Sila Klik Nuffnang

Wednesday, 26 September 2012

Suasana Gotong Royong Majlis Aidilfitri

Assalamualaikum wbt.
Pertama sekali, penulis ingin memohon maaf kerana kegagalan untuk update dan post sebarang entry di dalam blog ini sejak sekian lama. Sebenarnya telah ada beberapa entry yang berada di dalam 'draf', tetapi kepadatan jadual harian membataskan usaha untuk menyiapkan entry-entry tersebut. Di bawah adalah antara entry yang lama belum sempat penulis post walaupun aktiviti ini dirakam hampir sebulan yang lalu.

Suasana yang dirakamkan pada 8 September 2012 ini adalah antara memori baru yang dicatatkan di dalam diari Surau Wahbah Al-Zuhaily. Pada malam sebelum Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, para AJK, ahli jemaah dan penduduk telah pun mula bergotong-royong menyediakan juadah hari raya seperti rendang, nasi impit dan lontong.

Apa yang menjadi kebanggaan penulis ialah kehadiran penduduk yang bukan di kalangan AJK amat memberangsangkan. Lebih menimbulkan perasaan teruja ialah penglibatan kaum Muslimat semasa gotong-royong ini adalah pertama kali melebihi angka 10 orang. Seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily amat gembira dengan komitmen tinggi para penduduk Presint 18 Fasa R12 ini. Tahniah, syabas dan terima kasih diucapkan.

Ikuti sorotan gambar-gambar yang dirakamkan semasa sesi gotong-royong tersebut. Semoga ianya akan terus menimbulkan minat penduduk untuk bersama di dalam aktiviti surau di masa akan datang.

Gotong-royong bermula seawal jam 9.00 malam dengan acara membasuh ayam sebelum dijadikan rendang.

En. Fadil (blok C) berjaya membida tender memotong 10 ekor ayam yang siap dibasuh.

En. Mad (tengah) menunjukkan kreativiti beliau untuk memasak rendang menggunakan tray sahaja. Biar betul..??

Sebahagian Muslimat yang sama-sama bergotong-royong menyediakan keperluan memasak. Potong bawang kak yer.. Gosip-gosip kejap lagi kita cerita. Hehehe.. Jangan Marah.

Pegawai KDN (Oren) dan Pegawai Bomba (Hitam) tiba di lokasi untuk memantau keadaan keselamatan petugas-petugas di Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Faizal (depan): "Apa kena Romzi ni.. Aku sikit punye ensem dia tak nak amik gambar. Troli jugak yang dia berkenan."

Zaid : "Air Tea O je malam ni bang..?"
Mahadzir : "Ini je resepi yang saya tau.."

Eden Harzard dan Fernando Torres diberi cuti untuk kerja-kerja amal di Surau selepas kekalahan 1-4 kepada Atletico Madrid baru-baru ini. Hehehe...

Biar 'otai' yang tunjuk resepi rendang paling laris turun temurun. Yang muda-muda belajar pegang bekas sambal dulu yer..

Elok-elok Farid.. Jangan sampai meletup Surau ni nanti.. Besar sangat apinya tu..

Agak-agak ada gaya MasterChef ke tak yer..??

Si comel juga turut sama membantu ibu dan ayah bergotong-royong.

Surau dah jadi macam taska malam tu. Seronok anak-anak ni berkumpul sambil menunggu ibu ayah masing-masing menyiapkan juadah. InsyaAllah inilah generasi akan datang SWAZ.

Timb. Pengerusi gembira dengan pencapaian petugas-petugas yang masih tegar menjalankan kerja walaupun jam sudah hampir 12.00 malam.

En. Mad memang dilantik sebagai tukang rasa pada malam tu.

Amboi.. Suka betul akak tu (2 dari kiri). Bahan-bahan dah ready ke belum..? Kuali dah panas ni..

Next season kita kena minta manager beli Zaid'inho' ni masuk team Chelsea la.. Sambal dia sedap betul...

En. Rozaidi: "Buah dah beli belum?
Syed: "Alamak..belum lagi la.."
En. Ali: "Itu nak suruh aku la tu pegi beli.."

Sambal tu kalau dah masak bagi kami rasa sorang segelas yer.. Dah macam air sirap dah rupanye..

Setelah penat bekerja, tibalah masa untuk menjamu selera. Juadah tengah malam yang disediakan oleh Restoran Ali Maju sebagai pelengkap gotong-royong malam itu.
  
Rendang ayam yang sedia untuk disajikan pada majlis Hari Raya Aidilfitri SWAZ 2012.


