Sila Klik Nuffnang

Saturday, 28 January 2012

Mana Lebih Berharga..?

Di dalam arus kemodenan hari ini, ramai di kalangan manusia yang terus-terusan mengejar kemewahan hidup dan mencari-cari harta dunia yang seakan-akan terlalu tinggi nilainya. Manakan tidak, kehendak kepada pemilikan rumah yang besar, kereta yang mewah, pakaian yang berjenama hatta kepada gadget komputer yang canggih seperti i-pad, notes dan sebagainya menyebabkan kita sentiasa berlumba untuk up to date diri mengikut perkembangan teknologi.


Firman Allah dalam Surah Al-Isra' di atas bermaksud:

"Dia (Iblis) berkata: 'Terangkanlah kepadaku inikah orangnya (Nabi Adam) yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar aku akan sesatkan keturunannya (manusia), kecuali sebahagian kecil.' Allah berfirman: 'Pergilah, barang siapa di antara mereka (manusia) yang mengikutimu (Iblis), maka sesungguhnya neraka jahanam adalah suatu pembalasan yang secukupnya.' Dan hasutlah sesiapa yang kamu (Iblis) sanggupi di antara mereka (manusia) dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berserikatlah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan berilah mereka janji. Dan tidak ada apa yang dijanjikan oleh Syaitan kepada mereka melainkan tipu daya belaka." (Al-Isra' : 62-64)

Kehendak akan harta

Maha benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran bahawa Iblis dan Syaitan adalah perancang utama kepada kehendak manusia yang pelbagai sehingga mana manusia lupa akan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini serta tanggungjawab utama mengabdikan diri kepada Allah dengan sifat penuh kehambaan. Inilah punca mengakibatkan kita sering berkehendakkan sesuatu yang berlebih-lebihan di dunia sementara ini, yang mana akhirnya kita leka dengan hasutan Syaitan. Hayatilah betapa pedihnya balasan (neraka jahanam) yang akan diperolehi oleh pengikut-pengikut Syaitan ini.

Tidaklah sekali-kali ingin dinyatakan bahawa tidak perlu kepada mencari harta di dunia ini. Cuma sekadar memperingati diri dan sahabat-sabahat bahawa mencari harta kekayaan dunia adalah perkara yang dituntut berseiring dengan tuntutan berjihad dan berbakti di jalan Allah. Jika tidak, masakan Abdul Rahman bin Auf menjadi contoh orang-orang kaya di dalam Islam. Sahabat Nabi Muhammad SAW ini merupakan tunjang yang penting dalam pembangunan Islam di muka bumi dengan banyak sekali menyumbang (infaq) hartanya di jalan Allah. Maka, carilah harta dunia sebaiknya dengan syarat hati sentiasa bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah seraya mengembalikan ia kepada jalan-jalan Allah.

Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu memperoleh keuntungan (dunia dan akhirat)." (Al-Jumu'ah: 10).

Mana lebih berharga

Berdasarkan ayat ini, maka sesungguhnya dapat difahami bahawa Allah menyuruh manusia mencari harta kurniaan Allah di muka bumi ini dengan syarat hati tetap kukuh memperingati-Nya serta menjadikan ibadah perkara utama terlebih dahulu seperti mana pelajaran yang diperolehi daripada kisah Abdul Rahman bin Auf. Maka, siapalah kita? Apakah harga kita di dalam perjuangan di jalan Allah? Mana lebih berharga..?

1) Memiliki harta yang pelbagai melebihi daripada mencukupi, tetapi sedikit pun tidak dikembalikan kepada jalan-jalan Allah.

2) Memiliki harta yang mencukupi, tetapi terus mencari kemewahan tanpa langsung memikirkan sumbangan ke arah jalan Allah walau sedikit pun.

3) Tidak memiliki harta, dan terus-terusan melupai Allah atau langsung tidak digunakan masa serta kudrat untuk berbakti di jalan-Nya.

4) Memiliki harta yang melimpah ruah, dalam masa yang sama tidak jemu-jemu menyalurkannya di jalan Allah tanpa ada rasa kerugian serta bersyukur dengan nikmat-Nya.

5) Memiliki harta yang sekadar mencukupi, tetapi masih mampu mengembalikannya ke jalan Allah dengan penuh nikmat kesyukuran.

6) Tidak memiliki harta, tetapi setiap kali mempunyai masa, akan digunakan untuk berbakti di jalan Allah serta terus-terusan bersyukur akan nikmat apa yang ada.

Ini antara pilihan jawapan yang perlu kita pilih sebagai hamba Allah di muka bumi indah ini. Pilihlah dimana yang lebih dirasakan berharga. Tiada paksaan oleh mana-mana makhluk yang ditadbir oleh Allah, bahkan Allah sentiasa membuka jalan supaya memilih melalui jalan keimanan terhadap-Nya.

Hulurkan Sumbangan

Jika masa dan tenaga tidak termampu diterjemahkan ke jalan Allah, gunakan apa sahaja alternatif yang ada. Di sini anda tetap berpeluang berbakti kepada jalan Allah walaupun dalam bentuk yang kecil, tetapi amat berharga. Hulurkanlah sumbangan anda.




No comments:

Post a Comment