Sila Klik Nuffnang

Friday, 1 March 2013

Membayar Pinjaman Bertempoh 30 Tahun

30 tahun lamanya tempoh pinjaman yang diberikan. Hari ini aku masih lagi terus meminjam untuk satu tempoh yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Jika dikira kadar faedah bank pasti aku akan diisytiharkan bankrup tidak lama lagi.


Ya Allah... Keluhanku semakin dalam. Sedalamnya rasa kesalku untuk tempoh 30 tahun yang telah berlalu itu. Mengapa aku gagal untuk melunaskan pinjaman itu tanpa dibebani lagi hutang berpanjangan seperti ini. Benar..Dia yang memberi pinjaman itu sedikit pun tidak pernah menyusahkan aku. Tawaran berterusan itu sebenarnya tiada langsung penindasan seperti mana pinjaman lain di dunia fana ini. Namun, aku tetap akan menyesalinya.

Itulah dia pinjaman yang diberikan oleh Allah terhadap umurku sebagai seorang hamba yang wajib patuh dan taat pada suruhannya. Selama 30 tahun berlalu, di dalam umur yang dipinjamkan ini, sedikit pun Allah tidak pernah kejam terhadap diriku. Aku menikmati kehidupan dengan pelbagai keindahan dan kesenangan. Tidak pernah Tuhanku menarik nikmat-nikmat ini, kerana semua orang tahu bahawa Allah adalah dahan yang paling teguh untuk bergantung.

Mendepani 30 tahun yang aku raikan, hati meronta-ronta bertanya pelbagai soalan. Adakah aku telah membayar harga yang sepatutnya kepada pinjaman usia ini..? Benarkah aku telah menanamkan keyakinanku kepada Allah Tuhan Pencipta langit dan bumi..? Setimpalkah apa yang aku lakukan saban hari jika dibandingkan dengan tempoh 30 tahun yang aku miliki selama ini..?

Di mana 30 tahun itu berlalu?

Terkadang aku bungkam apabila mengenang waktu usia yang telah aku habiskan secara sia-sia. Di sudut yang dalam, aku menghamburkan celaan terhadap diri sendiri yang lalai di dalam matlamat hidup sebenar menuju Ilahi. Di waktu remaja, aku hanyut di bawa arus dunia. Sedikit pun tidak terlintas di kotak pemikiran untuk berbakti di jalan Allah.

Tempoh itu cukup lama aku lalui. Aku bagai memetik dedaun di sebatang pohon lalu dibiarkan sahaja terbang ditiup sang angin. Aku hanya memerhatikan sahaja ia berlalu. Begitulah perumpaan hidup seorang hamba seperti aku yang tidak tahu menilai harga sebenar pinjaman usia oleh Allah SWT. Jika ingin dikutip satu-satu dedaun yang berterbangan tadi, pasti aku pula akan tewas.

Ya Allah... Kejamnya hamba-Mu ini terhadap nikmat-Mu. Nikmat kehidupan ini aku rempuh hingga hampir remuk keseluruhannya. Keampunan-Mu aku tagih demi sebuah pengabdian sebenar seorang hamba. Berikanlah sedikti ruang untuk aku bermula semula memanfaatkan nikmat usia ini.

Akan adakah lagi 30 tahun mendatang?

Ya Allah.. Hak usiaku ini mutlak milik-Mu. Aku tidak ingin menjadi pemohon pinjaman kepada-Mu tanpa aku mampu membayarnya. Maka dengan itu Ya Allah, permudahkanlah perjalanan hidup selepas tempoh 30 tahun ini, untuk aku berbakti kepada agama-Mu. Bukakanlah jalan untuk aku melangkah seiring tentera-tentera Islam yang sanggup mati di atas dasar kebenaran Islam.

Ya Allah.. 30 tahun yang berlalu pasti aku gagal membayar harga setimpal. Namun, jika masih ada kesempatan untuk 30 tahun mendatang, Kau cekalkanlah hati ini untuk istiqomah menempuh medan jihad. Berilah petunjuk yang jelas, supaya aku jadikan ia pegangan kukuh seperti pejuang-pejuang Islam yang redha untuk syahid di jalan-Mu.

Ya Allah.. 30 tahun aku merasai kehinaan apabila dahi ini sujud menyembah-Mu. Jangan Kau angkat wajah ini ya Allah, sekiranya aku belum benar-benar tunduk dan patuh terhadap isi kandungan agama-Mu. Aku ingin menjadi penyambung legasi pejuang-pejuang terdahulu yang tidak gentar berhadapan musuh Islam. Walau mungkin tidak aku nikmati lagi 30 tahun mendatang.

Ya Allah.. Jangan sesekali Kau pesongkan hati kecilku ini, setelah Kau beri petunjuk dan jalan untuk tempuhi di medan jihad ini. Kurniakan sebuah kemenangan di dalam perjuangan ini agar aku tidak lagi meratapi kekesalan 30 tahun yang telah berlalu. Namun, jika mata ini tidak sempat melihat kemenangan itu, Kau kurniakanlah anugerah seorang Syuhada' kepadaku. Kerana 30 tahun itu amat berat untuk aku tanggung Ya Allah..

Nukilan rasa di usia 30 tahun

Coretan ini aku nukilkan di saat usiaku melangkaui 30 tahun. Pancaroba dunia banyak menghanyutkan jiwa-jiwa lalai sepanjang tempoh itu. Sedangkan usia ini semakin hampir dengan umur ketika kita hidup kekal di syurga nanti. 

Hari ini, aku merasakan bahawa aku tiada apa-apa sumbangan terhadap agama Allah. Selama tempoh dipinjamkan 30 tahun itu, aku tidak menjadi seorang pejuang Islam yang tegar menuntut agama ini dimartabatkan. Pelbagai alasan dan helah untuk aku lari daripadanya.

Cuma yang pasti, hari ini juga aku perlu mula memasang tekad dan iltizam yang tinggi dengan disaksikan oleh Tuhanku sendiri. Aku ingin kekal di dalam jalan dakwah dan jihad Islam. Aku akan melawan segala macam dugaan kehidupan untuk berbakti kepada agama Allah. Semoga azam ini aku dipermudahkan oleh Allah. Agar suatu masa apabila usia 30 tahun ini tidak melanjutkan, aku tidak malu untuk berhadapan dengan-Mu Ya Allah.

Ampunilah aku Ya Allah.. Berilah kekuatan kepadaku Ya Allah.. Kau peliharalah diriku dan ahli keluargaku Ya Allah. Kurniakan kefahaman Islam dan jihad yang sebenar terhadapa diriku dan seluruh anggota keluargaku Ya Allah. Jadikanlah kami sekeluarga sebahagian daripada tentera-tentera jihad-Mu Ya Allah.

Sesungguhnya Engkaulah satu-satunya Tuhan yang disembah dan Penguasa terhadap alam semesta. Allahu Akbar..

No comments:

Post a Comment