Sila Klik Nuffnang

Wednesday, 23 January 2013

Adakah Kita Hidup Cara Islam?

Muktahir ini, pelbagai isu sensasi wujud di dada-dada akhbar tempatan. Perbahasan yang berjuta-juta patah perkataan yang kebanyakan terarah kepada tumpuan keagamaan iaitu Islam.

Cerita-cerita ini mengundang kekerapan para mufti, ulama', tok-tok guru pondok, pendakwah dan ramai para asatizah berpeluang mencetak gambar mereka di akhbar mahupun televisyen. Dari sudut positifnya, ia suatu gejala "bermusim" yang amat sihat. Apa tidaknya, jika tidak timbul isu keagamaan ini, sudah tentu ruang-ruang media lebih dimonopoli oleh golongan artis. Memang membosankan.

Ledakan isu-isu menyentuh sensitiviti agama ini nampaknya ada hikmah. Kisah-kisah hujah berkaitan aqidah, fiqh dan siasah dapat bersaing dengan warta hiburan yang tidak pernah ada putusnya walaupun di musim ibadah bulan Ramadhan, Haji, Maal Hijrah atau Maulid Nabi. Beruntunglah kita para pembaca, penonton dan pendengar. Tidaklah dihidangkan dengan 'bidaah' dunia hiburan semata.

Inikah gaya hidup seorang Muslim? Penuh dengan pengaruh dunia hiburan..?

Mengapa Isu Agama Malatop..??

Di dalam heboh-heboh isu kalimah Allah, kafir-mengkafir, fatwa dan amanat, rupa-rupanya ramai lagi golongan masyarakat Melayu di Malaysia yang tidak memahami malah tidak berminat untuk mengambil tahu hal-hal tersebut. Boleh dikatakan ianya seolah remeh-temeh berbanding kisah-kisah gosip artis, kisah perkahwinan gilang gemilang dan juga produk-produk fesyen terbaru. Maaf jika penulis katakan, ianya biasa ada pada diri wanita kebanyakan. Itu realiti.
Isu kalimah Allah yang dicanang-canangkan melalui propaganda media.

Maka saban harilah para golongan agamawan berhujah di kalangan mereka yang dijamin mempunyai aqidah yang sama. Paling-paling tidak pun sekadar khilaf dalam memberi pendapat atau dari manhaj berbeza. Di satu pihak pula, mereka sedikit pun tidak terkesan dengan meletupnya isu-isu agama tersebut. Kehidupan mereka terus dipandukan dunia glamor artis, pemikiran barat, hiburan yang semakin menyesatkan serta warna-warni yang kian hampir kepada tergelincirnya aqidah dan rosaknya akhlak. Siapa pula sedang menangani isu ini..?

Mohon maaf jika apa yang ditulis ini menyinggung para agamawan. Penulis tidak mengatakan penulis lebih pandai, malah jauh sekali ingin dibandingkan dengan kehebatan yang ada pada para mufti, ulama dan asatizah. Cuma, hari ini penulis masih hidup sebagai pemuda yang dikelilingi gaya kehidupan bertentangan kehendak syariat. Hiburan tertebaran. Budaya barat terus menjerat. Artis glamor diangkat sebagai mentor. Ulama' dan mufti pula sama sekali tidak dikenali.

Pengaruh artis yang lebih banyak merosakkan diri remaja Islam.

Bagaimana pula isu keruntuhan akhlak dan moral itu dibahaskan oleh para agamawan? Sekadar kertas kerja di pejabat sahaja? Atau mengeluarkan statistik setiap kali tahun baru berlalu. Di mana penerapannya ke dalam jiwa anak remaja? Berbaloikah pula tiap saat digembar-gemburkan isu kalimah Allah dan amanat, sedangkan akhlak muda-mudi terus dijauhkan daripada syariat.

Hakikat sebahagian kehidupan anak melayu masa kini.

Perlukah jika dirumuskan di sini bahawa meletopnya isu-isu agama ini adalah tidak lain selain daripada ingin melihat pemuda-pemudi Islam semakin bercelaru dengan agama mereka sendiri. Ditambah sistem pendidikan yang tidak meletakkan fokus utama terhadap kefahaman Islam, bagaimana mungkin mereka akan faham konsep khilaf dalam pandangan ulama'. Ini sebenarnya isu yang perlu para mufti dan agamawan selidik.

Akhbar-akhbar hari ini bermotifkan keuntungan dan pengaruh dunia semata-mata. Mengapa perlu para alim ulama' terlibat sama di dalam kontroversi yang dicipta hasil pemikiran penjajah. Silap haribulan bukan penyelesaian agama yang kita perolehi, tetapi kekalutan generasi baru mengenal syariat Allah. Maka jalan memperbetulkan keadaan dengan hikmah adalah lebih baik bagi kami yang tidak mahir dalam ilmu agama.