Itulah sedikit rakaman sekitar program gotong-royong sempena Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily. Suasana ini menggamit kenangan bagi seluruh AJK surau, para jemaah, ahli qariah dan penduduk Presint 18 Fasa R12. Semoga mahabbah dan semangat kejiranan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Tahniah kepada semua yang terlibat. Jasa bakti anda hanya Allah yang berkuasa untuk membalasnya.

Wednesday, 12 September 2012

Majlis Aidilfitri Paling Meriah

Setelah hampir 4 tahun Surau Wahbah Al-Zuhaily beroperasi, tahun 2012 ini menggamit sesuatu yang sangat indah di kalangan kami AJK yang dilantik. Di sinilah bermulanya peningkatan prestasi terhadap program anjuran Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Baru-baru ini, iaitu pada 9 September 2012 (Ahad), Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun mengadakan satu majlis sempena sambutan Aidilfitri 2012/1433H. Majlis yang berkonsepkan rumah terbuka ini adalah julung kali dilaksanakan khas untuk para penduduk Presint 18 khususnya di Fasa 18 R12. Berbeza pada tahun-tahun sebelumnya, majlis Aidilfitri dilaksanakan dengan konsep program khas dengan menjemput penceramah-penceramah terkenal. Namun, bagi memastikan penglibatan semua penduduk, pihak AJK Surau menukar konsep dengan tujuan melihat sejauh mana sambutan pada majlis kali ini.

Suasana Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily

Alhamdulillah... Majlis ini mencatatkan sambutan yang amat luar biasa dan jauh daripada sasaran awal pihak penganjur. Majlis yang diadakan selama kira-kira 3 jam itu dianggarkan dihadiri lebih daripada 500 orang penduduk dan para jemputan yang majoritinya adalah penghuni di Presint 18. Seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily sangat teruja dengan sokongan penduduk terhadap majlis ini.

Suasana Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah di atas perkenan-Nya untuk menjadi majlis Aidilfitri ini berjaya serta diberikan kesempurnaan cuaca pada hari tersebut. Pastinya ia akan memberi dorongan kepada AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily untuk melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada penduduk Presint 18 khasnya di Fasa 18 R12.

Akhirnya, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada majlis Aidilfitri ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang menjayakan majlis bermula daripada berkongsi dana di kalangan AJK dan penghuni, bergotong-royong menyediakan juadah dan segala susah payah untuk menguruskan persiapan majlis.

Tidak lupa juga kepada para penaja makanan terutamanya Dato' Jawahar Ali, Pengusaha Restoran Ali Maju, Ahli Parlimen yang sudi memberi pinjaman peralatan kerusi dan meja, agensi kerajaan iaitu JAWI, MAIWP dan KWPKB. Setinggi penghormatan kepada barisan AJK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 18 R12 yang sama-sama membantu dan paling dikasihi ialah seluruh AJK, ahli jemaah, qariah dan petugas sukarela Surau Wahbah Al-Zuhaily. Jasa anda tidak terhingga. Semoga Allah akan merahmati kalian.

Jumpa lagi di dalam program dan majlis-majlis yang dianjurkan pada masa akan datang. Segalanya tidak lain selain daripada ingin meraih redha Allah SWT ke atas seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12. Syukran jazilan..


P/S: Lagi gambar majlis dan gotong-royong akan menyusul di dalam post berikutnya. InsyaAllah...

P/S: Mohon maaf kerana juadah yang disediakan tidak dapat menampung kehadiran keseluruhan penduduk kerana ianya diluar jangkaan. InsyaAllah pada tahun-tahun hadapan akan dipertingkatkan kuantiti dan kualiti majlis.

P/S: Statistik duit raya untuk kanak-kanak ialah sebanyak 180 keping sampul habis diedarkan. Terdapat juga anak-anak yang tidak menerima duit raya pada majlis ini. Mohon maaf sekali lagi. Tahun hadapan pastikan datang awal yer..

Thursday, 6 September 2012

Jemputan Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily

Sempena bulan Syawal yang penuh indah ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) dengan penuh takzimnya menjemput seluruh penduduk Presint 18 dan kawasan sekitar serta para pembaca setia blog ini untuk sama-sama ke Majlis Aidilfitri SWAZ seperti mana dinyatakan di dalam poster di bawah:


Majlis Aidilfitri pada tahun ini diadakan berkonsepkan rumah terbuka. Oleh itu kehadiran semua dari kalangan penghuni, organisasi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan-persatuan penduduk dan syarikat penyelenggaraan di sekitar kawasan Presint 18 juga amat dialu-alukan.

Diharap dengan kehadiran tuan/puan sekalian akan mewujudkan rasa kemesraan dan kasih sayang di kalangan kita khususnya penduduk di Presint 18 Fasa R12 ini. Pelbagai juadah disediakan serta duit raya juga menanti kanak-kanak yang hadir.


Datang yer...!!!!