Sila Klik Nuffnang

Wednesday, 27 June 2012

Kali ini anda diberikan "AWARD"

Semalam dah tabik spring dah.. Ingatkan itu la rekod terbaik sepanjang 3 tahun. Rupa-rupanya ada lagi yang terbaik.. Bukan setakat terbaik, tapi kali pertama memecah tradisi. Hebat..sungguh hebat. Oleh itu, kali ini saya beri award khas kepada semua penghuni-penghuni blok G, Presint 18 Fasa R12. Terimalah......

Award khas untuk Blok G

Award ini memang layak untuk penghuni blok G. Apa tidaknya, inilah kali pertama sebuah blok di Presint 18 R12 berjaya memecahkan tradisi kutipan dana Ramadhan tahunan. Rekod yang dipegang oleh blok H hanya bertahan 24 jam sahaja apabila kutipan blok G berjaya menghasilkan jumlah RM 2,160.00 iaitu tertinggi setakat 3 tahun. Lebih mengejutkan, inilah kali pertama ianya mencecah angka 2k.

Penulis sebenarnya pelik dengan kutipan semalam, kerana berdasarkan statistik, penghuni blok H lebih ramai yang membuka pintu dan memberi sumbangan berbanding blok G. Kutipan pusingan pertama selepas maghrib juga hanya mencatatkan jumlah kurang daripada RM 200. Pusingan kedua membabitkan 12 tingkat rumah juga menunjukkan lebih 1/4 penghuni tiada di rumah atau tidak membuka pintu. Namun begitu, itulah hakikatnya rezeki yang Allah telah tetapkan kepada kerja-kerja murni ini.

Kesimpulannya, kebanyakan penghuni blok G yang menyumbang semalam adalah di kalangan hamba Allah yang amat pemurah. Semoga Allah akan melipat gandakan rezeki anda semua. Malam ini, AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily akan bergerak ke blok F untuk meneruskan misi kutipan dana Ramadhan. Untuk makluman, blok F merupakan blok paling banyak bilangan rumah berbanding blok-blok lain. Buktikan kepada kepada semua bahawa anda layak berada di kedudukan lebih baik berdasarkan bilangan rumah itu. Berinfaqlah ke jalan Allah demi cinta kita terhadap agama suci ini.

Ekslusif Untuk Muslimah

Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui Biro Hal Ehwal Wanita akan mengadakan ceramah khas ekslusif untuk muslimah sempena bulan Syaaban ini. Ceramah ini akan mengupas kehebatan bulan Syaaban yang merupakan medan latihan umat Islam sebelum menanti ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sila rujuk makluman pada poster di bawah:


Kepada semua para wanita, kaum ibu dan muslimah seluruhnya, anda dijemput untuk sama-sama merebut peluang hebat ini. Ruangkan sedikit masa untuk majlis ilmu yang banyak manfaatnya ini. Diharap agar kita semua dapat mengambil intipati yang baik hasil daripada ceramah ini.

Tuesday, 26 June 2012

Wa Caya Sama Lu..!!

Rock sangat ke tajuk ni..? Sekali sekala rock takpe kot.. "Wa Caya Sama Lu..". Itu adalah reaksi paling tepat untuk dikatakan kepada seluruh warga penghuni Blok H, Presint 18 Fasa R12, Putrajaya ini. Anda cukup sporting dan sangat berani untuk memecah rekod 3 tahun kutipan dana Ramadhan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Tabik Spring untuk penghuni Blok H

Kutipan dana Ramadhan hari pertama semalam yang dimulakan di Blok H mencatat kutipan tertinggi dalam tempoh 3 tahun bagi 1 blok iaitu sebanyak RM 1,880.00 jauh meninggalkan rekod kutipan tertinggi tahun lalu iaitu RM 1,400.00. Rekod tertinggi itu juga adalah dipegang oleh penghuni blok H. Hasil sumbangan tuan/puan penduduk yang amat mulia hati itu, memberi suntikan ekonomi yang cukup baik untuk pelaksanaan aktiviti dan program surau sepanjang Ramadhan nanti.

Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily amat berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh penghuni blok H termasuklah penghuni yang sudi untuk mengemaskini maklumat penduduk hasil daripada usaha jawatankuasa KRT yang turut serta dalam program semalam. Dimaklumkan lebih 20 rekod baru penghuni blok H dapat dikemaskini. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya penghuni blok H yang mungkin akan menjadi pemangkin amalan infaq di blok-blok lain.

Kepada penghuni blok G, insyaAllah malam ini kami akan meneruskan program kutipan dana ini di blok anda. Kerjasama penuh daripada semua penghuni amatlah diharapkan. Semoga infaq di jalan Allah ini akan menjadi saham terbaik kita sebagai hamba-Nya.

Monday, 25 June 2012

PERHATIAN: Kutipan Dana Ramadhan

Perhatian kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan kutipan dana Ramadhan 1433H dari rumah ke rumah bermula pada hari ini (25 Jun 2012) mulai jam 8.00 - 10.30 malam. Notis dan jadual berkenaan kutipan rumah ke rumah ini juga telah dikeluarkan dan ditampal di blok-blok terlibat. Sila rujuk jadual di bawah.

Jadual Kutipan Dana Ramadhan 1433H

Untuk makluman semua, kutipan dana ini dijalankan seperti mana juga tahun-tahun sebelumnya untuk memastikan Surau Wahbah Al-Zuhaily dapat beroperasi dengan baik sepanjang sambutan Ramadhan nanti. Antara kos yang perlu ditanggung ialah jamuan moreh, bayaran imam/bilal bertugas, program-program kuliah dan taddarus Al-Quran. InsyaAllah jika kutipan memberansangkan, pihak surau juga akan mengadakan program berbuka puasa seperti mana yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya.

Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily memohon semua penghuni untuk memberi kerjasama penuh dalam menghulurkan dana kepada surau. Amaun kutipan tetap yang diwartakan ialah sebanyak RM10.00 bagi setiap rumah/keluarga. Sumbangan tambahan amatlah dialu-alukan. Semoga infaq yang diberikan kepada rumah Allah ini akan menghasilkan tuaian yang terbaik pada Ramadhan tahun ini. Setiap amalan sedekah pasti akan mendapat ganjaran terbaik daripada Allah.

Makluman: Program rumah ke rumah ini juga akan disertai oleh Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi tujuan pengemaskinian maklumat penghuni di Presint 18 Fasa R12. Semua penghuni diharap dapat memberi kerjasama yang baik kepada jawatankuasa yang melaksanakan tugas-tugas mereka.

Makluman tambahan: Orang ramai juga boleh menderma kepada Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui sumbangan terus ke akuan Maybank Islamic 5-6601-0555-380.

Friday, 22 June 2012

Dalam Kenangan: 10 Tahun Perginya Sebutir Permata

Tanggal 23 Jun 2012, genaplah usia 10 tahun perginya sebutir permata yang tiada galang gantinya. Seorang insan hebat di negara kita ini pergi bertemu Kekasihnya. Beliau merupakan seorang hamba Allah yang cukup tinggi nilai baktinya kepada perjuangan Islam semasa hayatnya di dunia ini. Sumbangan besarnya di dalam memartabatkan Islam di Malaysia tidak perlu dipertikaikan. Walaupun tidak pernah bergelar pemimpin negara mahupun negeri, kehebatan dan nilai akhlak yang tinggi yang ada pada dirinya cukup dihormati kawan dan lawan. Beliau yang dimaksudkan ialah Almarhum Al-Fadhil Ustaz Dato' Fadzil bin Mohd Noor.

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (1937-2002)

Ketika Almarhum Ustaz Fadzil menghembuskan nafas yang terakhir, usia penulis masih lagi linkungan remaja yang tidak kenal erti perjuangan Islam dan hebatnya kerja-kerja dakwah menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Namun nama Almarhum telah dikenali sejak penulis berusia kanak-kanak lagi. Walaupun di usia mentah itu, penulis memang telah diperkenalkan oleh Allahyarhamahuma ayahanda dan bonda untuk mengenali para ulama' dan pejuang-pejuang Islam di Malaysia. Kehebatan Almarhum Ustaz Fadzil telah diperhatikan sedari kecil hingga meruntun jiwa muda ini untuk menghormati beliau.

