Sila Klik Nuffnang

Monday, 26 March 2012

Kematian Di Presint 18

Sudah berminggu-minggu lamanya hasrat untuk menulis topik ini. Namun baru kini diberikan kesempatan oleh Allah untuk jari jemari menekan papan kekunci.

*** Pesanan: Sebelum kisah kematian ini disingkap lebih lanjut, diharap penulisan kali ini dapat dibaca oleh semua sehingga ke akhir dan merenung sejenak adakah kita tergolong di dalam mereka yang mengambil ringan terhadap hal-hal kematian atau dalam bahasa ilmiahnya urusan Fardhu Kifayah.

 
Firman Allah swt:


Maksudnya: Setiap yang bernyawa pasti akan meresai kematian. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya. (Surau Ali Imran, 3:185)

Umat Islam yang beriman pastinya tidak menyangkal akan kehadiran suatu kematian di dalam hidup setiap insan. Hari ini mungkin kita mendengar berita kematian di dada akhbar, esok berita dari sekitar kejiranan, lusa datang pula dari sahabat handai sehinggalah kepada berita kematian kaum keluarga terdekat dan akhirnya kematian itu akan pasti menjengah kita. Sedarkah kita bahawa setiap masa kita perlu bersedia menghadapi apa jua qada' dan qadar ketentuan Ilahi sama ada sebagai persiapan diri atau juga untuk tujuan pengurusan kematian ahli keluarga. Maka sudahkah kita membuat persediaan yang baik..?


(Kematian itu pasti menemui kita)

Pengurusan Hal-hal Berkaitan Kematian

Hari ini mungkin kita merasakan bahawa persiapan untuk mengurus hal-hal berkaitan kematian tidak penting. Apakan tidak, kita masih muda dan pasti saja malaikat maut belum sempat menulis nama kita dalam senarai yang perlu dikunjunginya. Waahh..begitu hebat penilaian yang kita tetapkan. Mungkin inilah puncanya kita terlalu mengambil remeh hal-hal berkaitan kematian ini. Sehingga kematian bapa sendiri pun kita tidak mampu berfikir secara rasional apa yang perlu kita lakukan, siapa perlu kita berhubung dan bagaimana kita harus menyumbang sesuatu sebagai jasa bakti terakhir ke atas jasad Almarhum.

Terjadinya satu kisah kematian di Presint 18 Fasa R12 kira-kira hampir sebulan yang lalu membabitkan ahli keluarga seorang penduduk yang juga ahli qariah Surau Wahbah Al-Zuhaily. (Mohon maaf kepada pembaca sekiranya anda adalah individu tersebut. Cerita ini ditulis untuk pengajaran dan kesedaran). Almarhum bapa kepada seorang penduduk di blok yang paling hampir dengan Surau telah kembali menemui Penciptanya pada jam 9 pagi ketika mana program ceramah anjuran bersama Nisa' Putrajaya sedang rancak berjalan. Ketika itu ramai jemaah dan AJK surau berada di premis sedang mendengar serta membantu apa-apa keperluan pada prorgram tersebut. Corong speaker saya percaya pasti sampai ke dalam isi rumah keluarga Almarhum.

Perasaan sedih dan terkilan penulis begitu tebal dirasakan apabila berita kematian tersebut hanya dimaklumkan kepada kami pihak AJK Surau sekitar jam 12 tengahari. Ketika itu program telah pun tamat dan hanya tinggal beberapa jemaah/AJK sahaja sedang mengemas sekitar surau. Itu pun berita kematian cuma disampaikan oleh seorang bapa saudara penghuni/ahli qariah yang hadir kerana Almarhum adalah abang kandung beliau. Tujuannya adalah untuk bertanya jika kami ada van jenazah untuk menghantar jenazah ke Masjid Putra untuk urusan mandi dan khafan. Ya Allah..adakah ini sahaja fungsi kami di mata para penghuni..?

Sedarlah Wahai Seluruh Umat Nabi Muhammad SAW

Para pembaca sekalian, kami tidaklah meminta diiktiraf golongan terbaik dari kalangan semua penduduk. Kami juga hanya insan biasa seperti anda semua. Cuma kami ingin meminta sedikit kesedaran dan perhatian daripada tuan-tuan dan puan-puan supaya menitikberatkan isu seperti ini. Hal kematian bukan suatu yang remeh hingga kita boleh membiarkan jenazah tidak diuruskan dalam tempoh yang lama semata-mata keegoan tinggi dalam diri kita. Keegoan yang dimaksudkan ini adalah betapa tingginya rasa keengganan kita untuk menjengah surau hingga kepada urusan kematian pun terpaksa menanti kunjungan sanak saudara melakukannya.

Anda sudah cukup dewasa untuk berfikir akan soal ini. Masakan tidak, kerana anda telah mendirikan rumah tangga, anda mempunyai keluarga yang boleh disara dan anda sebagai lelaki juga adalah pemimpin. Maka sedarlah bahawa tanggungjawab anda amat besar sebagai individu yang paling layak mengurus atau setidak-tidaknya mencari komuniti yang boleh mengendalikan keperluan pengurusan jenazah tersebut. Ini adalah fardhu kifayah. Kami juga amat merasai tanggungjawab kami sebagai sebuah komuniti Islam dan bagaimana anda tidak merasai kewujudan kami sedangkan kami berkumandang setiap hari terus menjengah ke ruang-ruang jendela anda.

Khidmat Untuk Seluruh Masyarakat

Kami akui premis Surau Wahbah Al-Zuhaily tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menguruskan jenazah jika berlaku kematian. Namun begitu, sehingga kini belum pernah lagi kami 'lepas tangan' jika berlaku sebarang kematian di kawasan penduduk Presint 18 Fasa R12 atau sekitarnya. InsyaAllah kami akan membantu segala yang termampu. Tidak perlu segan silu dengan kami. Kami tidak pernah mengira anda seorang ahli qariah yang menunaikan solat berjemaah di surau atau tidak. Mungkin juga anda seorang musafir yang singgah berteduh di kawasan sekitar kami. Kami tetap cuba membantu sedaya upaya mengikut garis panduan yang telah diberikan.

Oleh yang demikian, sudi-sudikanlah memaklumkan kepada kami jika anda menghadapi hal sedemikian. Kematian menjengah setiap masa dan peringatan-peringatannya juga saban hari dikirimkan oleh Allah kepada kita yang meminjam nyawa daripada-Nya. Marilah kita mulakan era baru sebagai manusia yang lebih dewasa dan berfikiran positif agar urusan-urusan kematian ini tidak di pandang ringan.

Al-Fatihah kepada Almarhum yang dinyatakan di atas. Mohon maaf di atas penceritaan. Mudah-mudahan ada manfaat yang diperolehi daripada kisah tersebut.

Hubungi kami jika anda perlukan sebarang bantuan berkenaan hal-hal kematian.

Pengerusi
En. Abdul Azim bin Abu Ziden (019-2225077)

Timb. Pengerusi
En. Mohd Ali bin Sulaiman (017-6703353)

Setiausaha
En. Mustaim bin Hj. Mat (019-9244513)

Biro Kebajikan dan Khairat
En. Mohd Ariffin bin Hj. Abd Karim (013-9815378)


No comments:

Post a Comment