Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam Ke Atas Semulia-mulia Nabi dan Rasul, Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan sahabat-sahabat Baginda sekalian.
Maulidur Rasul menjelma lagi bagi perkiraan tahun hijriah 1434H. Seperti mana kebiasaannya seluruh umat Islam akan kekal mengingati peristiwa penuh bersejarah ini di dalam kalender masing-masing. Maka tanggal 12 Rabiul Awal 1434H pastinya akan dipenuhi dengan sanjungan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily berbesar hati untuk merakamkan ucapan Salam Maulidur Rasul 1434H kepada seluruh warga Presint 18 khususnya di Fasa 18 R12 dan umumnya kepada seluruh umat Islam serata dunia.
Harus diingat bahawa, peristiwa bersejarah ini bukanlah suatu pesta atau keamatan semata-mata. Tetapi penghayatannya adalah lebih besar daripada itu. Beraraklah jika itu dapat membangkitkan perasaan cinta terhadap Baginda. Namun, jagalah batas-batas yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Elakkan sambutan Maulidur Rasul yang menyebabkan kita meraih dosa seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ketika berarak, atau apa sahaja perkara yang membawa kepada kelalaian dari mentaati perintah Allah SWT.
Akhirnya, marilah sama-sama kita terus mengucapkan selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW di setiap detik waktu kehidupan kita. Semoga selawat dan salam kita yang berterusan akan melahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda.
Allahum Masolli A'la Saiyidina Muhammad Wa'ala Aali Saiyidina Muhammad
Sollallah Wa Sallam Alaika
"SALAM MAULIDUR RASUL 1434H"
No comments:
Post a Comment