Bumi Putrajaya nan indah ini sekali lagi diserikan dengan program ilmiah yang sangat menarik untuk kita hadiri. Bermula 22 Februari 2013 yang lalu, syarikat penerbit buku, Sinergy Ilmu, telah menganjurkan Program Ekspo Buku Islam 6 Putrajaya yang akan berakhir 3 Mac 2013.
Program yang bertempat di Dewan Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 ini menawarkan pelbagai buku-buku ilmiah daripada penerbit seluruh Negara. Antaranya ialah Sinergy Ilmu sendiri sebagai penganjur, Mustread, PTS Publications, Galeri Ilmu, Kemilau Publika, Jasmin dan banyak lagi yang pastinya memberi cahaya ilmu di dalam kehidupan seharian kita.
Pintu masuk utama Ekspo Buku Islam 6 Putrajaya
Selain daripada penerbit buku, terdapat juga pelbagai booth-booth menarik seperti Kumpulan Karangkraf, Aman Palestin, MOY, Ana Muslim, Upin & Ipin dan Kasturi Syifa yang menawarkan barangan-barangan lain selain daripada bahan bacaan. Anda boleh juga mendapati barang-barang berbentuk cenderahati Islamic serta menyumbang kepada dana Palestin di Ekspo Buku Islam ini.
Booth PTS Publications
Aman Palestin lengkap dengan buting kisah-kisah jihad di Palestin.
Booth Upin & Ipin menjadi tumpuan kanak-kanak.
Kunjungan penulis beberapa hari sepanjang tempoh ekspo ini berlangsung, memperlihatkan masyarakat di Putrajaya mungkin belum memperkasakan diri untuk mengunjungi program ilmiah seperti ini. Mungkin juga promosinya tidak sehangat promosi Karnival Wow Putrajaya. Namun, masih ada kesempatan untuk anda kerana di sana pelbagai buku ilmiah boleh anda dapatkan.
Antara buku yang penulis lihat menjadi tumpuan ialah seperti kompilasi tervelog karangan Ustaz Hasrizal Jamil iaitu "Aku Terima Nikahnya", Biografi Agung Rasulullah SAW, Ensiklopedia Nabi Muhammad dan Bertemu Janji Allah edisi terbaru hasil tulisan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sungguh indah jika kita memiliki setiap koleksi buku-buku tersebut.
Biografi Agung Rasulullah SAW
Pelancaran buku Bertemu Janji Allah
Kemungkinan masih ramai lagi di antara kita yang belum sempat menghadirinya. Jadi luangkan masa anda untuk berkunjung ke taman-taman syurga seperti ini. Bawalah isteri dan anak-anak anda untuk berada di dalam suasana indah yang di kelilingi tulisan-tulisan ilmu Allah ini.
Ekspo buku juga adalah majlis ilmu. Maka, dikesempatan hujung minggu dan 2 hari terakhir ini, rebutlah peluang untuk mengumpul dan membaca sebanyak mungkin bahan ilmiah khas untuk panduan hidup bersyariat.
Membaca jambatan ilmu. Kesempurnaan ilmu mencorak ketinggian pekerti.