Sebenarnya, penulis tergerak hati untuk mengungkap kembali kisah-kisah Almarhum Ustaz Fadzil ini ialah ketika penulis sama-sama duduk di dalam usrah pemuda beberapa hari yang lepas. Naqib usrah membawa buku bertajuk "Aqidah dan Perjuangan" hasil penulisan Almarhum. Melalui usrah dan beberapa petikan tulisan buku itu, dengan pantas fikiran ini terkenang kepada karyawannya. Keesokannya penulis melayari internet mengimbau kisah-kisah beliau. Air mata terus bergenang dan sukar dibendung untuk segera menitiskannya. Sungguh..Almarhum sukar dicari ganti.

Aqidah dan Perjuangan

Mengingati kisah perginya mujahid ulung ini, pada tanggal 23 Jun 2002, penulis yang ketika itu sedang menuntut di Johor Bahru, antara insan paling terkesima mendengar berita sedih itu. Ibu dan ayah segera dirujuk untuk mendapatkan kebenaran. Ketika itu penyebaran maklumat tidak sehebat kini. Penulis sendiri ketika itu hanya menggunakan telefon awam untuk berhubung dengan keluarga. Setelah berita itu disahkan, alangkah sedih dan hiba rasa hati ini. Ingin sahaja ketika itu penulis menerjah ke arah utara untuk sama-sama memberi penghormatan terakhir. Namun, berbekal wang saku pelajar beserta sebuah motosikal, masakan sempat penulis tiba sebelum Almarhum disemadikan. Pilu hati ketika itu Allah sahaja yang tahu.


Penulis bukan seorang yang terlibat secara langsung dengan politik. Namun disebabkan pernah mempunyai latar belakang pendidikan agama, Almarhum pastinya salah seorang nama mujahid hebat di tanah air ini yang melekat di dada penulis. Jiwa remaja kebanyakan ini sedikit pun tidak menghalang kekaguman penulis terhadap pemimpin harakah Islamiyah itu.



Pastinya Allah telah mengangkat tinggi darjat Almarhum di kalangan para mujahidin yang taat kepada-Nya. Masakan tidak, saat hembusan nafas terakhirnya di HUKM, Kuala Lumpur, berbondong-bondong manusia hadir dari segenap pelusuk negara untuk sama-sama memberi penghormatan, menziarah, menunaikan solat jenazah hatta mengiringinya sehingga ke persinggahan terakhir di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena. Madrasah Darul Ulum ini ialah sebuah pusat pendidikan agama yang dibuka sendiri oleh Almarhum dan di atas wasiatnya, beliau ingin disemadikan di tanah itu.




Perjalanan terakhir Almarhum ke Muassasah Darul Ulum melalui jalan udara atas arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat pada ketika itu. (Almarhum menjawat jawatan ketua pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu). Namun, di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan menghala ke utara, penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk sampai sebelum jenazah disemadikan. Kawasan sekitar Muassasah Darul Ulum dimaklumkan mencecah ratusan ribu manusia yang memberi tanda tingginya jasa bakti Almarhum terhadap negara terutama dalam landskap politiknya. Melalui pembacaan penulis, ada yang hadir terpaksa berjalan sehingga 10km jauhnya untuk sampai ke Muassasah Darul Ulum.


Allah menzahirkan hasrat Almarhum untuk mati dalam perjuangan. Walaupun di mata kasar beliau pergi di atas katil sakit, namun dari sudut lain, beliau tetap seorang syahid di batas perjuangan Islam. Betapa tingginya nilai yang ditinggalkannya kepada gerakan Islam di Malaysia sehingga bertapaknya kuasa anak muda terhadap pejuangan Islam. Mungkin ramai yang tidak merasainya. Namun bagi penulis, mujaddid agung inilah yang mempelopori kebangkitan Islam di kalangan masyarakat sekarang. Anak muda seusia penulis kini telah mula berjuang dalam Islam. 

