapa agaknya yer..?

Penulis bagi jawapan penulis. Mungkin anda ada jawapan lain terserahlah.. Bagi penulis kita terjauh meninggalkan agama kita dengan keluar dari jalan hidup Muslim. Islam bukan sekadar sembahyang, puasa, zakat dan haji. Islam is a way of live. Islam jalan hidup kita. Jika non-Muslim menolak Islam itu bukan perkara yang perlu kita bangkitkan. Tanya diri kita, adakah kita terima Islam sepenuhnya..??

Firman Allah SWT:


Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah 2:208)

Itulah ketetapan Allah. Ambillah Islam sebagai agama yang memimpin seluruh jalan kehidupan kita. Baik untuk beribadah, pergaulan, berkeluarga, kehidupan bermasyarakat dan berjiran serta apa sahaja tingkah laku kita seharian. Islam ada panduannya. Syarat mudah untuk selamat tidak lain ialah dengan kembali merujuk kepada Islam sebagai jalannya.

Kita masih perlukan polis..kita masih perlukan tentera..kita masih perlukan pelbagai lagi agensi keselamatan. Namun itu bukan sebab untuk kita tinggal melupakan Allah di dalam setiap langkahan mencari kehidupan aman dan sejahtera.

Marilah sama-sama kita muhasabah diri untuk menilai sejauh mana kita mengambil Islam di setiap hembusan nafas kita. Perkuatkanlah institusi agama Islam setempat seperti mengimarahkan Surau dan Masjid kerana di situ mungkin ada rahmat Allah yang melimpah ruah. Pulangnya kita ke rumah dengan membawa rahmat, insyaAllah segala kehidupan dilindungi Allah setiap masa.

No comments:

Post a Comment