Lontaran Idea Kerdil Penulis

Sama sekali penulis tidak meremehkan isu-isu yang sedang panas di dada-dada akhbar hari ini. Benar.. isu kalimah Allah sensitif bagi orang Islam. Ya.. mengeluarkan pandangan atau amanat juga besar kisahnya. Namun, jika sibuk dengan isu itu sahaja, nescaya kita akan terlepas banyak perkara. Penerapan kerohanian dimana..? Pengukuhan kefahaman agama apa cerita..? Majlis-majlis ilmu sudah dipromosi ke..? Cukupkah sekadar dipertanggungjawabkan kepada AJK masjid dan surau sahaja?

Jika ingin ditulis satu-persatu perkara yang akan kita terlepas mungkin berjela-jela. Sekali imbas seolah-olah perkara ini kecil sahaja. Sehingga kita sibuk bercerita tentang isu-isu panas tanpa penghujung. Ajak berdebat lari juga. Minta sejam tidak diberi pula...

Maka penulis rasa pertimbangkanlah pula perihalnya tentang keruntuhan akhlak dan nilai-nilai hidup bersyariat di dalam masyarakat Islam kita di Malaysia ini. Cuba buat survey, pasti ramai lagi anak muda (hatta yang lanjut usia) tidak kenal dengan sebenarnya isi kandungan pensyariatan Islam. Hal-hal fiqh hanya lepas dalam bab ambil wuduk sahaja. Itu pun ramai lagi tidak sempurna. Jangan cerita la topik-topik tassawuf dan aqidah. Silap-silap sifat 20 tinggal 13 sahaja. Allahu Rabbi..

Di mana jabatan-jabatan agama hendak meletakkan 'imej besar' mereka jika ramai lagi rakyat jelata gagal dalam basic dalam beribadah kepada Allah. Jangan ceritalah bab mempertahankan hak kalimah Allah, sedangkan mahraj sebutan kalimah Allah itu sendiri disebut dengan terbelit lidah. Inikah moral yang ada dalam diri umat Islam sejati? Astaghfirullah...

Kalaulah penulis ada autoriti untuk menyeru para agamawan, pasti perkara yang ingin penulis sampaikan ialah, carilah solusi terbaik untuk selesaikan isu-isu kefahaman agama di dalam diri umat Islam. Faktanya, mereka lebih mengenal artis daripada ulama'. Mereka lebih arif tentang gosip hiburan berbanding sirah para anbiya'. Mereka juga lebih pandai berfesyen daripada syariat sebenar berpakaian. Tidak terkecuali mereka yang sering ulang-alik ke surau dan masjid. Malangnya masyarakat kita.

Syariat berpakaian yang masih dipersendakan oleh umat Islam.

Maaf jika tersinggung

Memang benar ramai yang setuju bahawa penulis seorang yang pedas apabila berkata-kata. Mungkin sebab penulis bukan tergolong di dalam kalangan mereka yang di gelar ustaz atau alim ulama'. Ilmu agama juga tidak cukup untuk berhujah dengan nas-nas Al-Quran atau Hadith. Penulis sekadar berkemampuan menulis di atas pengamatan dunia sekeliling dengan sedikit kesedaran terhadap permasalahan umat Islam di Malaysia kebanyakannya.

Oleh itu, penulis terlebih dahulu ingin memohon maaf jika tersalah kaedah menegur dan mencelah isu yang dimainkan oleh "media tidak ilmiah" ini. Niat penulis tidak lain sekadar untuk sekalian pembaca ambil kesedaran bahawa ada isu penting yang mereka lupa untuk dibahaskan. Itulah dia pengukuhan dalam menganut agama Islam. Penulis juga cuma berharap agar peranan penting golongan agamawan peringkat atasan untuk sama-sama mencari kaedah terbaik agar seluruh masyarakat Islam di Malaysia sempurna di dalam agamanya.

InsyaAllah jika kukuhnya nilai-nilai sebenar Islam di dalam diri, pasti isu-isu agama lain yang ingin mempengaruhi jiwa umat Islam boleh diatasi dengan penuh hikmah. Seumpama bermain bolasepak, jika ada pertahanan yang kuat, pastinya penyerang lawan sukar untuk membolosi penjaga gol.

Satu lagi perumpaan dalam bolasepak yang perlu diamati. 'Man City tidak akan berjaya meraih takhta BPL jika terlalu sibuk untuk menang ke atas Man Utd, sedangkan sebenarnya mereka juga perlu mengalahkan Norwich City, Stoke, Reading serta QPR.' Fikir-fikirkan. Semoga Allah memberi jalan terbaik untuk kita faham dan menambah ketaqwaaan kepada Al-Khaliq. Waallahu'alam.

No comments:

Post a Comment