Solat jenazah diiringi lebih daripada 50,000 manusia, menjadikan ia mungkin yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Solat diulangi berkali-kali di atas permintaan orang ramai yang hadir. Wajah-wajah manusia yang hadir pastinya bergenang dan meratapi perginya seorang pemimpin yang sehingga kini tiada tandingannya.


Sikap pendengar yang baik amat dirindui oleh para ahli dan penyokongnya. Setiap lunak bicara yang lembut meruntun hati untuk kembali mencari amanat-amanat yang masih terakam di dunia maya. Almarhum tidak pernah mencaci musuhnya dengan nada keras. Bibit tutur katanya di atur indah membuatkan setiap kawan tunduk patuh dan lawannya kelu tanpa hujah balas. Pergaulannya tidak mengenal darjat dan kedudukan. Siapa sahaja bisa mendekatinya. Tangan kecil penulis pernah digengamnya dan tangannya sempat dikucup tanda hormat seorang anak kecil yang dibawa oleh Almarhum ayahanda. Hingga kini walaupun detik itu berlaku hanya sekali dalam hidup penulis, ia pasti akan dikenang selamanya. Itu sahaja pengalaman yang penulis ada bersama insan mulia ini.

Anak muda masa kini mungkin ramai yang tidak lagi mengingatinya. Namun, sama sekali tidak bagi penulis. Mengenang Almarhum Ustaz Fadzil samalah juga penulis mengingati Almarhum ayahanda yang pergi bertemu Ilahi kira-kira hampir setahun berselang. Almarhum ayahanda mempunyai gaya penampilan seiras Almarhum Ustaz Fadzil. Hingga ada di antara cucunya yang masih kecil tidak dapat membezakan antara ayahanda dan Almarhum. Kedua-duanya adalah sumber inspirasi penulis dalam kerja-kerja dakwah.

Pemimpin Islam yang sukar dicari ganti. Kami sentiasa merindui insan mulia ini.

Almarhum Ayahanda penulis bersama cucu-cucunya sebulan sebelum mengikuti jejak Almarhum Ustaz Fadzil bertemu Ilahi.

Tanah indah nan hening di Muassasah Darul Ulum menjadi saksi pertemuan mujahid ulung ini bertemu Penciptanya Yang Satu. Langit yang tenang di saat tibanya jenazah mengundang bicara bahawa sang langit turut meratapi pemergian itu. Malam yang dingin mengikuti turutan langkah terakhirnya di dunia fana ini. Tiada binaan hebat untuk pusaranya walaupun Almarhum insan hebat. Itu membuktikan zuhudnya dunia Almarhum untuk mengadap Allah dengan penuh kekayaan akhirat.

Kini 10 tahun yang berlalu perginya permata hati kebanyakan rakyat Malaysia yang cintakan agama Allah ini. Pemergiannya di saat umat Islam di negara ini masih memerlukan seorang pemimpin agung untuk membawa ke jalan yang diredhai Allah. Air mata yang mengalir bagi setiap yang merindui susuk tubuh itu belum tentu menghasilkan sebutir lagi permata. Andai juga air mata ini diganti dengan serpihan kristal sekali pun, pasti susuk itu yang penulis idamkan. Semoga Allah merahmati Almarhum dan menempatkannya di tempat hamba-hamba yang memiliki darjat tinggi. Al-Fatihah..


Dapatkan Harakah Cetak edisi Jumaat 22 Jun 2012 untuk mengikuti tribute khas 10 tahun perginya Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor.

Wednesday, 20 June 2012

SUKANEKA SURAU PUTRAJAYA 2012

Makluman kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, Putrajaya. Surau Wahbah Al-Zuhaily telah dijemput untuk menyertai Sukaneka Peringkat Surau-Surau Putrajaya yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) cawangan Putrajaya. Tarikh, masa dan tempat adalah seperti berikut:

Tarikh   :   7 Julai 2012
Masa     :   7.30 pagi - 1.00 petang
Tempat :   Padang Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya

Surat Jemputan Sukaneka JAWI

Aturcara Sukaneka


Sehubungan dengan itu, pihak surau menjemput semua untuk sama-sama menyertai acara sukaneka ini. Pelbagai acara diadakan dan peserta mestilah bertanding di atas nama surau-surau yang berdaftar di bawah JAWI Putrajaya sahaja. Kategori sukaneka ini dipecahkan kepada kategori utama seperti berikut:

Kategori Lelaki (Dewasa)
1. Lari dalam guni (6 orang)
2. Tarik tali (10 orang)
3. Terompah Gergasi (5 orang)

Ketegori Wanita (Dewasa)
1. Gubahan tuala (2 orang)
2. Anyam ketupat (3 orang)
3. Telefon berkarat (8 orang)

Kategori Remaja 13 - 19 tahun (Lelaki)
1. Lari ikat kaki (8 orang)
2. Jalan susun bata (6 orang)
3. Terompah gergasi (5 orang)

Kategori Remaja 13 - 19 tahun (Perempuan)
1. Telefon berkarat (8 orang)
2. Bawa bola ping pong dengan chop stick (8 orang)
3. Makin jauh makin sayang (2 orang)

Kategori Kanak-kanak (10 - 12 tahun)
1. Susun Puzzle (3 orang)
2. Tarik bola dalam gelung (8 orang)

Kategori Kanak-kanak (7 - 9 tahun)
1. Isi air dalam botol (8 orang)
2. Bawa bola ping pong dalam sudu (8 orang)


Sesiapa yang berminat untuk menyertai dan mewakili Surau Wahbah Al-Zuhaily dalam acara sukaneka ini boleh berhubung dengan AJK surau untuk sebarang keterangan lanjut. Surat, aturcara, peraturan dan perkara berkenaan sukaneka boleh di dapati di surau. Bersamalah kita gemilangkan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Peringatan: Setiap peserta mestilah menutup aurat.

Monday, 18 June 2012

Ayuh..Mulakan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sekarang..

Penduduk di Presint 18, Putrajaya khususnya di Fasa 18 R12, diseru untuk mula membuat pengumpulan minyak masak terpakai secara lebih giat bagi sama-sama menjayakan Program Toyota Eco Youth (TEY) 2012 yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota).

Semalam (17 Jun 2012), telah diadakan Majlis Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Khairudin Samad yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya bertempat di Dewan Serbaguna Presint 18 Fasa R12. Program TEY 2012 ini akan diwakili oleh pelajar-pelajar SMK Presint 18(1) yang menggelarkan diri mereka sebagai Eco Green 18. Tugasan pengumpulan minyak masak ini akan melibatkan komuniti Presint 18 Fasa R12 yang mana disokong bersama Kawasan Rukun Tetangga P18 R12 dan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Majlis perasmian yang diadakan itu turut mendapat liputan daripada akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan Bernama. Berdasarkan maklum balas penduduk yang hadir juga menunjukkan tanda-tanda positif di mana penduduk memberi pujian terhadap usaha murni yang dilaksanakan oleh Team Eco Green 18 ini.

Utusan Malaysia 18 Jun 2012 (m/s: 30)

Berita Harian 18 Jun 2012 (m/s: 25)

Pada majlis tersebut juga, komuniti P18 R12 telah dibelkakan dengan 10 tong pengumpulan minyak masak terpakai telah diberikan oleh Alam Flora bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. InsyaAllah tong-tong ini akan diletakkan di blok-blok kediaman Fasa 18 R12 sedikit masa lagi. Ianya akan dimaklumkan kelak oleh pihak KRT. Penduduk juga akan lebih mudah dengan penempatan tong-tong tersebut.

JK Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan ini menyeru sekali lagi semua penduduk untuk memberi kerjasama penuh dalam program yang baik seperti ini. Katakan TIDAK kepada pembuangan sisa minyak masak terpakai di corong-corong saliran air, kerana ianya akan menjejaskan pembentungan dan aliran air paip di kediaman kita. Inilah masanya kita untuk sama-sama menyumbang kepada terhentinya pencemaran alam sekitar.

Kepada Team Eco Green 18, pihak surau mengucapkan selamat maju jaya di dalam pertandingan ini. Tahniah juga diucapkan kepada pihak SMKP18(1) dan semua yang terlibat menjayakan program ini.